'SIAPA DIA': REFLEKSI SINEMA INDONESIA

Dalam dunia filem yang kian dikuasai oleh komersialisme dan algoritma tontonan digital, nama Garin Nugroho terus menjadi suara yang berbeza. Pengarah prolifik ini tidak pernah berhenti mencari makna seni dalam keheningan layar. Tahun 2025 menandakan kemunculan karya terbaharunya berjudul Siapa Dia, sebuah filem muzikal-drama sejarah yang bukan sahaja menguji keupayaan lakonan Nicholas Saputra, tetapi juga memperlihatkan sisi introspektif Garin terhadap dunia sinema Indonesia. 

Garin Nugroho: Pengarah yang Menulis dengan Cahaya dan Jiwa

Dilahirkan di Yogyakarta pada tahun 1961, Garin Nugroho Riyanto dikenali sebagai salah seorang auteur paling berpengaruh di Asia Tenggara. Beliau memulakan perjalanan seninya menerusi filem pendek Gerbong Satu, Dua (Wagon 1,2) (1984) sebelum tampil dengan filem sulungnya, Cinta dalam Sepotong Roti (1991), yang menandakan kemunculan seorang sutradara dengan visi sinema yang berbeza daripada arus perdana.

Sejak itu, Garin telah menghasilkan lebih daripada 20 buah filem yang secara konsisten menolak formula komersial, sebaliknya mengangkat tema budaya, politik dan kemanusiaan sebagai inti naratifnya. Dalam setiap karyanya, beliau memperlihatkan keupayaan luar biasa menggabungkan seni puitika dengan realiti sosial, menjadikan filem-filemnya bukan sekadar tontonan, tetapi ruang tafsir terhadap pengalaman manusia dan spiritualiti Nusantara.

Jika anda antara penggemar karya arahannya seperti Cinta Dalam Sepotong Roti (1991), Daun di Atas Bantal (1998), Aku Ingin Menciummu Sekali Saja (2002), Opera Jawa (2006), Soegija (2012), Kucumbu Tubuh Indahku (2018), sehinggalah Samsara (2024), maka karya terbaharunya Siapa Dia (2025) pastinya menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam. Filem ke-21 arahan Garin ini memperlihatkan sisi beliau yang terus bereksperimen, mencari keseimbangan antara bentuk, jiwa dan makna dalam sinema moden.

Sebagai seorang sutradara yang terkenal dengan keupayaannya menterjemahkan realiti sosial dan spiritual menjadi puitika sinematik bertaraf antarabangsa, Garin sekali lagi mencabar sempadan naratif dan bentuk sinema melalui Siapa Dia sebuah karya yang bukan sekadar bercerita, tetapi menyoal hakikat penciptaan dan kewujudan manusia itu sendiri. 

Antara karya terpenting dalam perjalanan sinematik Garin ialah Daun di Atas Bantal (1998), Opera Jawa (2006), Soegija (2012) dan Kucumbu Tubuh Indahku (2018). Keempat-empat naskhah ini memperlihatkan pelbagai dimensi pemikiran dan eksperimen sinema Garin yang luas, serta membentuk dasar estetik yang menjadikan beliau antara tokoh utama sinema kontemporari Asia.

Daun di Atas Bantal (1998), misalnya, menggambarkan kehidupan kanak-kanak jalanan di Yogyakarta dengan pendekatan realisme puitis yang menyentuh, sekaligus membuka mata dunia terhadap wajah kemanusiaan di Indonesia pasca-Orde Baru. Opera Jawa (2006) pula merupakan adaptasi muzikal daripada epik Ramayana, menggabungkan elemen teater tradisional, tari dan visual sinematik berlapis yang menegaskan kefahaman Garin terhadap dialog antara budaya klasik dan moden.

Bagi Soegija (2012), Garin menelusuri sisi sejarah bangsa melalui biopik tentang Uskup Katolik pertama Indonesia, Mgr. Albertus Soegijapranata, yang menggabungkan persoalan keagamaan, kemerdekaan dan kemanusiaan dengan naratif yang tenang tetapi mendalam. Sementara itu, Kucumbu Tubuh Indahku (2018) muncul sebagai karya paling berani dan kontroversial dalam kariernya, mengupas tema tubuh, identiti jantina dan spiritualiti dengan kejujuran artistik yang jarang ditemui, sekaligus diangkat ke pelbagai festival filem antarabangsa dan meraih pelbagai anugerah. 

Menariknya, Garin sering menolak label “pengarah realisme sosial”. Baginya, filem adalah puisi visual yang menangkap ruang di mana tubuh, bunyi dan cahaya berbicara lebih dalam daripada dialog. Sinemanya tidak pernah statik, tetapi bergerak sebagai renungan, ritual dan doa. Oleh itu, Siapa Dia bukan sekadar filem baharu dalam katalog panjang karyanya, tetapi satu renungan eksistensial yang menyatukan pengalaman, sejarah dan persoalan spiritual dalam bentuk muzikal yang intim, reflektif dan penuh makna.

“Siapa Dia”: Filem Tentang Pencarian Diri dan Jiwa Sinema

Filem Siapa Dia, terbitan Fabis Entertainment bersama Horizon Film Entertainment dan Barnstorm Entertainment, menampilkan Nicholas Saputra sebagai Layar, seorang pengarah muda yang berdepan krisis ilham ketika menyiapkan sebuah filem muzikal. Bersama penulis skripnya, Rintik (lakonan Amanda Rawles), dia pulang ke rumah neneknya dan menemui sebuah beg berisi surat cinta dan catatan lama keluarganya.

Beg itu menjadi pintu kepada kisah lain iaitu, kisah cinta dan tragedi dari masa lalu yang menghubungkan generasi. Layar kemudian “terhanyut” dalam dunia antara realiti dan memori, antara seni dan sejarah, antara kehidupan dan lakonan. 

Garin menjelaskan bahawa Siapa Dia ialah filem tentang proses penciptaan itu sendiri. Ia adalah refleksi terhadap dunia sinema Indonesia yang semakin terpisah daripada akar budaya dan sejarahnya.

“Filem ini tentang pengarah yang mencari makna, bukan sekadar cerita. Ia juga perjalanan batin tentang bagaimana seni itu menulis jiwa manusia,” ujar Garin dalam sesi promosi filemnya di Jakarta.

Muzikal sebagai Bahasa Jiwa

Buat pertama kali dalam kariernya, Garin memilih bentuk muzikal sebagai medium utama penceritaan. Walau bagaimanapun, muzikal di tangan Garin bukan hiburan ringan. Ia menjadi bahasa ekspresi batin, tempat muzik dan tarian mengalir sebagai terjemahan kepada jiwa manusia yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.

Dalam Siapa Dia, Nicholas Saputra bukan sekadar berlakon  beliau juga menyanyi dan menari sendiri. Ini menjadikannya lakonan paling mencabar dalam kariernya.

“Saya tidak berfikir panjang saat ditawarkan. Walaupun tidak masuk akal, saya mahu mencuba sesuatu yang baru,” kata Nicholas ketika ditemu bual oleh media Indonesia.

Gabungan unsur tarian, puisi dan lagu mencipta suasana sinematik yang lembut tetapi beremosi tinggi sekali gus memperkukuh gagasan Garin bahawa tubuh manusia adalah teks budaya. Visual-visualnya pula disusun dengan gaya simbolik dan warna yang berlapis, menjadikan Siapa Dia sebuah lukisan bergerak yang menawan. 

Nicholas Saputra: Dari “Rangga” ke Pengarah "Layar"

Pemilihan Nicholas Saputra dalam peranan utama memberi nilai simbolik yang besar. Beliau yang terkenal dengan watak introspektif seperti Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta? kini memainkan watak pengarah muda yang mencari makna seni. Dalam konteks ini, Siapa Dia menjadi metafora perjalanan karier Nicholas sendiri, dari ikon romantik remaja kepada pelaku seni yang matang dan berfalsafah.

Wataknya sebagai Layar berlapis masa dan identiti; setiap versi dirinya menampilkan sisi berbeza tentang cinta, warisan dan kreativiti. Persembahan Nicholas yang tenang tetapi dalam menjadikan filem ini bukan sekadar tontonan naratif, tetapi pengalaman emosi yang meresap perlahan. 

Dunia Sinema Indonesia dan Autorefleksi

Dari sudut konteks industri, Siapa Dia lahir ketika sinema Indonesia berada di persimpangan penting. Dalam dekad kebelakangan, filem-filem komersial seperti seram dan romantik menjadi nadi utama pasaran, sementara karya auteur seperti Garin sering berlegar di ruang festival dan tayangan khas.

Namun, Garin tidak menolak arus; sebaliknya beliau memilih untuk memperlahankan masa, membawa penonton menyelam ke dalam makna. Watak Layar menjadi representasi generasi pembikin baharu yang bergelut antara idealisme dan tekanan komersial.

Melalui Siapa Dia, Garin menyampaikan pesanan halus  bahawa filem bukan sekadar industri, tetapi juga medium ingatan dan identiti budaya. Dunia sinema bukan hanya tempat mencipta cerita, tetapi ruang di mana manusia berfikir tentang dirinya sendiri.

 

Estetika dan Puitika Visual

Ulasan IDN Times menggambarkan Siapa Dia sebagai filem dengan “sinematografi berlapis, naratif yang perlahan tetapi sarat emosi”. Setiap bingkai dirancang seperti karya lukisan yang bermain dengan warna, cahaya dan gerak menjadi bahasa makna.

Unsur mise en abyme  filem di dalam filem menjadikan struktur naratifnya reflektif dan berlapis. Penonton seolah-olah diundang menonton proses penciptaan, sekali gus merenung makna menjadi seorang pembikin. Inilah yang membezakan Garin daripada pengarah arus perdana: beliau menjadikan sinema sebagai cermin falsafah dan bukan sekadar alat hiburan.

Siapa Dia ialah karya yang menuntut kesabaran dan pemikiran. Ia tidak menjanjikan sensasi, tetapi menawarkan renungan. Dalam setiap babaknya, Garin seperti bertanya, siapa yang kita lihat di layar, dan siapa yang melihat balik kepada kita?

Filem ini menjadi manifesto peribadi Garin Nugroho tentang seni, warisan, dan manusia. Ia menggabungkan bentuk muzikal, sejarah dan introspeksi diri dalam satu bahasa sinema yang lembut tetapi menggugah.

Dalam dunia yang semakin bising dengan formula dan tontonan segera, Siapa Dia hadir sebagai ruang tenang, tempat di mana sinema kembali kepada hakikatnya: sebuah seni yang mencari jiwa.

Membariskan lakonan hebat  Nicholas Saputra, Amanda Rawles, Ariel Tatum, Cindy Nirmala, Morgan Oey, Widi Mulia, Gisella Anastasia dan Happy Salma, Siapa Dia di pawagam Malaysia bermula 16 Oktober 2025. 

 4/5 wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan