Selepas lebih sedekad meninggalkan kerusi pengarah, figura berpengaruh industri kreatif tanah air, Erma Fatima akhirnya kembali dengan sebuah projek yang dijangka mencuri perhatian.
Dikenali sebagai antara nama besar yang banyak membentuk landskap drama dan filem tempatan, Erma sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada penerbitan serta penulisan skrip. Namun kali ini, beliau kembali mengemudi sebuah naskhah kolaborasi Malaysia–Indonesia yang disifatkan sebagai projek istimewa.
Walaupun butiran penuh masih dirahsiakan, Erma, 58, memberi bayangan bahawa karya tersebut bakal menyatukan pelakon ternama dari kedua-dua negara. Platform tayangan juga masih belum diputuskan.
“Lepas gian selepas 10 tahun tak mengarah. Saja suka-suka, setakat ini tak tahu lagi mana hendak tayang,” katanya ringkas.
Menerusi perkongsian di Instagram, Erma turut meluahkan keterujaan apabila kembali merasai suasana di set sebagai pengarah.
“Lama tak rasa macam ini (mengarah),” tulisnya sambil memuat naik foto-foto sekitar proses penggambaran.
Barisan pelakon yang terlibat nyata bukan calang-calang. Dari Malaysia, nama seperti Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah dan Anna Jobling dilihat berada di lokasi. Turut menyertai produksi ini ialah pelakon Indonesia seperti Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg dan Valentino.
Sebagai rekod, perjalanan seni Erma dalam industri bukan calang-calang. Beliau pernah mencipta sejarah apabila memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Hati Bukan Kristal. Pengiktirafan itu menjadi antara pencapaian penting yang mengukuhkan namanya sebagai pelakon berkaliber sebelum melebarkan sayap sebagai penerbit dan pengarah.
Selain itu, Erma turut mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Pyongyang International Film Festival. Kali terakhir beliau mengarah adalah menerusi telefilem Pesan Dari Tuhan, yang kemudiannya meraih pengiktirafan sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin.
Kembalinya Erma ke kerusi pengarah selepas 10 tahun pastinya mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat dan pemerhati industri. Dengan gabungan dua negara serta barisan pelakon berprofil tinggi, projek ini dilihat berpotensi menjadi antara naskhah yang paling dinanti.
.png)
.png)


0 Ulasan