'MAEL LAMBONG' KOMEDI TERBAIK AHMAD IDHAM

Diinspirasikan menerusi watak di dalam program realiti Maharaja Lawak, 'Mael Lambong', garapan sutradara kreatif, Ahmad Idham nyata tidak mengecewakan khalayak. Menemui penonton tempatan seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, bermula 21 Jun 2012 (hari ini), 'Mael Lambong', yang dijayakan Zizan Razak, Juliana Evans, Sallehuddin Abu Bakar, Shenthy Feliziana, Azwan Annuar, Dian P.Ramlee dan ramai lagi, merupakan sebuah filem yang berkisarkan tentang 'Mael Lambong', seorang penarik kereta professional.

Mael Lambong (Zizan Razak) seorang penarik kereta professional. Pertemuan secara tidak sengaja dengan Maria (Juliana Evans) seorang perisik wanita, di sebuah tempat letak kereta, berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan 'mikrocip' yang dikendalikan oleh sekumpulan penjahat. Mael Lambong dibawa ke sebuah kampung di Terengganu, di mana Mael dilahirkan dan jatuh cinta dengan Rozie (Shenty Feliziana). Pertemuan kembali antara Rozie dan Mael menimbulkan rasa tidak senang hati Tiger (Sallehuddin Abu Bakar) yang merupakan tunang kepada Rozie. Pelbagai episod suka dan duka terkandung dalam 'Mael Lambong' yang merupakan antara naskhah terbaik 'Ahmad Idham' dari segi cerita dan terjemahannya.

Elemen komedi jelas kelihatan dalam 'Mael Lambong'. Paparan sebegini begitu banyak dalam pembikinan sinema di Malaysia. Namun, apa yang membezakan 'Mael Lambong' dengan filem-filem komedi lain ialah dari sudut 'garapan' dan 'teknik penceritaannya'. Ahmad Idham selaku pengarah filem ini berjaya menembusi tembok pemikiran penonton tempatan apabila elemen realiti hidup dan sindiran sinis diterjemahkan dalam 'Mael Lambong'. Penggunaan twitter dan blog dijadikan isu seharian yang cuba dikaitkan dalam filem ini. Setiap tingkah laku manusia pada masa kini menjadi bahan menarik dan sensasi untuk dipaparkan di alam maya. Begitu juga dengan filem ini, Ahmad Idham meletakkan kritikan 'twitter dan blog' sebagai satu agenda dalam menjatuhkan reputasi seseorang khususnya dalam dunia kerjaya. Ia disampaikan menerusi dialog Zizan dalam beberapa babak, nyata berjaya meletakkan Zizan sebagai penglipurlara yang amat baik.

Jika dilihat dalam kebanyakkan filem-filem komedi yang pernah dihasilkan mana-mana pengarah filem tempatan, kecuali Hantu Kak Limah Balik Rumah (juga komedi terbaik), 'Mael Lambong', nyata berbeza dan tidak klise komedinya. Zizan Razak berjaya melakonkan watak Mael Lambong dengan sebaiknya, malahan setiap dialog yang dituturkannya (malahan perbuatannya) berjaya mencuit hati sehingga mengundang riuh rendah penonton dalam pawagam. Namun, jika dilihat dari sudut ceritanya, ia agak simple dan tidak memeningkan kepala. Sebuah filem harus mempunyai 3 elemen yang meletakkan sebuah naskhah itu terbaik dalam rangkumannya iaitu 'filem itu mesti menghiburkan, memperkatakan sesuatu dan mempunyai maksudnya'. Namun dalam 'Mael Lambong' ia boleh dikira sebuah karya yang cukup rencah, menghiburkan dan bukan karya bodoh yang sememangnya banyak menghantui sinema Malaysia ketika ini.
Menonton filem mestilah mengosongkan pemikiran sebelum karya itu menyelinap masuk ke pemikiran anda. Penonton filem yang datang untuk 'menghentam' sesebuah filem selalunya diselubungi rasa iri hati, cemburu dan mencari kesalahan setiap segi dalam sesebuah karya. Oleh sebab itulah, anda tidak 'enjoy' untuk menonton sesebuah filem. Filem komersial dan filem seni dua jurang yang sangat berbeza. Menonton 'Mael Lambong', saya terpaksa kosongkan fikiran saya sejenak dan nyata filem ini berjaya membuatkan saya tersenyum berulang kali, walaupun filem itu melabuhkan tirainya di saat ending kredit dimainkan.

Bemula hari ini, 21 Jun 2012, 'Mael Lambong' yang diterbitkan Excellent Pictures antara karya komedi terbaik Ahmad Idham yang wajib ditonton oleh semua peminat filem komedi di Malaysia. Saya percaya anda tidak akan kecewa apabila menonton filem ini. Duit yang anda laburkan untuk membeli tiket filem ini dirasakan berbaloi..


trailer

amy's said: MAEL LAMBONG hanya melambung pawagam tempatan. Filem ini tidak akan ditayangkan di ASTRO FIRST. Jadi jom kita penuhkan seat dalam panggung okay!..

Catat Ulasan

2 Ulasan

Unknown berkata…
great movie...paksa kawan tgk sama tadi...kami sama2 tak pernah tgk filem melayu di pawagam...inilah penangan mael lambong =)
Amy Ikram berkata…
mael lambong sangat enjoy..