'Tipu Kanan Tipu Kiri'..........Filem Indonesia atau Filem Malaysia?...


'Fantastik, dramatik dan menghiburkan....
suatu komedi yang tidak membosankan...'
-amy ikram ismail

Selepas gagal menerusi filem DIVA, lakonan Ning Baizura pada tahun lepas, Astro Shaw bersama Tarantela Pictures menerbitkan filem 'Tipu Kanan Tipu Kiri', arahan dan lakon layar Sharad Sharan yang telahpun menemui penonton pada 16 Oktober 2008. Filem yang dibarisi pelakon Indonesia dan Malaysia ini, antaranya Christian Sugino, Titi Kamal, Catherine Wilson, Hans Isaac, Datin Natasha Hudson, Azwan Ali, Sazzy Falak, dan Fauzi Nawawi ini khabarnya mendapat sambutan hangat di Indonesia beberapa bulan lepas sebelum ditayangkan di Malaysia. Filem yang penuh warna-warni ini seakan-akan filem Indonesia bahkan keseluruhan dialog dalam filem ini menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya. Filem yang mengisahkan kehidupan Rudy yang beristerikan Wulan, penyanyi wanita terkenal di Indonesia yang terpaksa melarikan diri ke Malaysia atas sebab identiti mereka supaya tidak diketahui umum ini merupakan naskah komedi yang mempunyai citarasa yang cukup baik berbanding dengan filem komedi lain yang di tayangkan di Malaysia. 'Tipu Kanan Tipu Kiri' mempunyai jalur cerita yang cukup tersusun kerana plotnya dikembangkan secara sistematik di mana kehidupan Rudy sebagai suami kepada bintang terkenal, Indonesia, Wulan cukup memberikan implikasinya yang tersendiri. Di Malaysia, Rudy diterima bekerja sebagai General Manager di sebuah syarikat pengiklanan milik Remo, lakonan Hans Isaac seorang bos yang mempunyai sikap playboynya yang cukup kuat dan pantang melihat gadis cantik dihadapannya. Rudy seorang jejaka tampan yang bisa mencairkan hati setiap wanita ini terpaksa membohongi Remo semasa di sesuatu majlis dengan membawa Sarah ( Natasha Hudson), di majlis tersebut sebagai isterinya, supaya identiti sebenar Rudy, suami kepada Wulan agar tidak diketahui umum ini telah menimbulkan beberapa perkara yang menyentuh perasaan sehingga terjadinya rasa cinta antara Sarah dengan Rudy, tanpa pengetahuan Wulan. Filem ini cukup menyentuh perasaan dengan iringan muzik latar yang bisa membuatkan anda tidak berganjak daripada tempat duduk sehinggakan filem ini berakhir dengan tragedi air mata yang sangat menyedihkan. Namun, bagi anda yang tercari-cari sebuah filem komedi yang baik, mempunyai jalan cerita yang tidak membosankan, dan mempunyai rasa yang sungguh kompleks, 'Tipu Kanan Tipu Kiri' adalah jawapan yang tepat kerana naskhah ini pasti tidak akan mengecawakan khalayak yang menonton.

p/s: Inilah cerita yang mempunyai plot dan naratif cerita yang agak baik, berbanding filem Senario yang saya rasa sebuah cerita yang tidak berjaya menarik perhatian saya. Tipu Kanan Tipu Kiri seakan-akan filem Indonesia, bukan filem Malaysia walaupun latar tempat adalah di Kuala Lumpur. Syabas buat team produksinya.

Catat Ulasan

0 Ulasan