Tangisan kegembiraan mengiringi kemenangan manis pasangan anak-beranak, Marsya Qistina dan pengurusnya merangkap ibu tersayang, Liza Hanim, apabila diumumkan sebagai Juara program realiti Talk To My Manager (TTMM) malam tadi.
Berlangsung penuh emosi di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kemenangan itu sekali gus menyaksikan Marsya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 bersama trofi kejuaraan, menewaskan pesaing terdekatnya, Thalita yang bergandingan dengan Shuib di tempat kedua (RM15,000) dan Audra bersama Sharifah Shahirah di tempat ketiga (RM10,000).
Sharifah Shahirah turut membawa pulang satu lagi penghargaan istimewa apabila dinobatkan sebagai Gempak Most Valuable Manager, menerima baucar membeli-belah bernilai RM2,000 sumbangan Pavilion Bukit Jalil.
Tempat keempat dimenangi oleh Ammar dan Ameng, diikuti Hadie dan Ina Naim di tempat kelima, serta Amad dan Siti Saerah di tempat keenam, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai antara RM3,000 hingga RM5,000 bersama trofi.
Namun di sebalik sorakan kemenangan, kisah Marsya di pentas TTMM bukan sekadar tentang trofi atau hadiah tetapi tentang usaha gigih seorang anak muda yang mahu membuktikan bakatnya tidak bersandar pada nama besar ibunya.
Sejak minggu pertama lagi, Marsya tampil konsisten dengan vokal mantap dan persembahan yang semakin matang setiap minggu. Bagi dirinya, setiap minggu adalah peluang untuk belajar, memperbaiki diri, dan menunjukkan identiti seninya yang tersendiri.
Dalam satu temu bual selepas keputusan diumumkan, Marsya mengakui dirinya tidak menyangka akan bergelar juara.
“Saya betul-betul terkejut. Dalam hati saya fikir mungkin dapat tempat kedua atau ketiga saja. Tapi bila nama diumumkan, saya rasa macam mimpi. Saya sangat bersyukur dan gembira,” ujar Marsya dalam nada sebak.
Sementara itu, Penyanyi Liza Hanim yang merupakan ibu kepada Marsya turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut sambil mengucapkan penghargaan kepada semua penonton dan peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan kami dalam program ini dari minggu pertama hingga akhir. Ia bukan mudah, tapi saya bangga melihat perkembangan Marsya dan bagaimana dia benar-benar bekerja keras untuk berada di sini,” katanya.
Bagi Liza, kemenangan Marsya adalah hasil dedikasi dan disiplin, bukan kelebihan nama. Sebagai pengurus, beliau menekankan sikap profesional dan tidak memberi laluan mudah meskipun Marsya adalah anaknya sendiri.
Kejayaan ini sekaligus menjadi simbol bahawa bakat sejati dan usaha berterusan tetap menjadi ukuran utama. Marsya membuktikan bahawa lahir daripada keluarga seni bukan tiket mudah untuk berjaya sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk berdiri dengan maruah sendiri.
Program Talk To My Manager, yang dikendalikan oleh pengacara legenda Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil) ini menampilkan barisan juri ternama seperti Che Puan Sarimah dan Dato' AC Mizal, bersiaran selama tujuh minggu di Astro Ria (saluran 104) setiap Ahad, jam 9 malam.
Antara peserta lain yang turut mewarnai pentas TTMM ialah Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Sharifah Shahirah & Audra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie, serta Aziz M. Osman & Ara.
Musim ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan sebenar untuk menguji strategi, bakat dan ketahanan mental dalam dunia hiburan yang penuh cabaran dan Marsya Qistina telah membuktikan, dia bukan sekadar anak kepada Liza Hanim, tetapi bintang baharu yang bersinar dengan cahaya sendiri.


0 Ulasan