WINGS TERUSKAN KONSERT

Kumpulan legenda rock tanah air, Wings, mengesahkan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40: 4 Dekad Terbang Tinggi akan diteruskan seperti dijadualkan, meskipun dua anggota asalnya iaitu pemain dram Black dan pemain bes Eddie mengumumkan pengunduran diri mereka baru-baru ini.

Konsert bersejarah itu bakal berlangsung pada 28 November ini di Idea Live Arena, Damansara, Petaling Jaya, sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni Wings yang terus kekal sebagai ikon muzik rock Malaysia sejak ditubuhkan pada tahun 1985.

Menurut Dato' Eddy Amir Salim, selaku penganjur dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), keputusan meneruskan konsert dibuat atas dasar mempertahankan maruah dan semangat juang rock tanah air

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, sebaliknya satu penghormatan kepada nama Wings yang sudah empat dekad menghiburkan peminat. Kami mahu setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik kumpulan ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Black dan Eddie serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.

Tambahnya lagi, persiapan konsert berjalan lancar, dengan jualan tiket kini mencecah 90 peratus, manakala baki 10 peratus lagi masih boleh didapati untuk peminat yang belum membuat pembelian.

“Kami mahu memastikan konsert kali ini tampil epik, penuh tenaga dan sarat nostalgia. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi simbol ketahanan Wings dalam dunia muzik,” jelas Dato' Eddy yang juga penerbit bersama acara berkenaan.

Konsert istimewa itu dijangka menghimpunkan ribuan peminat dari seluruh negara bagi meraikan legasi empat dekad Wings yang sinonim dengan deretan lagu malar segar seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Biarkan Berlalu dan Ingatkan Dia.

Terdahulu, pengumuman pengunduran Black dan Eddie daripada Wings yang dibuat menerusi kenyataan media, mengejutkan ramai peminat setia. Dalam kenyataan itu, kedua-duanya memaklumkan bahawa mereka tidak akan terbabit dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadual dipentaskan di Malaysia pada 28 November, diikuti Singapura pada 24 Disember nanti.

Semakan juga mendapati, ini bukan kali pertama Black meninggalkan Wings. Pada tahun 1990, beliau pernah berundur selepas penerbitan album Teori Domino sebelum kembali menyertai kumpulan itu pada 1995 ketika rakaman album Orang Asing.

Sementara itu, Eddie belum pernah meninggalkan kumpulan berkenaan sejak menjadi anggota asal pada tahun 1985.

Selepas pengunduran dua figura tersebut, Wings kini dibarisi oleh Dato' Awie selaku vokalis, Syam (gitar utama) dan Edrie Hashim (gitar utama).

Dengan semangat dan dedikasi yang tidak pernah luntur, konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi bakal menjadi manifestasi kekuatan nama Wings satu legasi yang bukan sekadar milik sebuah kumpulan muzik, tetapi lambang keberanian dan harga diri rock Malaysia.

Catat Ulasan

0 Ulasan