Enam dekad mengabdikan diri dalam dunia hiburan dan perfileman bukanlah perjalanan yang mudah. Ia menuntut pengorbanan, kesungguhan dan jiwa seni yang tulus, dan semua itu terserlah dalam diri seorang insan bernama Othman Hafsham, sutradara yang namanya terpahat kukuh dalam sejarah sinema Melayu.
Saat melangkah ke kediamannya, terasa aura keagungan seorang maestro yang pernah mencipta fenomena, menyulam kisah layar menjadi magis yang kekal abadi. Beliau bukan sekadar pengarah, tetapi sebuah institusi seni yang telah membentuk identiti perfileman Malaysia moden.
Dari Adik Manja (1980) ke Mekanik (1983), dari Rahsia (1987) yang melayakkannya meraih Pengarah Terbaik FFM7 hingga ke sitkom legenda Pi Mai Pi Mai Tang Tu (1995–2004), setiap karyanya bukan sekadar hiburan tetapi refleksi kehidupan. Othman Hafsham mengangkat realiti sosial dengan humor, emosi dan simbolisme yang halus, menjadikan setiap naskhahnya dekat di hati penonton.
Namun, di sebalik senyuman dan kejayaan, tersimpan satu penyesalan kecil yang masih berbaki hingga kini iaitu beliau tidak sempat bekerjasama dengan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee.
“Saya kenal P. Ramlee ketika bertugas di RTM. Beliau sering datang berurusan dengan penerbit Zainuddin Nordin, dan bilik kerja saya betul-betul bersebelahan. Kami sempat berbual dan pernah bincang untuk hasilkan satu rancangan baharu, tapi malangnya ia tak sempat direalisasikan. Saya hanya sempat jadi kawannya, bukan rakan seperjuangan,” ujarnya perlahan, mengenang detik itu.
Kisah itu dikongsikan Hafsham ketika menghadiri Sesi Apresiasi Tokoh Perfileman dalam program Tribute: Penghargaan Kepada Tokoh-tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), baru-baru ini. Dalam sesi yang turut menampilkan pelakon veteran Rominah Sedik serta moderator Ahmad Fedtri Yahya, beliau berkongsi pengalaman sepanjang enam dekad perjuangan seninya.
Turut hadir menyampaikan penghormatan, Pengerusi FINAS Dato' Hans Isaac, Pengerusi FDAM Dato' Afdlin Shauki, dan Datuk Yusof Haslam tiga generasi penerus yang menyedari bahawa nama Othman Hafsham ialah salah satu tonggak penting industri filem Malaysia.
Sejak mula berkecimpung dalam dunia seni pada tahun 1962, sentuhan Hafsham sentiasa membawa warna dan jiwa daripada naskhah box office seperti Ujang, Driving School, hingga ke komedi rakyat 2+1. Setiap karyanya memperlihatkan keseimbangan antara komersial dan kritikal, antara hati dan minda.
Namun di usia 85 tahun, beliau mengakui, rindu untuk kembali ke set penggambaran masih membara, biarpun tubuhnya tidak lagi sekuat dulu.
“Sejujurnya, saya masih rindukan suasana di set. Berkarya bukan sekadar kerja, tapi jiwa saya. Saya tak boleh duduk diam tanpa mencipta sesuatu. Menulis dan mengarah adalah punca rezeki dan sumber semangat saya,” katanya penuh syukur.
Pernah ditawarkan menjadi pensyarah jemputan di universiti, beliau menolak dengan rendah diri kerana menyedari keterbatasan fizikalnya.
“Banyak universiti datang berjumpa, tapi saya tahu saya tak mampu. Saya suka mengajar, tapi tenaga saya tak sama seperti dulu,” tambahnya lagi.
Kini, meskipun jasadnya tidak lagi berada di belakang kamera, semangat pengarahan Othman Hafsham terus hidup dalam setiap bingkai filem dan tawa penonton yang pernah menyaksikan karyanya. Beliau tidak hanya meninggalkan filem, tetapi beliau meninggalkan warisan cara berfikir, berimaginasi dan berkarya.
Kerana dalam diri seorang seniman sejati seperti Othman Hafsham, filem bukan sekadar tontonan, ia adalah cara untuk hidup selama-lamanya.
Ikuti Siri Kedua Program Tribute: Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara pada 16 Oktober 2025, di mana ianya menampilkan Seniman dan Seniwati hebat, Dato' Rahim Razali dan Datuk Hajah Rosnani Jamil.







0 Ulasan