Mabuk Estrogen, paparkan adegan kissing antara Roslan Shah dan Fizz Fairuzz


(gambar sebelah adalah sekadar hiasan)

* Mabuk Estrogen, sebuah telemovie terbitan Sheila Rusly yang akan menemui penonton di Saluran Astro Ria pada 17 April 2009.*

Artikel di petik daripada Utusan Malaysia..

DENGAN satu ungkapan sahaja iaitu ‘kucupan’ yang didakwa dilakukan antara pelakon kacak Fizz Fairuz dengan pengacara dan penyanyi serta pelakon, Roslan Shah, ia telah mengundang pelbagai reaksi.

Maka timbullah isu drama atau filem berunsur gay dan lesbian seharusnya dibanteras. Pandangan negatif orang perseorangan dan juga pihak berkenaan terhadap gejala songsang seperti ini mula mendapat perhatian.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dialami oleh pelakon yang menjadi sasaran media minggu lalu.

Roslan Shah yang memegang watak Vee (mak nyah) dalam telefilem Mabuk Estrogen yang bakal ditayangkan di Astro Ria April nanti mengakui tertekan dengan isu yang hangat diperkatakan di dada-dada akhbar mengenai minggu lalu.

Cemuhan pasti diterimanya tapi Roslan Shah ingin memberi penjelasan sebenarnya agar apa yang berlaku tidak disalah anggap oleh masyarakat di luar sana.

Telefilem arahan Jinggo itu juga menampilkan Memey, Nor Aliah Lee serta Sheila Rusly sebagai barisan pelakonnya.

Cubit paha kanan, paha kiri terasa. Begitulah yang dialami oleh penerbit JSP Pictures dan juga pelakon Mabuk Estrogen, Sheila Rusly. Dia ingin memberi sedikit penjelasan agar Roslan Shah tidak dipersalahkan dalam hal ini.

Apa sebenarnya yang ingin dijelaskan oleh Roslan tentang babak bercium dengan Fizz Fairuz?

ROSLAN SHAH: Saya hanyalah pelakon, melakonkan watak Vee yang mempunyai perasaan terhadap Awang, lakonan Fizz Fairuz. Sewaktu melakonkan adegan lemas, Awang cuba selamatkan saya melalui pernafasan mulut ke mulut. Itu bukan kucupan. Kalau kita belajar bagaimana nak selamatkan orang yang lemas, adakah itu kita katakan teknik kucupan mulut ke mulut? Kalau dalam bahasa Inggeris dan perubatannya kita katakan Cardiopulmonary Resuscitation atau CPR. Tidak ada langsung makna kucupan di situ. Pandai tak bezakan kucupan dan CPR?

Tetapi yang penting mulut awak dengan mulut Fizz Fairuz bercantum atau tidak? Maksud saya berlakunya teknik CPR tu.

ROSLAN SHAH: Biar saya jelaskan dengan lebih jelas dan sejelas-jelasnya. Dalam lakonan tak perlulah ia dijadikan satu realiti, maksudnya mulut saya dengan mulut Fizz Fairuz bercantum. Kita ada teknologi moden yang boleh menampakkan adegan tu macam betul. Itu yang dilakukan oleh pihak produksi. Saya bagi contoh lain, macam orang berlakon kena tembak, apakah dia harus benar-benar kena tembak dengan peluru hidup. Kalau mati, adakah dia benar-benar kena matikan diri. Cuba fikir tu! Siapa yang nak berlakon kalau gitukan? Pada dasarnya tak bercantum pun mulut saya dengan mulut dia. Itu dah jelas. Ramai krew yang terlibat termasuklah pengarahnya, Jinggo. Boleh tanya dia orang.

Apakah Roslan rasa tertekan dengan kisah yang disiar di akhbar sebelum ini?

ROSLAN SHAH: Bagi saya sendiri adalah sikit tapi saya tahu apa yang saya buat. Saya perlu tahu bahawa saya hidup di dunia ini bukan seorang diri. Ramai orang yang menilai, mendengar dan menafsir tentang macam-macam. Itu yang buat sedikit kecewa dan tertekan. Bukan semua orang tahu tentang dunia lakonan dan teknik-teknik lakonan. Mereka ada yang berfikiran polos. Kalau saya terangkan masih ada yang tidak percaya. Itu tidak mustahil. Saudara mara saya pun demikian juga. Mereka juga terasa. Jadi inilah peluangnya untuk saya jelaskan semuanya.

Adakah Roslan terasa dianiaya?

ROSLAN SHAH: Tidak, saya mencari rezeki dengan menyanyi, berlakon dan menjadi pengacara. Saya tahu apa saya buat. Ini merupakan drama saya yang keenam. Saya pun tahu tugas saya sebelum ditawarkan berlakon. JSP Pictures beri saya peluang itu dan saya berterima kasih kepada mereka. Ini berlaku semuanya sekadar sensasi berita. Tidak salah wartawan juga. Tapi tanggapan orang luar dari dunia seni agak sukar untuk diperjelaskan dengan terperinci untuk benar-benar mereka memahami apa yang berlaku di sebaliknya.

Apa pula komen Sheila, apakah itu sekadar gimik?

SHEILA RUSLY: Saya sedikit pun tidak terfikir untuk menjadikan isu ini sebagai gimik. Buat apa? Bagi saya soal ‘kucupan’ tadi dah dijelaskan oleh Roslan. Saya sebagai penerbit eksekutif dan juga pelakon dalam Mabuk Estrogen sendiri menyaksikannya. Mulut mereka tak bercantum pun.

Setelah ia jadi bualan dan ada yang kata drama atau filem seperti ini tidak patut ditayangkan. Tolong jawab!

SHEILA RUSLY: Itulah dia orang kita. Sebut saja gay, mak nyah, lesbian dan pengkid, kita harus banned. Hal negatif saja yang dapat dilihat dari mata kasar kebanyakan orang. Apa yang berlaku di sebaliknya, apakah mesej yang nak disampaikan oleh orang seperti saya penerbit dan pengarah lain tidak difikirkan. Bukan nak saya menghalalkan yang haram ataupun sebaliknya. Yang haram tetap haram. Kami sebelum buat drama selalu lakukan kajian dengan mendalam soal-soal agamanya, iktibarnya, mesejnya, natijahnya, impaknya, dan sebagainya. Kena tengok dulu cerita itu, kemudian baru komen. Kami sedia terima komen. Memang pandangan orang lain-lain. Saya pun tak mengharapkan semua orang setuju dengan pendangan saya. Itu bukan yang natural namanya. Kita ada otak dan diberikan akal, jadi fikirkanlah dengan mendalam. Jangan asyik nak menghukum saja. Kalau kita ini sempurna tapi kita sendiri tidak betul dan mengata orang, saya rasa kita ini sama saja dengan mereka yang tidak sempurna itu. Apa gunakan kita sempurna tapi tak berakhlak. Oleh itu jangan pandang hina pada golongan seperti ini. Saya yang sempurna sebagai wanita dan mereka yang tidak sempurna dari segi perasaan itu adalah juga makhluk Allah. Hanya Tuhan yang dapat menilai sama ada hidup kita ini sempurna atau tidak di sisi-Nya. Bukan kita sesama manusia yang masing-masing ada kelemahan.

Andai kata drama atau filem sedemikian tidak dibenarkan tayang oleh pihak berwajib? Apa komen Sheila?

SHEILA RUSLY: Bagi sayalah kita jangan cepat menghukum dan terlalu sempitkan fikiran. Kalau pihak kita dihalang, pasti pihak luar akan buat, dan akan ditayangkan di negara kita juga. Apa bezanya. Kalau tidak dalam bentuk drama televisyen, mungkin dalam bentuk DVD. Dalam kehidupan kita seharian sebenarnya penuh dengan unsur-unsur negatif. Tinggal lagi kita sebagai manusia berakal inilah yang tahu dan waras menerima atau tidak unsur-unsur negatif tersebut. Janganlah kita jadi hipokrit dan cuba menidakkan perkara-

perkara seperti itu berlaku di negara kita. Maksud saya adanya golongan istimewa (gay dan lesbian serta mak yah). Itu adalah realiti. Bumi bukanlah satu planet yang mana isi kandungnya semua dilahirkan sempurna. Kena ingat tu. Setiap yang berlaku ada sebabnya. Seperti yang saya katakan tadi, orang yang dipandang mulia dan hina itu adalah daripada sisi-Nya, bukan kita. Kita tak ada hak nak menilai itu semua sebab kita sesama manusia.

Apa tujuan JSP menonjolkan cerita bertemakan kisah-kisah seperti ini?

SHEILA RUSLY: Saya memang rapat dengan golongan seperti ini. Tidak saya nafikan. Mereka juga manusia, Sheila Rusly juga manusia, salahkah saya kalau kami ada hubungan? Maksud saya bukan hubungan itu. Harap faham. Jadi mereka juga punya cerita sendiri. Mereka yang sempurna jantina juga punya cerita sendiri. Drama-drama terbitan JSP Pictures sebenarnya mahu menyampaikan mesej. Itu saja. Bukan saya nak menyuruh penonton menjadi seperti apa yang dilakonkan, kalau mereka rasa watak itu tidak baik. Sekarang ini dah jadi satu tabiat saya rasa, bila dengar saja tajuk yang pelik dan negatif, automatik terlintas hal-hal yang negatif juga. Apa bezanya kisah drama yang memaparkan kes perceraian, pergaduhan dan keruntuhan moral. Sama saja, tinggal lagi subjek yang digunakan lain. Pelakonnya tetap manusia, dan manusia tidak sempurna.

p/s: Kata Sheila Rusly, penonton harus membuka fikiran apabila menonton telemovie ini. Jangan menuding jari menyalahkan golongan tersebut, kerana mereka juga manusia seperti kita, cuma naluri dan perasaan mereka berbeza. Nantikan telemovie ini akan datang... confirm semua ternanti-nanti termasuk para pengkritik dan pengutuk kan..


Catat Ulasan

3 Ulasan

Ehsan Ismail berkata…
Salam Encik Amyikram,

Semenjak zaman Nabi Adam a.s turun ke bumi, baik dan buruk sudah wujud di atas planet Bumi ini. Apa taknya, Adam landing kat bumi, Iblis pun di campak ke bumi. Turun pangkat. Tapi bagi Adam, Allah bagi jaminan yang baik.

Di mana ada kebaikan di situ juga ada keburukan. Ini adalah fakta dalam kehidupan seharian. Tidak boleh lari.

Contoh yang simple. Di dalam ofis. Ada yang kerja jujur, ada yang penipu.

Hatta di masjid pun, ada yang ikhlas dan ada yang munafik. Ini sudah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.

Di dalam Al-Quran, ada kisah orang buat baik dan ada kisah orang buat jahat. Yang baik ada balasan dan yang buruk ada balasan setimpal.
Contoh dalam Al-Quran ada juga kisah gay seperti tercatat dalam sejarah kaum gay zaman Nabi Lut.

Maka tidak salahlah kalau pembikin filem menyelitkan unsur negatif tetapi secara abstrak, tak lain tak bukan untuk menyedarkan masyarakat.

Kita kadang-kadang sempit pemikiran. Kalau perkataan maksiat teringat kita "minum arak, kaki perempuan, judi dll." Walhal perbuatan maksiat juga "rasuah, sombong, meninggi diri, pengumpat, menunjuk-nunjuk dll".

Makanya, pembikin filem yang ikhlas dan jujur, sudah tentu mampu menyedarkan masyarakat akan kepincangan di sekelilingnya dan dijadikan pengajaran yang berguna.
Amy Ikram berkata…
salam..

terima kasih atas pandangan anda. Tentunya pembikin filem tidak akan menyalahkan peluang yang ada untuk memberikan sudut pandangan yang terbaik kepada audience. Cuma kadang-kadang apa yang digambarkan itu tidak diterima masyarakat umum kerana mereka takutkan realiti itu merebak dan menular secara meluas. Harus diingat bahawa, karya-karya sebegitu bukan karya lucah tapi sebuah karya yang sebenar-benarnya berlaku dalam masyarakat. Persoalan di sini kenapa masyarakat kita tak boleh menerima apa yang digambarkan?. Gambaran itu bukan membuka pekung di dada, tetapi ia adalah sebuah kisah yang bukannya untuk memujuk dan memaksa kita mengikutinya. Cuma yang waras akan berfikir yang baik dan buruk. Apakah dengan menghentam karya orang lain, akan membuatkan golongan itu sedar?

Terima kasih kerana anda sudi berkongsi cerita..
amer zaman berkata…
haha...

biarkan..biarkan...