INTEAM RAIKAN 25 TAHUN PERJALANAN SENI

Kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, bakal meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan mereka menerusi sebuah konsert berskala besar bertajuk 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadual berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert yang dianjurkan oleh ICON Entertainment di bawah pimpinan Iman Tang itu disifatkan sebagai penghormatan terhadap perjalanan panjang Inteam dalam memperjuangkan muzik berunsur kerohanian sejak penubuhan mereka pada tahun 2000.

Menurut Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, penganjuran tersebut merupakan kesinambungan usaha syarikatnya dalam memartabatkan pelbagai genre seni tempatan, termasuk muzik nasyid yang selama ini menjadi medium dakwah dan inspirasi masyarakat.

“Sebagai penganjur, kami meraikan semua karyawan seni tanpa mengira genre. Muzik berunsur kerohanian juga wajar diberi ruang yang sama dalam pentas hiburan arus perdana. 25 Tahun Inteam Nur Kasih amat istimewa kerana ia bukan sekadar konsert, tetapi satu perjalanan rohani yang menyentuh hati,” katanya.

Simbol 25 Tahun Dedikasi dan Kasih

Dianggotai oleh Hazamin Harun, Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman, dan Hisyam Ahmad, Inteam terus kekal relevan dengan karya yang mengangkat nilai kasih sayang dan ketuhanan melalui lagu-lagu popular seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta, dan Kasih Kekasih.

Iman Tang menyifatkan keistimewaan kumpulan ini terletak pada kejujuran serta kesederhanaan mereka dalam menyampaikan mesej rohani.

“Lagu-lagu mereka dekat di hati pendengar. Saya percaya konsert ini akan menjadi malam yang sarat dengan emosi dan penuh makna buat peminat yang membesar bersama karya mereka,” ujarnya.

Hadiah Umrah dan Tawaran Eksklusif Untuk Peminat

Menariknya, konsert ini turut menawarkan cabutan bertuah eksklusif sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia Inteam.

Sebanyak enam pakej umrah bernilai RM8,999 setiap satu tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn. Bhd. menanti pemilik tiket bertuah. Pakej tersebut merangkumi penginapan di Swissotel Makkah dan Hayah Golden Madinah, dengan perjalanan dijadualkan dari 19 hingga 30 Ogos 2026.

Selain itu, 10 baucar perjalanan bernilai RM5,000 turut disediakan oleh penaja yang sama, diikuti hadiah tambahan daripada ICON Entertainment berupa dua unit skuter Modenas Elit 150s dan sebuah telefon pintar terbaharu.

“Kami mahu konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk penghargaan kepada peminat yang telah bersama Inteam selama lebih dua dekad,” jelas Iman Tang.

Jualan Tiket Bermula 24 Oktober

Tiket 25 Tahun Inteam Nur Kasih dijual pada harga antara RM168 hingga RM488, dan boleh didapati menerusi laman ticket2u bermula 24 Oktober 2025, jam 11 pagi.

Ketika ditemui media, anggota Inteam mendedahkan bahawa tawaran untuk mengadakan konsert besar ini telah disuarakan lebih awal oleh Iman Tang sebelum penganjuran Konsert Kasih Kekasih di Idea Live Arena pada 28 September lalu.

“Persetujuan untuk mengadakan Konsert Nur Kasih pada 1 Februari 2026 telah dicapai sebelum konsert di Idea Live berlangsung. Boleh dikatakan konsert baru-baru ini menjadi ‘pra-konsert’ kepada persembahan besar kami di Axiata Arena nanti.

"Jujurnya, kami amat terharu dengan kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh ICON Entertainment. Bagi mereka yang terlepas menonton di Idea Live, jangan lepaskan peluang untuk bersama kami di Axiata Arena tahun depan,” kata Inteam.

Legasi dan Sumbangan Inteam

Ditubuhkan pada tahun 1998, Inteam merupakan antara kumpulan nasyid lelaki paling berpengaruh selepas Raihan, Rabbani dan Hijjaz. Sehingga kini, mereka telah menghasilkan 11 album studio, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara peneraju utama muzik kerohanian moden di Malaysia.

Catat Ulasan

0 Ulasan