'TAK BERLAGU' HIDUPKAN EMOSI KHADAM

Menjelang tayangan filem Khadam di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, penyanyi Ernie Zakri tampil mempertaruhkan vokalnya menerusi Tak Berlagu, lagu tema rasmi yang menjadi runut bunyi (OST) filem tersebut.

Dicipta oleh Rendra Zawawi bersama NJWA yang turut menulis liriknya, lagu berkenaan menjadi nadi emosi kepada penceritaan Khadam dengan mengangkat tema kehilangan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.

Sebagai pelengkap kepada dunia Khadam, Tak Berlagu membawa pendengar menyelami perjalanan emosi Melor, seorang wanita yang sanggup berdepan pelbagai cabaran demi melindungi insan paling disayanginya.

Susunan melodinya berkembang seiring perkembangan watak tersebut, bermula dengan nada yang tenang sebelum beralih kepada luahan emosi yang lebih mendalam dan menyentuh perasaan.

Menurut Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar, keistimewaan karya berkenaan terletak pada pembinaan melodi dan ritma yang dirancang secara teliti bagi menyokong perkembangan naratif filem itu.

“Apa yang menjadikan susunan muzik ini istimewa adalah garapan melodi dan ritmanya yang dibina dengan jelas dari segi teknik dan emosi, seiring dengan jalan cerita serta perjalanan watak utama iaitu Melor,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan filem seram yang sering bergantung kepada elemen kejutan, Khadam tampil dengan pendekatan yang lebih menitikberatkan penceritaan dan pembinaan suasana, dengan muzik memainkan peranan penting dalam menghidupkan perjalanan cerita.

Komposer dan penerbit lagu, Rendra Zawawi berkata, Tak Berlagu dibangunkan daripada ruang kesunyian yang menjadi asas kepada perjalanan perasaan watak utama.

“Dalam Khadam, muzik dibina untuk menyampaikan emosi dengan tepat. Tak Berlagu berkembang daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada perasaan watak.

“Kerjasama bersama NJWA turut membantu memperhalusi jiwa lagu ini. Sebagai seorang ibu, dia berjaya menzahirkan melodi dengan rasa yang lebih dekat dan jujur,” katanya.

Menariknya, lagu berkenaan turut menerima sentuhan produksi bertaraf antarabangsa apabila proses adunan dilakukan oleh Alvin Wee yang kini menetap di Los Angeles, manakala proses mastering dikendalikan oleh pemenang Anugerah Grammy, Jett Galindo.

Bagi menghasilkan pengalaman pendengaran yang lebih menyeluruh, Tak Berlagu dirakam menggunakan alat muzik akustik secara langsung seperti piano, violin, viola, cello dan double bass.

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam projek tersebut, Ernie mengakui beliau tertarik untuk menjayakan lagu berkenaan kerana mempunyai hubungan yang dekat dengan kisah yang diketengahkan.

“Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu. Apabila mengetahui ia merupakan kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya,” katanya.

Penyanyi lagu Masing-Masing itu turut mendedahkan pengalaman merakamkan Tak Berlagu menjadi antara detik paling bermakna dalam kerjayanya apabila beliau tidak mampu menahan sebak sepanjang sesi rakaman berlangsung.

“Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai emosi itu,” ujarnya.

Tak Berlagu merupakan hasil kerjasama antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia yang menggabungkan kepakaran dalam bidang perfileman, komunikasi strategik serta penerbitan muzik.

Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, kekuatan utama projek berkenaan terletak pada hubungan erat antara muzik dan penceritaan filem.

“Filem Khadam menitikberatkan penceritaan dalam lagu dan muzik bukan dijadikan sekadar elemen sokongan sesebuah filem. Ini yang menjadikan projek ini amat menarik,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan Ernie dibuat berdasarkan keupayaannya menyampaikan penghayatan menerusi vokal yang dimiliki.

“Lagu ini berpaksi kepada vokal dan emosi, dan itu juga merupakan kekuatan Ernie,” katanya.

Kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, Tak Berlagu bukan sahaja melengkapkan dunia Khadam, malah memperluaskan pengalaman filem tersebut kepada pencinta muzik tempatan.

Video muzik rasmi lagu berkenaan bakal dilancarkan dalam masa terdekat menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia, manakala Khadam akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini.

Catat Ulasan

0 Ulasan