Filem Karaoke ke Cannes Film Festival


Bukan senang untuk menggamit juri di Cannes Film Festival 2009, apatah lagi ia merupakan karya daripada Malaysia dan amat sukar untuk memasuki kelompok yang rata-ratanya daripada penggiat filem professional seluruh dunia. Namun itu bukan impian yang tidak boleh direalisasikan, apabila filem Malaysia 'Karaoke' arahan sutradara baru Chris Chong itu ditayangkan menerusi slot Directors' Fortnight yang sekali gus melayakkan Karaoke dicalonkan untuk anugerah Caméra d'Or yang mengiktiraf filem cereka pertama yang diarahkan oleh seorang pengarah baru. Kejayaan Karaoke terpilih di Cannes Film Festival 2009 yang telah bermula pada 14 Mei 2009 bukan perkara baru di dalam Industri Filem Tempatan, kerana sebelum ini pengarah profilik U-Wei Hj Shaari juga berjaya mengharumkan negara melalui penyertaan filemnya yang dicalonkan di Cannes juga pada tahun 2005, melalui naskhah 'Kaki Bakar'. Ini meletakkan Kaki Bakar sebagai filem Malaysia pertama yang terpilih ke Cannes pada 2005. Berbalik kepada Karaoke, filem yang diterbitkan oleh Tanjung Aru Pictures ini sebenarnya sebuah filem yang mengisahkan dunia seorang anak kampung bernama Betik yang kembali semula ke kampung halamannya setelah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah hidupnya. Akan tetapi, dia tidak dapat menerima hakikat apabila pembangunan mula mengambil tempat di kampungnya yang telah mengubah segalanya.Bermula detik itu, dia hidup dalam khayalan dan sering membayangkan kehidupannya sama seperti dalam video muzik karaoke yang sering ditontonnya.Bukan itu sahaja, Karaoke juga mengisahkan bagaimana perhubungan Betik dan ibunya yang semakin renggang akibat perbuatan dirinya sendiri. Karaoke di barisi pelakon baru yang berbakat antaranya, Zahiril Adzim @ Bob, Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa. Mungkin penonton tertanya-tertanya, apakah filem Karaoke ini akan ditayangkan di Malaysia. Ketika ditemui, Chris Chong menyifatkan bahawa ia masih dalam proses kerana impiannya adalah untuk penonton Malaysia, tetapi apabila Karaoke tercalon di Cannes Film Festival, ini sekaligus berjaya meletakkan karya-karyanya setaraf karya antarabangsa. Jika ingin diketahui, Chris Chong merupakan penggiat filem kreatif kerana sebelum ini, beliau banyak mengarahkan filem pendek dan dokumentari berjudul Block B dan Kolam. Justeru, apa yang pasti adalah selepas ini akan lebih banyak karya-karya daripada Malaysia akan tercalon atau ditayangkan di Cannes. Oleh itu, pastikan ia sebuah karya yang sangat-sangat menarik dan tidak membosankan agar masyarakat dunia dapat menonton karya-karya daripada Malaysia dan semuanya itu datang dari pengarah-pengarah kita yang banyak mempunyai idea dan kreativiti yang fantastik.

akan datang... filem Gadoh di Help Universiti 22 Mei.. nantikan temujanji anda.. jangan lupa..


Catat Ulasan

0 Ulasan