'BERASAP SUNGGUH.. INI FILEM' - SUATU MALAM KUBUR BERASAP

Ahad lepas aku menonton filem ini di TGV Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Seawal pagi 11.45 pagi aku beratur dan memasuki pawagam dengan harapan filem ini mampu membuatkan aku berfikir sejenak sepertimana filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'. Sejujurnya aku cakap filem ini tiada fokus dan arah penceritaannya!. Ia sepertimana aku menonton siri komedi di Astro Warna ataupun saluran Astro yang lain. 

Plot penceritaan filem ini hanya terletak pada scene akhir, di mana 'kubur berasap' digambarkan dan tagline tertera 'Suatu Malam Kubur Berasap 2'. Apakah Ernie Chen pengarah filem ini ingin bercerita kepada khalayak melalui karya kedua sambungannya nanti? Aku mencari apa sebenarnya yang ingin disampaikan dan difokuskan dalam karya ini. Mungkin ini cara Ernie Chen bercerita dan Indra Che Muda ( pengarah sinematografi) menyampaikan apa yang tersirat di minda pengarahnya!. 'Suatu Malam Kubur Berasap' filem seram komedi yang terselamat 'asapnya', apabila lakonan Angah Raja Lawak melalui watak Atan, mampu membuatkan sidang penonton ketawa dan tersenyum dengan lagaknya yang 'gagap'. Ia mengingatkan aku dengan lakonan M.Subash dalam Pensil. Jujurku katakan, Angah penyelamat filem ini. 

Aku tak mahu menulis panjang mengenai filem ini kerana ia bukan karya yang ada unsur tersirat dan tersurat yang mampu untuk diolah plotnya ataupun penceritaannya. Cukup sekadar ia menghiburkan dan tujuan penghasilan filem sebegini ialah 'untuk hiburan' dan 'untuk bisnes' kehidupan yang lebih baik. 



Jika anda datang menyaksikan filem ini dengan rasa dan tujuan seperti anda tersenyum menonton 'Songlap' yang berjaya 'menyonglap' minda penonton, lupakan aja. Atau sekiranya anda datang untuk menghiburkan hati anda sekeluarga, filem ini mampu mengubati jiwa dan masa anda..

Tepuk dada.. tanya selera.. 

Catat Ulasan

0 Ulasan