Talentime Kurang Menarik Penonton Ke Pawagam?


Harian Metro, hari ini melaporkan Talentime filem arahan Yasmin Ahmad dikatakan 'gagal' mengutip pulangan yang memberangsangkan, apatah lagi filem ini dijangka akan memenangi Filem Terbaik di FFM22, Kota Kinabalu, Sabah. Mengikut perangkaan, Talentime hanya mengutip pulangan RM 400,000 dalam tempoh 10 hari tayangan di pawagam. Apakah penonton kita tidak menggemari Talentime atau hanya berpaksikan karya-karya arahan Prof Razak sahaja?. Mungkinkah penonton kita hanya mendapatkan VCD Talentime di pasaran gelap walaupun kualiti gambarnya teruk?. Itulah ragam dan realiti penerimaan masyarakat Malaysia kepada filem-filem arahan pengarah tempatan, walaupun filem tersebut menghidangkan jalan cerita yang bagus dari segi plot dan naratifnya. Jika dikata Talentime, kurang menarik. Bagi saya itu kenyataan yang bodoh. Kerana, walaupun 4 kali saya menonton Talentime, namun sentuhan Yasmin kali ini amat menyentuh perasaan saya. Justeru, mari kita selidiki apakah yang diperkatakan dalam Harian Metro hari ini...

petikan dari Harian Metro

Talentime gagal tarik penonton?

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


SEJAK ditayangkan pada 26 Mac lalu, filem Telentime karya Yasmin Ahmad dikatakan kurang menarik minat kaki wayang menyaksikannya. Malah filem yang diuar-uarkan sebagai karya terbaik pengarah berbakat itu dilaporkan mencatat kutipan kurang memberangsangkan.

Entah di mana silapnya filem terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Chilli Pepper Film hanya meraih RM400,000 kutipan tiket selepas 10 hari ditayangkan. Berbeza dengan pencapaian karya Yasmin terdahulu seperti Mukhsin yang mencatat RM1.1 juta selepas seminggu ditayangkan sekalipun mengetengahkan konflik percintaan antara kaum dengan garapan penceritaan yang unik dan menaik.

Pengurus Besar Filem & Drama Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berkata, pencapaian berkenaan tidak menjejaskan usaha pihaknya untuk menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem yang menampilkan isu yang cukup relevan dengan masyarakat Malaysia itu.

"Kami mengakui kutipan tiket untuk filem ini kurang memberangsangkan. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti filem ini bercorak urban yang kurang diminati kebanyakan penonton kaki wayang yang terdiri daripada orang Melayu.

"Ia membariskan pelakon kurang terkenal yang menjayakan filem itu seperti kita sedia maklum, mentaliti penonton kita mahu menonton aksi pelakon terkenal.

"Ini adalah risiko perniagaan biarpun membawa isu yang cukup dekat untuk masyarakat hari ini. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan promosi dan maklum balas yang diterima daripada media mengenai filem ini. Malah, ia langsung tidak menjejaskan usaha kami untuk menerbit dan mengetengahkan filem tempatan yang berkualiti pada masa akan datang.

"Kami juga merancang usaha untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem ini menerusi tayangan di universiti dan institut pengajian tinggi swasta tempatan pada masa akan datang. Selain itu, menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem itu," katanya.

Sebelum ini filem yang memaparkan kisah cinta lelaki India, Mahesh lakonan Mahesh Jugal Kishor dengan gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur (Pamela Chong) itu ditayangkan di Festival Antarabangsa Hong Kong dan mendapat perhatian yang agak baik daripada pihak penganjur.

Menurut Puad lagi, filem berkenaan bakal mengikut jejak langkah filem Mukhsin yang dibawa ke pasaran antarabangsa.

"Jika tiada aral kami akan membawa filem ini ke pasaran antarabangsa dengan mempamerkannya bagi tayangan jualan pasaran antarabangsa di Festival Filem Cannes di Perancis Mei ini. Dengan cara ini kami akan mencari pengedar untuk memasarkan filem itu di luar negara supaya dapat disaksikan seluruh masyarakat dunia.

Malah kami juga akan terus mencuba menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem yang membawakan kisah pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Pencapaian filem itu juga sekali gus gagal mengatasi pencapaian filem terbitan Primeworks Studio yang mula diterbitkan awal tahun ini bermula Sifu & Tongga yang mencatat kutipan RM3 juta dan Rasukan Ablasa (RM1 juta).

Biarpun bersyukur dengan pencapaian itu, Puad mengakui pencapaian itu diukur berdasarkan sambutan daripada penonton pasaran utama (mass market) di pawagam yang terdiri daripada golongan berusia 15 tahun ke atas.

Malah rekod membuktikan filem bercorak urban kurang mendapat tempat di kalangan kaki wayang. Contohnya, Red Kebaya. Filem itu juga kurang mendapat sambutan walaupun mempunyai kualiti tersendiri.

Talentime membabitkan perbelanjaan RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini, Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Howard Hon Kahoe, Mohd Syafie Naswip, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander.

Percayalah... Talentime akan memenangi Filem Terbaik di FFM22 nanti...

*Nantikan komen amy ikram terhadap artikel ini.. akan datang!!

Catat Ulasan

3 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
i haven't got the chance to watch talentime but i have always adored yasmin's previous works. and all the adverts she had produced. hope to watch talentime soon!
Tanpa Nama berkata…
serius sedih kalau macam ni...tak sangka...aku tengok talentime time preview sekali...tgk lagi 4 kali pastu...memang tak bosan..

adakah faktor byk filem hollywood best time ni? contoh 2 fast 2 furios

www.katasuhaimi.blogspot.com
fadz berkata…
hal yg paling tampak ialah 'timing'. Waktu Mukhsin nak keluar di KL, ia sudahpun memilik 4-5 undangan untuk dipertandingkan/tayangkan/menang dalam festival filem antarabangsa. Jadi yg menontonnya pun sudah meletak dalam minda, "ah, ini filem best ni." Maka apa yg wartawan metro katakan itu salah: pelakon terkenal, kerana Muhskin memperkenalkan "Mukhsin", serta adik Armani.

Saya mendapat tahu bahawa ramai penonton "gusar" dengan tempo filem2 Yasmin. Dan Talentime menjalankan tempo yg sama (shot yang panjang, tanpa gerakan). Beberapa kawan mat rempit saya yg meminati Mukhsin, menolak Talentime. Buat mereka, Talentime "bosan, slow". Mereka menganggap "ah, perkara sama" malah menyatakan mengguna pakai subjek yg seakan2 sama (buat saya, tidak).

Secara terus terang, Talentime adalah filem paling "mainstream" Yasmin.. dan ini membuat saya menyoal, adakah jika Yasmin mengekspresi karyanya menolak "permintaan" khalayak, maka ia baru menangkap penonton?

Hal Puad Onah mensabitkan filem2 "urban" mungkin ada kebenaran oleh sebab KAMI, Gol & Gincu tidak mendapat sambutan hangat (tetapi filem2 ini amat segar buat saya)..

Apa2pun, Talentime akan diingati sebagai antara filem terbaik Mapaysia 2009. Dan akan diapresiasi dalam masa2 depan.