QIFARAH: ANTARA DENDAM, DOSA & PENGAMPUNAN

Dikenali sebagai sutradara yang sinonim dengan karya aksi penuh tenaga dan drama sarat emosi, Ghaz Abu Bakar kali ini tampil berani menyimpang daripada kebiasaan dengan filem seram pertamanya, Qifarah, yang mula menghantui pawagam seluruh negara sejak 9 Oktober lalu.

Filem terbitan Skop Productions bersama My Way Pictures dan Astro Shaw, dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, menampilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen spiritual, psikologi dan misteri keluarga suatu percubaan segar dalam sinema seram tempatan.

Mengangkat tema penebusan dosa dan pengampunan, Qifarah bukan sekadar kisah seram yang digerakkan oleh makhluk ghaib. Sebaliknya, ia menyelami sisi gelap manusia yang diburu rasa bersalah dan dendam masa silam. Melalui watak Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang pulang dari Kaherah demi membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam, filem ini menggali dosa dan rahsia silam yang menghantui rumah pusaka keluarga.

Namun dari sudut penceritaan, Qifarah sedikit tergelincir di bahagian pembukaannya. Babak pengenalan bergerak agak perlahan, dengan visual patung yang sarat simbolik hingga menenggelamkan emosi awal yang sepatutnya memikat. Lima minit pertama seharusnya mengundang rasa gelisah dan getaran ngeri, namun Ghaz memilih untuk membina suasana secara perlahan, satu keputusan yang tampak berisiko, tetapi masih terselamat hasil permainan sinematografi yang bijak serta sokongan penataan seni dan rekaan produksi yang mengagumkan.

Kelemahan dari segi ritma ini sedikit menjejaskan momentum naratif, khususnya bagi penonton yang menantikan ketegangan segera seperti dalam filem seram moden. Namun, segala kekurangan itu mula ditebus apabila penceritaan beralih ke bahagian pertengahan hingga ke penghujung. Di sinilah Ghaz mempamerkan kematangan gaya pengarahan serta kepekaan visualnya yang menawan, menjadikan Qifarah bukan sekadar filem seram, tetapi juga cerminan seni yang berpaksikan emosi dan estetika.

Dari sudut sinematografi, Qifarah benar-benar menyerlah. Setiap bingkai diolah dengan pencahayaan dramatik dan warna yang dingin mencipta atmosfera muram yang menekan emosi penonton. Reka bentuk bunyi yang menakutkan tanpa berlebih-lebihan menambah realisme pada suasana, menjadikan penonton seolah-olah turut terperangkap dalam ruang rumah pusaka yang penuh rahsia itu.

Pendekatan Ghaz yang lebih menumpukan kepada horror psikologi berbanding seram fizikal atau ‘gore’ membuktikan kematangannya sebagai pengarah yang memahami bahawa ketakutan sebenar sering lahir daripada rasa bersalah dan kepercayaan manusia terhadap dosa. Tidak hairan apabila filem ini lulus tanpa sebarang potongan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF)  menandakan bahawa Qifarah memilih jalur seram yang lebih intelektual dan berlapis makna.

Dari segi lakonan, barisan pelakon Qifarah menampilkan persembahan yang cukup meyakinkan. Setiap watak digarap dengan emosi dan nuansa tersendiri, memberi kedalaman kepada naskhah ini. Namun, antara yang paling mencuri perhatian ialah Sharifah Sakinah, yang tampil luar biasa sebagai Mawar, seorang wanita misteri yang mengamalkan ilmu hitam.

Sakinah bukan sekadar menjayakan watak, tetapi benar-benar menghidupkan kegelapan batin karakter itu; melalui gerak tubuh, renungan mata dan intonasi suaranya yang tajam. Penampilannya mengingatkan kepada gaya lakonan Luna Maya dalam beberapa karya seram Indonesia seperti Suzanna: Bernapas Dalam Lumpur (2018), Sumala (2024) dan Gundik (2025) — satu perbandingan yang membuktikan bahawa Sakinah kini berada dalam kelas tersendiri sebagai pelakon versatil tempatan.

Dari sudut produksi pula, penerbit veteran Datuk Yusof Haslam melihat kerjasama antara empat syarikat, Skop Productions, My Way Pictures, Astro Shaw dan Primeworks Studios sebagai lambang kekuatan industri yang berpaksikan semangat kolektif.

“Dalam industri ini, tiada siapa boleh berjaya seorang diri. Kalau hasil besar tapi kita kongsi, itulah rezeki yang sebenar,” ujar Datuk Yusof, menggambarkan nilai kerjasama yang menjadi tunjang kepada kelahiran Qifarah.

Barisan pelakon seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Rita Nadira, Liyana Jasmay, Vanida Imran, Namron, Esma Daniel dan pelakon kanak-kanak Rafique Iskandar menyalurkan emosi dengan baik, meskipun ada momen di mana lakonan terasa sedikit teatrikal. Namun, kekuatan utama filem ini tetap pada pengarahan visual dan susunan mood yang berkesan.

Qifarah akhirnya berdiri sebagai naskhah yang berani dan jujur  tidak sempurna, namun memiliki roh yang besar. Ia mungkin tersandung di awal perjalanan, tetapi bangkit gagah dengan kekuatan sinematografi dan keutuhan mesejnya tentang dosa, pengampunan dan dendam yang tidak pernah padam.

Dengan Qifarah, Ghaz Abu Bakar membuktikan bahawa dia bukan sekadar pengarah filem aksi  tetapi seorang sutradara yang mampu mencipta seram yang hidup dalam minda, bukan sekadar di layar.

3/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan