Festival Jabat Erat atau Festival Kesenian Frinjan dijangka muncul sebagai antara acara seni paling dinanti dalam kalendar seni tempatan apabila dijadual berlangsung Jun ini.
Dianjurkan oleh Rockstation Event and Entertainment Sdn. Bhd., festival ini bukan sekadar hiburan biasa, sebaliknya tampil sebagai gerakan tahunan yang membawa misi besar untuk menghidupkan budaya seni secara menyeluruh serta menyatukan komuniti kreatif dari pelbagai latar belakang.
Menurut Pengarah Urusannya, Mozylir Mokhtarudin, Jabat Erat membawa semangat Do It Yourself atau DIY ke tahap berbeza dengan merangkumi keseluruhan ekosistem seni daripada produksi muzik, jualan merchandise, jelajah band hinggalah kepada pengurusan acara secara kendiri.
Ini adalah platform rangkaian untuk Malaysia, Asia Tenggara dan juga global. Kami satukan penganjur independent, venue, peminat, band, label serta bakat lama dan baharu dalam pelbagai genre muzik katanya.
Apa yang lebih menarik, festival ini akan berlangsung di Odeon KL yang disasarkan untuk menjadi hab budaya Fringe Arts baharu di ibu kota.
"Kami mahu Odeon KL jadi ruang untuk semua terutama golongan belia dengan hiburan yang selamat, berasaskan komuniti tetapi masih mengekalkan elemen asli," jelasnya.
Dalam masa sama, Jabat Erat turut membuka peluang besar kepada bakat tempatan untuk menyerlah ke pentas antarabangsa selain menjadi jambatan pertukaran budaya dalam dunia muzik dan seni.
Lebih 20 artis bakal menggegarkan pentas termasuk nama antarabangsa seperti Yellow Fang dari Thailand, Dom 65 dari Indonesia, Megumi Acorda dari Filipina dan Coaltar of the Deepers dari Jepun selain barisan artis tempatan yang membawa pelbagai genre seperti rock, punk, shoegaze, metal dan indie.
Bukan sekadar persembahan, festival ini juga menjadi platform perkongsian ilmu buat komuniti seni khususnya band indie, penganjur kecil serta artis bebas.
"Ini masa untuk kita beri inspirasi kepada generasi pemuzik sekarang dan akan datang sambil berkongsi pengalaman dengan penggiat seni dari luar negara," katanya lagi.
Menariknya, Jabat Erat turut menampilkan realiti kehidupan band yang menjelajah dari satu tempat ke satu tempat selain membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk turut serta dalam ekosistem festival.
Festival ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun 2026 di Odeon KL. Tiket pra jualan ditawarkan pada harga RM118, RM178 dan RM218 manakala harga jualan umum bermula dari RM138 hingga RM238.
Dalam perkembangan sama, Odeon KL turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Loket MY sebagai rakan rasmi tiket sekali gus memudahkan urusan pembelian dan meningkatkan pengalaman pengunjung.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan industri kreatif tempatan melalui integrasi teknologi, sokongan kepada penganjur serta pengalaman acara yang lebih lancar dan moden.
Tiket boleh didapati secara dalam talian menerusi laman rasmi festival.

.png)
.png)


0 Ulasan