INDUSTRI FILEM KITA.. APA DAH JADI?



Bayangkan sebuah filem yang kos penerbitannya menelan belanja sekitar RM 3.5 juta, RM 2 juta, RM 1.5 juta dan RM 900K mengutip pulangan agak merosot. Ada filem yang bagus naratifnya, hanya mampu mengutip RM 15,000 sahaja. Itu harga sebuah skrip filem cereka. Jikalau ini makin berlarutan, produser filem sebegini akan gulung tikar, tetapi bagi mereka yang tidak putus asa, mungkin menganggap ia satu cabaran dalam dunia sinema. 

Penghasilan filem memang banyak risikonya. Ada yang menceburkan diri dalam dunia ini, hanya sekadar mahu popular, cari makan dan cepat kaya. Tetapi mesti kena dengan caranya. Apabila kutipan sesebuah filem jatuh merudum bagaikan angin yang menghembus setiap nafas penghuni kota, banyak yang menyalahkan Skim Wajib Tayang yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Tetapi, tidak terfikirkan anda bahawa 'kualiti' menjamin 'kuantiti' sesebuah filem diperdagangkan. Seandainya, jalan cerita sesebuah naskhah itu tetap sama dan tidak berubah konteks pemikiran dan jalur naratifnya, pasti penerimaan penonton terhadap sesebuah filem itu masih sama atau tidak berubah. 

Peranan media baru seperti twitter, facebook, instagram, youtube, blog, video blog dan sebagainya, juga merupakan pemangkin kepada perkembangan dalam penerimaan sesebuah filem. Andaikata filem itu teruk dan tidak masuk akal atau bukan citarasa dalam pembikinannya, pastinya berita tersebut akan tersebar secepat mungkin ke pelusuk dunia, hanya melalui satu 'klik', - alam maya. Ini harus diakui setiap manusia kerana 'peranan internet', adalah amat penting dalam mencuit hati dan jiwa sekaligus sesebuah filem diterima atau dihentam teruk. 


Kemasukan Astro First dalam dunia penyiaran digital adalah satu sebab kenapa sesebuah filem itu merosot kutipan tiketnya di pawagam. Ada penonton yang sibuk dengan tugas harian dan bekerjaya tinggi, hanya memilih untuk menonton sesebuah filem melalui saluran Astro First. Itu juga strategi dalam melariskan sesebuah filem. Tetapi, apa yang seringkali dipersoalkan sesetengah karyawan filem ialah 'nilai ekslusif' sesebuah filem apabila ditayangkan di pawagam dan dirumah dalam jangkamasa 2 minggu. Dalam perkara ini, kita tidak boleh menyalahkan penonton kerana 'nilai beli' terletak ditangan penonton, dan kita tidak boleh memaksa mereka menonton apa yang mereka tidak mahu tonton, melainkan mata dan hati mereka mahu terlibat sama.

2 minggu satu filem. Dalam sebulan ada 4 minggu. Maknanya 8 filem.  Katakanlah harga tiket sebuah filem RM15.00, jika 8 buah filem, maknanya seorang penonton perlu berbelanja RM 120.00 bagi 8 filem. Jikalau setiap seorang membawa ramai 'anak-anak' atau 'tetamunya' untuk menonton di pawagam, harga keseluruhan akan berganda dan nilai tambah kutipan akan menjadi tinggi dan meningkat ke paras positif. Tetapi, jika nilai beli merosot, maka kutipan akan jatuh seterusnya sesebuah filem yang gagal di pawagam tidak bermakna akan gagal di saluran Astro First. Apa yang menjadi persoalan di sini ialah 'sanggupkah' setiap penonton yang ada di Malaysia ini sanggup mengeluarkan RM 120.00 sebulan bagi menonton 8 buah filem, sekiranya ke semua filem itu 'biasa-biasa' atau boleh di anggap 'tidak menarik' ?. Bukankah satu kerugian namanya.

Justeru, apa yang ingin saya ajukan kepada anda pembaca yang saya hormati, 'Apa Dah Jadi.. pada Industri Filem Kita..? Adakah ia boleh dikira baik atau sedang-sedang atau jahanam!. Wallahuallam.

p/s: lama giler aku tak tengok movie malay.. hehhe

Catat Ulasan

0 Ulasan