DI SEBALIK JIWA ‘3 HAJAT'

3 Hajat, terbitan KRU Studios dan Astro Shaw, hadir sebagai sebuah karya drama sinematik yang menggetarkan emosi. Menggabungkan kekuatan teknikal produksi dengan penceritaan yang sarat jiwa, naskhah arahan pelakon dan pengarah prolifik tanah air, Zul Huzaimy, ini menyerlah sebagai refleksi tentang kasih, penebusan dan pengharapan manusia.

Diterajui barisan pelakon unggul Eman Manan, Amerul Affendi, serta penampilan wajah baharu Iman Aneesa, 3 Hajat bukan sekadar kisah tentang hubungan kekeluargaan, tetapi sebuah renungan mendalam terhadap makna memaafkan dan mencari damai dalam perjalanan hidup yang tidak pernah mudah, digarap indah dengan kehalusan visual dan sentuhan jiwa yang tulus.

Sebuah Tawaran Yang Mengubah Takdir Seorang Pengarah

Bagi Zul Huzaimy, perjalanan menghasilkan 3 Hajat bermula dengan satu kejutan yang tidak dijangka. Ketika menerima tawaran membintangi filem ini, beliau menyangka kehadirannya hanya sebagai pelakon. Namun, takdir ternyata menulis jalan berbeza , Zul bukan sekadar membawakan watak, tetapi turut dipertanggungjawabkan untuk mengemudi seluruh naskhah ini sebagai pengarah.

“Pada awalnya saya difahamkan untuk berlakon sahaja. Tapi selepas sesi penerangan hampir 40 minit, barulah saya sedar saya juga dilantik sebagai pengarah. Dalam fikiran saya terus berubah ketika itu,” kongsi Zul sambil mengimbas detik mengejutkan itu.

Namun, di sebalik kejutan tersebut, lahir semangat baharu dalam dirinya untuk mencabar batas kemampuan sebagai pengarah. Berbeza daripada projek-projek terdahulu yang banyak menonjolkan aksi dan intensiti, 3 Hajat menuntut pendekatan yang lebih jujur dan berlapis sebagai sebuah naratif yang tenang di permukaan, namun dalam dan mencengkam di jiwa.

“Cerita ini tidak ada aksi perang atau letupan seperti yang pernah saya buat sebelum ini. Tapi ia menuntut kejujuran. Ceritanya halus, sangat manusiawi. Itu yang membuatkan saya rasa tercabar,” jelas Zul dengan nada yang sarat makna.

Mengarahkan Dengan Jiwa, Bukan Sekadar Tugas

Dalam proses pengarahan 3 Hajat, Zul Huzaimy berdepan dilema kreatif yang sering menghantui ramai pembikin filem, iaitu pertentangan antara kehendak komersial dan kejujuran seni. Bagi Zul, karya ini bukan sekadar projek tugasan, tetapi ruang untuk menilai sejauh mana dirinya mampu mendekati penceritaan dengan jiwa yang tulus.

“Pernah ada penerbit tanya kenapa saya guna pendekatan macam filem, sedangkan bayaran cuma untuk telemovie TV. Tapi bagi saya, ini latihan untuk diri saya. Untuk portfolio dan jiwa saya sebagai pengarah. Akhirnya, stesen pun tambah bayaran sebagai bukti bahawa kejujuran dalam kerja seni tetap dihargai,” ujarnya penuh yakin.

Keputusan beraninya membuahkan hasil. 3 Hajat memperlihatkan kehalusan kerja kamera, ritma penceritaan yang matang dan sentuhan sinematik yang tersendiri. Segala pertaruhan itu membuktikan bahawa keberanian untuk bereksperimen dan kesetiaan terhadap nilai seni mampu membuka ruang baharu dalam landskap sinema tempatan sekali gus menjadikan 3 Hajat bukan sekadar sebuah filem, tetapi cerminan evolusi seorang pengarah yang berani mendengar suara hatinya.

Naratif Tentang Kasih, Penyesalan dan Penebusan

3 Hajat mengisahkan tentang Awang (lakonan penuh jiwa oleh Eman Manan), seorang bekas banduan yang kini berperang dengan masa akibat penyakit kronik. Dalam sisa hidupnya, dia bertekad menunaikan tiga hajat terakhir sebagai satu perjalanan yang mempertemukannya semula dengan anak tunggalnya, Tawfiq (Amerul Affendi). Namun perjalanan itu tidak pernah mudah. Antara mereka terbentang jurang emosi yang dalam, dibayangi sejarah hitam dan luka lama yang belum sembuh.

Menurut Zul Huzaimy, filem ini bukan sekadar kisah kekeluargaan, tetapi pengamatan terhadap jiwa manusia yang rapuh dan mencari makna di tengah kegelapan.

3 Hajat mengangkat dua watak anti-hero yang berdepan sisi gelap masing-masing, tapi akhirnya mencari perdamaian dalam cara yang tak disangka. Ini bukan kisah sempurna, tapi kisah benar manusia,” ujar Zul penuh makna.

Keindahan latar perkampungan nelayan di Terengganu bukan sekadar hiasan visual, tetapi turut menjadi simbol ketenangan dan pertarungan batin dua jiwa ini. Setiap bingkai layar menangkap hembusan laut, cahaya senja dan keheningan desa, seolah-olah alam turut menjadi saksi kepada pencarian makna hidup mereka.

Penggambaran filem ini turut menerima sokongan penuh Kerajaan Negeri Terengganu, dan keistimewaannya diraikan melalui Tayangan Diraja yang bersejarah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menyaksikan tayangan tersebut, Ini merupakan sebuah penghormatan besar yang membuktikan pengiktirafan terhadap karya berjiwa tempatan dalam sejarah Malaysia.

Sinergi Dua Nama Besar Industri

Di sebalik keindahan 3 Hajat, terserlah kekuatan kolaborasi dua nama besar industri , Astro Shaw dan KRU Studios  yang bersama memperkukuh tradisi sinergi dalam pembikinan filem tempatan.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif, kerjasama ini bukan sekadar urusan produksi, tetapi kesinambungan kepercayaan dan visi bersama dalam mengangkat naskhah yang dekat dengan hati masyarakat.

“Hubungan kami dengan KRU Studios telah terjalin lebih sedekad. 3 Hajat meneruskan sinergi itu dengan kisah yang jujur dan berakar pada realiti rakyat. Kami percaya, karya ini akan meninggalkan kesan mendalam,” ujar Raja Jastina penuh yakin.

Bagi Dato’ Norman Abdul Halim, Penerbit Eksekutif KRU Studios, 3 Hajat menjadi simbol keberanian baharu, langkah strategik untuk menjelajahi ruang sinema yang lebih eksperimental tanpa melepaskan akar budayanya.

“Ini filem drama pertama kami yang bersifat eksperimental, membuka ruang kepada gaya penceritaan yang tidak konvensional, namun tetap mencerminkan jiwa Malaysia. Kami mahu menjadikan tradisi ini berterusan: satu karya berjiwa rakyat setiap tahun,” jelas Norman.

Kolaborasi antara dua gergasi ini akhirnya menjadikan 3 Hajat lebih daripada sekadar filem , ia satu pertemuan falsafah antara idealisme dan realiti industri, antara keberanian pengkarya dan sokongan penerbit yang memahami nilai seni tulen.

Cerminan Jiwa, Harapan dan Pengampunan

Dengan kekuatan lakonan barisan pelakon berpengalaman dan bimbingan pengarahan yang berani, 3 Hajat tampil sebagai filem drama tempatan yang menggugah perasaan. Ia bukan sekadar tontonan, tetapi sebuah perjalanan jiwa.

Filem 3 Hajat kini menemui penonton di pawagam seluruh negara, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang menyentuh hati serta membangkitkan renungan mendalam tentang kehidupan, kesilapan dan cinta yang tidak pernah padam.

Kerana dalam hidup setiap manusia, sentiasa ada tiga hajatuntuk memaafkan, ditebus, dan dicintai semula.

Untuk maklumat lanjut, layari 👉 www.3hajat.com

Catat Ulasan

0 Ulasan