ASIA SHORT FILM FESTIVAL 2012 DI FINAS ( 8 - 9 SEPTEMBER 2012)


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sentiasa aktif dengan pelbagai aktiviti membangunkan bidang perfileman sepanjang tahun ini. Perkara itu termasuk dalam usaha memperkenalkan filem pendek kepada peminat seni tanah air menerusi pertandingan Short Shorts Film Festival & Asia Malaysia 2012 (SSFFA 2012) selama dua iaitu pada 8 dan 9 September di Studio Sound Stage, Finas.

Sebanyak 22 buah filem dari negara seperti Kanada, Poland, Itali, Japan, Jerman, United Kingdom (UK), Perancis, Iran, Sepanyol, Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia ditayangkan pada tarikh berkenaan.

Pengarah Pembangunan Modal Insan Finas, Mohd. Fazli Abdul Aziz berkata, festival filem pendek kali ketiga itu bertujuan membuka peluang kepada karyawan dan pelajar perfileman berkongsi pengalaman dalam pelbagai aspek pembikinan i filem pendek dari luar negara.

“Seiring dengan itu, Finas memberi peluang kepada orang ramai menonton karya filem pendek yang bermutu dari seluruh Asia. Pengunjung yang datang boleh menonton dan menghayati kepelbagaian tema dan budaya yang divisualkan agar dapat menghayati erti kehidupan dan kemanusiaan.

“Contohnya filem Mother of the Groom yang mengisahkan perbezaan budaya hidup masyarakat Jepun di Tokyo dan Okinawa. Begitu juga filem pendek dari Iran, The Road Is Closed mengisahkan empat lelaki yang terkandas dalam ribut salji ketika dalam perjalanan menghantar mimbar. Pelbagai konflik timbul dalam usaha menyelamatkan nyawa dan janji menghantar mimbar ke daerah pendalaman," katanya.

Tiga filem pendek yang tempatan yang dipertandingkan dalam SSFFA 2012 berjudul The Apprentice, Hari Jadi dan Di Kalangan Dia.

Segmen menarik

Festival ini mula diperkenalkan di Jepun (SSFFA Japan) di Harajuku Tokyo pada tahun 1999 dan mendapat pengiktirafan secara rasmi sebagai satu acara Academy Award oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences USA. Pemenang bagi anugerah Grand Prix layak dicalonkan bagi kategori filem pendek di Academy Awards bagi tahun berikutnya.

Ditanya tentang apa yang menariknya SSFFA 2012, Mohd. Fazli berkata, pihak penganjur bakal menampilkan segmen perkongsian pengalaman dalam bidang penerbitan bersama pengarah jemputan dari Indonesia dan Taiwan iaitu Ian Salim dan Jay Chern. Simposium itu turut menjemput penganjur induk SSFFA Jepun, Horishi Saito dan Suwa bersama-sama memeriahkan SSFFA 2012.

“Sesi A Sense of Home akan diadakan dengan menayangkan 12 filem pendek bagi memperingati tragedi tsunami yang melanda wilayah Fukuoka, Jepun pada Mac tahun 2011. Kita juga akan menayangkan filem pendek nukilan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak yang dihasilkan sebelum beliau menyandang jawatan tersebut.

Untuk sebarang penjelasan, orang ramai boleh hubungi Finas di talian 03-41041375 atau layari laman sesawang www.finas.gov.my dan detail program. Klik Sini

Artikel sumber: Utusan Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan