Penyanyi dan usahawan terkenal, Shiha Zikir, tampil dengan sebuah karya penuh inspirasi menerusi single terbaharunya berjudul “Mula”, hasil kolaborasi istimewa bersama penulis dan pempengaruh, Hafizul Faiz.
Diterbitkan menerusi kerjasama usaha sama antara Shiha Zikir Empire dan Sony Music Malaysia, lagu ini membawa mesej yang dekat dengan realiti kehidupan ramai individu iaitu keberanian untuk memulakan semula langkah dalam kehidupan, sama ada dalam mengejar impian, memperbaiki diri atau mencari kembali tujuan hidup.
Menurut Shiha, idea penghasilan “Mula” tercetus daripada pengalaman hidup yang sering dilalui ramai orang apabila berdepan fasa kehilangan arah, keyakinan dan semangat untuk meneruskan perjalanan hidup.
“Lagu ini bukan tentang cinta. Ia tentang hidup. Tentang bagaimana setiap orang pasti pernah melalui pengalaman hidup yang menyakitkan dan ada fasa takut untuk bermula. Tapi kadang-kadang, satu langkah kecil itu boleh mengubah seluruh perjalanan hidup kita,” katanya.
Berbeza dengan kebanyakan lagu balada yang sering mengetengahkan tema percintaan atau kesedihan, “Mula” hadir dengan naratif yang lebih menyentuh aspek pembangunan diri, harapan dan kekuatan dalaman. Karya ini mengajak pendengar untuk percaya bahawa setiap individu sentiasa mempunyai peluang untuk mencipta permulaan baharu dalam kehidupan mereka.
Menjadikan lagu ini lebih istimewa, lirik “Mula” ditulis sendiri oleh Shiha Zikir bersama Hafizul Faiz. Gabungan idea dan pengalaman peribadi kedua-duanya menghasilkan lirik yang jujur, dekat dengan masyarakat serta sarat dengan emosi dan makna.
Sementara itu, sentuhan komposer terkenal Hafiz Hamidun berjaya memberikan nafas balada moden yang minimalis namun penuh emosi, sekali gus membolehkan mesej utama lagu ini disampaikan dengan lebih berkesan kepada pendengar.
Bagi Hafizul Faiz pula, “Mula” dihasilkan khusus untuk menjadi teman dan sumber kekuatan kepada mereka yang sedang bergelut untuk bangkit semula dalam kehidupan.
“Kadang-kadang orang bukan tak ada impian. Mereka cuma takut untuk bermula. Lagu ini kami hasilkan untuk mereka yang sedang cuba percaya semula pada diri sendiri,” ujarnya.
Lebih menarik, pelancaran single “Mula” turut seiring dengan penerbitan buku pertama Shiha Zikir yang menggunakan judul sama, “Mula”, yang dijadualkan dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.
Single “Mula” boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun 2026, manakala video muzik rasminya turut dilancarkan pada tarikh yang sama menerusi saluran YouTube Shiha Zikir Empire.
Video muzik tersebut dijangka menampilkan visual sinematik yang menggambarkan perjalanan emosi, harapan dan keberanian seseorang dalam mencipta lembaran baharu kehidupan, selari dengan mesej utama yang ingin disampaikan menerusi lagu ini.
Dengan gabungan muzik yang menyentuh jiwa, penulisan yang tulus dan mesej yang relevan, “Mula” diharap mampu menjadi lebih daripada sekadar sebuah lagu, sebaliknya menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sedang mencari kekuatan untuk melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.




0 Ulasan