TALK TO MY MANAGER: ANI MAIYUNI & VIVIANA TERSINGKIR

Perjalanan Viviana dalam saingan Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2) berakhir di pentas suku akhir apabila diumumkan sebagai salah seorang peserta yang tersingkir pada konsert minggu kelapan yang berlangsung malam tadi.

Pada malam pertandingan, Viviana tampil mencuri perhatian menerusi persembahan bertenaga lagu Jai Ho sebelum menghangatkan pentas bersama ibunya, Ani Maiyuni, menerusi persembahan duet lagu Oppa Gangnam Style.

Namun, persembahan tersebut belum cukup untuk melayakkan mereka mara ke peringkat separuh akhir apabila Viviana berada dalam kelompok tiga peserta terbawah bersama Cik B dan Kim Khairii.

Menahan sebak ketika menyampaikan ucapan terakhirnya, Viviana mengakui terkilan apabila perjalanan mereka terhenti setakat ini, namun tetap bersyukur dengan pengalaman yang diraih sepanjang berada dalam program berkenaan.

“Memang sedih kerana tidak dapat meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya. Terima kasih kepada ummi yang sentiasa memberikan sokongan dan berkorban sepanjang pertandingan ini berlangsung.

“Saya juga ingin memohon maaf jika ada melakukan sebarang kesilapan dan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami. Banyak kenangan indah yang akan saya simpan sepanjang berada di pentas TTMM2,” katanya.

Sementara itu, Ani Maiyuni yang bertindak sebagai pengurus kepada anaknya menegaskan beliau tidak pernah menyesal dengan penyertaan mereka dalam program tersebut, malah berbangga dengan perkembangan serta potensi yang ditunjukkan Viviana sepanjang pertandingan.

“Bagi saya, perjalanan ini sudah cukup bermakna. Viviana telah membuktikan kemampuannya dan saya percaya masih banyak ruang serta peluang yang menanti di luar sana.

“Ini bukan noktah buat kami, sebaliknya permulaan kepada perjalanan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Dengan penyingkiran Viviana dan Ani Maiyuni, enam pasangan pengurus dan artis berjaya melangkah ke pentas separuh akhir iaitu Hussain, Azeva, Anggrek, Ammara, Cik B dan Kim Khairii.

Konsert minggu kelapan TTMM2 turut menyaksikan barisan juri tetap terdiri daripada Datuk AC Mizal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Hael Husaini dan Bella Astillah yang bertanggungjawab menilai setiap persembahan peserta.

Catat Ulasan

0 Ulasan