Apakah 'Jin Notti' filem berwajah Satu Malaysia?


Pada 19 Ogos 2009, telah diadakan Tayangan Amal Kemerdekaan 'Jin Notti', sebuah filem komedi arahan Azhari Mohd Zain yang dibarisi 'Mawi, Fara Fauzana, Cat Farish, Adibah Noor, Bob Lokman, Acappan dan ramai lagi. Filem yang diterbitkan oleh KRU Films ini menceritakan sebuah kisah perjuangan seorang anak Jin, Notti yang dihantar ke dunia manusia untuk mempengaruhi mereka melakukan kejahatan daripada kebaikkan. Namun begitu, apabila tiba di dunia manusia, Notti tiba-tiba bertukar arah dan menjadi makhluk Jin yang amat baik, bertanggungjawab, penyayang dan menyimpang dari kehidupan makhluk Jin iaitu kejahatan. Perubahan ke atas diri Notti secara mendadak telah membuatkan kelompok Jin yang diketuai Jin Shamsu (Bob Lokman) mengambil tindakan yang agak keras di mana, Notti dibuang ke dunia manusia selama-lamanya.

Perkenalan Notti (Fara Fauzana) dengan Aziz (lakonan Mawi) di sebuah pub hiburan telah menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka, walaupun berlainan kehidupan, budaya dan kepercayaan. Berpunca dari situasi itulah, Notti belajar tentang erti kemanusiaan, kasih sayang dan keinginan. Jika dilihat dari sudut lakonan ke semua pelakon yang membintangi Jin Notti ini, saya boleh katakan purata lakonan mereka agak biasa dan tidak boleh dianggap cemerlang. Cuma, pada watak Aziz, lakonan Mawi boleh dianggap agak menjadi melalui karektor yang dibawanya. Oleh itu, percubaan Mawi dalam dunia lakonan menerusi filem Jin Notti boleh diberi kredit yang agak baik.

Namun begitu, persoalan yang bermain difikiran saya ialah, 'Apakah motif Jin Notti ditayangkan pada malam Amal Kemerdekaan tersebut?'. Adakah ia sebuah karya yang memaparkan elemen Satu Malaysia?, sedangkan filem ini merupakan sebuah filem yang menceritakan pergolakan antara dunia Jin dan manusia!. Seandainya, filem seperti Estet ditayangkan pada malam amal kemerdekaan tersebut berbanding filem Jin Notti, saya percaya tema Satu Malaysia menerusi medium filem akan menjadi kenyataan. Justeru, sebagai warga filem, saya mengharapkan agar seandainya mana-mana event kemerdekaan yang dianjurkan oleh sesebuah organisasi jika melibatkan tayangan sesebuah filem, 'tolonglah pilih karya bertemakan 1Malaysia.. bukannya karya yang bertemakan kisah ciptaan syok sendiri yang klise dan naratif serta plotnya boleh di agak-agak!. Tepuk dada.. buka minda.. tanyalah selera..

p/s: Ingin tahu.. kisah selanjutnya mengenai JIN NOTTI ini?. Nantikan tayangannya pada 20 September 2009 (Hari Raya Aidilfitri) di semua pawagam terpilih seluruh negara.

**Ulasan ini dibuat setelah saya menghadiri Tayangan Khas Kemerdekaan JIN NOTTI pada 19 Ogos 2009 di GSC Tropicana Mall, Petaling Jaya. **

Untuk Jin Notti.. saya bagi ** bintang aje.. kerana ia sebuah karya yang agak biasa sahaja..

Catat Ulasan

0 Ulasan