Industri perfileman tempatan terus mencipta sejarah apabila sebuah filem aksi berskala antarabangsa berjudul Black Ops diumumkan sebagai projek kolaborasi mega antara Malaysia dan Hong Kong. Naskhah ini bukan sekadar menyatukan dua negara dari sudut produksi, malah menjadi simbol kematangan sinema tempatan dalam usaha menembusi pasaran global.
Diterajui oleh pengarah prolifik Malaysia, Syafiq Yusof, bersama pengarah berpengalaman dari Hong Kong, Chui Tze Yiu, Black Ops lahir hasil daripada kejayaan tidak disangka filem Sheriff: Narko Integriti di pasaran Hong Kong. Walaupun hanya mencatat kutipan sekitar RM260,000, sambutan positif daripada penonton dan penggiat industri di sana membuka ruang kepada perbincangan lebih besar yang akhirnya membawa kepada kerjasama rentas negara ini.
Menurut Syafiq, filem Sheriff yang ditayangkan di beberapa negara termasuk Indonesia telah menerima perhatian luar jangkaan di Hong Kong, sekali gus mencetuskan idea kolaborasi bersama One Cool Films, syarikat produksi tersohor milik bintang terkenal Hong Kong, Louis Koo.
“Ramai orang industri di Hong Kong menonton Sheriff, termasuk Chui Tze Yiu. Dari situlah hubungan dengan One Cool Films terjalin. Kami kemudian merancang satu kolaborasi yang menggabungkan kepakaran dua negara, bukan sahaja melibatkan pengarah, tetapi juga pelakon dan pasukan lagak aksi dari Malaysia serta Hong Kong,” jelas Syafiq.
Kolaborasi Produksi Rentas Negara Berskala Besar
Black Ops menyaksikan gandingan kukuh antara beberapa syarikat produksi utama Malaysia iaitu Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Komet Studios, Marvelous Culture & Film dan GSC, bersama One Cool Films dari Hong Kong. Lebih signifikan, ini merupakan kali pertama One Cool Films berganding bahu dengan produksi Malaysia, sekali gus menandakan permulaan hubungan kreatif yang lebih luas antara dua industri perfileman serantau.
Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Black Ops, Datuk Yusof Haslam, menyifatkan filem ini sebagai sebuah usaha kolektif untuk membawa sinema Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Sebagai pembikin filem, saya berharap Black Ops diterima dengan baik oleh penonton Malaysia. Kejayaan sesebuah filem terletak pada kekuatan cerita, lakonan yang jujur, promosi yang berkesan serta sokongan padu rakyat. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan masyarakat dan pengalaman yang diharap dapat kekal di hati penonton,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Pengarah One Cool Films dan Penerbit Bersama Black Ops, Tang Wai But, yang melihat projek ini sebagai langkah awal kepada hubungan jangka panjang antara Hong Kong dan Malaysia.
“Kerjasama ini bukan sekadar menghasilkan sebuah filem, tetapi membuka laluan kepada lebih banyak kolaborasi pada masa hadapan. Kami komited memastikan Black Ops dihasilkan pada tahap terbaik, sambil membantu memperluaskan penembusan filem Malaysia ke pasaran serantau dan antarabangsa,” ujarnya.
Astro Shaw selaku penerbit eksekutif bersama turut menyifatkan projek ini sebagai satu penanda aras baharu industri. Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan bahawa kolaborasi ini mengukuhkan lagi hubungan strategik yang telah lama terjalin dengan Skop Productions, selain membuka ruang baharu ke arah pasaran antarabangsa.
Dua Pengarah, Satu Visi Aksi Bertaraf Dunia
Konsep dua pengarah dalam satu naskhah bukan sesuatu yang asing buat Syafiq Yusof. Malah, pendekatan ini telah dipraktikkannya sejak 2015 menerusi filem Mat Moto, diikuti Blood Brothers: Bara Naga. Bagi Syafiq, kaedah ini lebih praktikal, khususnya untuk filem aksi berskala besar.
“Dua pengarah memudahkan banyak proses. Kami boleh berbincang, menilai semula setiap babak dan memastikan hasilnya lebih kemas. Untuk filem aksi, ketelitian sangat penting supaya setiap adegan nampak realistik dan berkualiti tinggi,” katanya.
Chui Tze Yiu pula menyifatkan kerjasama ini sebagai pengalaman baharu, terutamanya apabila ini merupakan kali pertamanya bekerjasama dengan pasukan produksi Melayu selepas sebelum ini terlibat dengan produksi berbahasa Kantonis di Malaysia.
“Walaupun berdepan kekangan bahasa, ia bukan halangan. Kami berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kadangkala menggunakan bahasa isyarat. Sepanjang bekerjasama, saya melihat Syafiq sebagai pengarah yang sangat peka dengan bahasa filem,” katanya.
Barisan Pelakon Mantap & Aksi Intensif
Menepati statusnya sebagai filem aksi mega, Black Ops menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong termasuk Sharnaaz Ahmad sebagai teraju utama, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq dan Benjamin Tan. Turut beraksi ialah Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan serta Rania Amanda.
Syafiq menjelaskan pemilihan pelakon dibuat dengan teliti, memandangkan risiko kerugian bagi filem layar lebar jauh lebih tinggi berbanding produksi televisyen.
“Untuk filem, risikonya besar kerana melibatkan bajet tinggi. Jadi kami lebih selesa memilih pelakon berpengalaman yang ada stamina, disiplin dan pakej lengkap, terutamanya untuk filem aksi lasak,” katanya.
Babak aksi intensif Black Ops pula diterajui dua pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa, Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin dari pasukan legenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh Sammo Hung. Gandingan ini menjanjikan koreografi aksi realistik, berskala besar dan memberi impak maksimum setanding piawaian antarabangsa.
Naratif Sarat Emosi & Konspirasi
Dari segi penceritaan, Black Ops mengisahkan Johan, seorang anggota pasukan elit Black Ops yang dituduh membunuh isterinya dan kehilangan anak perempuan. Terperangkap dalam konspirasi kuasa, Johan terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri demi membongkar kebenaran, membersihkan nama serta menuntut kembali kehidupannya.
Dengan skala produksi luar biasa, gabungan tenaga kreatif antarabangsa, aksi berkualiti tinggi serta jalan cerita yang sarat emosi dan konflik, Black Ops dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinantikan apabila menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun 2026.
Namun, kejayaan kolaborasi antarabangsa seperti ini turut mencetuskan persoalan menarik - mampukah satu hari nanti projek berskala global seperti Black Ops membuka laluan untuk pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia seperti Michelle Yeoh membintangi filem tempatan, khususnya di bawah arahan pengarah berkaliber seperti Syafiq Yusof?.
.png)

0 Ulasan