BORNEO FASHION WEEK 2025: MENGANGKAT WARISAN & TRADISI BORNEO

Kota metropolitan Kuala Lumpur baru-baru ini diserikan dengan ledakan warna, cahaya dan pesona apabila Borneo Fashion Week (BFW) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang di Pavilion Damansara Heights, setelah dua hari meraikan seni, budaya dan gaya dalam satu pentas yang memukau pada 10 dan 11 Oktober lalu.

Mengangkat tema “Fashion With Purpose”, acara berprestij ini tampil bukan sekadar mengangkat keindahan rekaan dan keanggunan siluet moden, tetapi juga menyalakan obor kesedaran tentang kelestarian, warisan dan komuniti kreatif, di antara tiga elemen yang menjadi denyut nadi identiti Borneo.

Di bawah pimpinan pengasasnya, Stephanie Alcantara bekas ratu cantik dan ikon fesyen yang kini menjadi simbol visi progresif industri. BFW 2025 sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai platform penyatuan. Ia menyatukan pereka, model, artis dan pencinta fesyen di bawah satu langit yang sama bagi memperjuangkan keindahan yang bukan sekadar untuk dilihat, tetapi untuk dirasai, dihayati dan dimaknai.

Hari Pertama: Tradisi Bertemu Moden, Jiwa Bertemu Gaya

Hari pertama Borneo Fashion Week (BFW) 2025 bermula dengan ledakan tenaga dan warna dengan deruan kamera, gemuruh tepukan dan lantunan muzik etnik yang memukau. Persembahan tarian tradisional membuka tirai seolah-olah mengundang hadirin menyeberangi sempadan waktu, ke sebuah dunia di mana masa silam dan masa depan berpadu di atas sehelai fabrik.

Barisan pereka tersohor seperti GC Jade, Bilang, Clarissima, Even Ong, Aldrin Artistry dan Hayden Ng mengisi pentas dengan karya yang menafsirkan semula warisan Borneo dalam gaya moden. Setiap helaian tampil berani bagi melalui permainan tekstur yang kaya, palet warna bumi dan lautan, serta potongan kontemporari yang berbisik tentang jiwa Borneo yang bebas, lembut namun gagah bereksperimen.

Menjelang malam, suasana berubah menjadi lebih dramatik. Nasha Prive, Barzwang, Inayad, Wan Bynun, Jay K, Maswira Majid dan Ocely membawa penonton mengembara ke dimensi baharu fesyen avant-garde yang menggugat imaginasi, fabrik yang bergerak seolah-olah bernyawa, dan karakter rekaan yang sarat emosi.

Pavilion Damansara Heights bertukar wajah menjadi seakan katedral fesyen, di mana setiap langkah model diiringi decak kagum dan tepukan tanpa henti. Malam itu, fesyen bukan sekadar busana, ianya adalah manifestasi jiwa dan budaya yang diterjemah dalam setiap jahitan dan cahaya.

Hari Kedua: Penghargaan, Inspirasi dan Perayaan Kreativiti

Hari kedua Borneo Fashion Week (BFW) 2025 membuka tirainya dengan aura penuh penghargaan dan semangat kebersamaan. Acara dimulakan dengan sesi Sponsor Appreciation, sebagai tanda terima kasih kepada barisan penaja yang menjadi tulang belakang penganjuran tahun ini,  antaranya Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques, Laurastar, Felix Relocations, Jambo BSC, Kai Academy, Go Viral Labs, Music Force, ROGUES Café serta Pavilion Damansara Heights.

Nama-nama ini bukan sekadar penyokong, tetapi rakan strategik yang bersama menjayakan visi BFW untuk menjadikan fesyen sebagai satu pergerakan yang berjiwa, bererti dan berimpak.

Di tengah kemeriahan, Stephanie Alcantara turut menzahirkan penghargaan kepada ASEAN Fashion Designers Showcase (AFDS) dari Brunei, Singapura, Vietnam dan Malaysia atas kolaborasi kreatif yang menandakan keterhubungan Borneo dengan dunia fesyen serantau.

Pertunjukan fesyen diteruskan dengan koleksi memukau daripada Indra Murak, December Teo, Bianca, Saerah R. Kunjan dan Angelique. Setiap persembahan seolah-olah helaian cerita baharu daripada gaya moden minimalis hingga rekaan avant-garde berjiwa etnik, memperlihatkan kepelbagaian imaginasi dan bakat pereka Asia.

Menjelang malam, dewan Pavilion Damansara Heights kembali berkilau untuk Malam Anugerah BFW 2025 (Awards Night) di mana  kemuncak kepada seluruh perjalanan dua hari yang penuh inspirasi. Pentas diserikan dengan persembahan tarian tradisional dan persembahan khas oleh artis jemputan, diikuti pertunjukan istimewa daripada Calvin Thoo, Nasha Prive, Heritage Wear dan Yacutha, yang menutup tirai dengan pesona luar biasa.

Malam itu juga menyaksikan detik bersejarah apabila nama-nama baharu dan legenda fesyen diraikan dalam anugerah berprestij:

  • Green Thread AwardSaerah R. Kunjan
  • Most Promising DesignerOcely
  • Emerging Designer of The YearBarzwang
  • Designer of The YearNasha Prive
  • Model of The Year (Female)Rania
  • Model of The Year (Male)Ariq

Setiap kemenangan tidak hanya menandakan kejayaan, tetapi menjadi simbol semangat, inovasi dan keberanian untuk berfikir di luar batas serta menjadikan fesyen sebagai medium ekspresi dan suara peribadi.

“Fashion With Purpose”: Naratif Baharu Asia

Bagi Stephanie Alcantara, edisi tahun ini bukan sekadar kejayaan penganjuran, tetapi sebuah pencapaian yang menyentuh hati.

“BFW 2025 membuktikan bahawa Borneo bukan sekadar pemerhati dalam dunia fesyen, tetapi pemain penting yang membawa nilai, jiwa dan keaslian. Kami mahu fesyen bukan sekadar cantik, tetapi bermakna. Setiap helaian yang diperagakan membawa mesej tentang kelestarian, warisan dan kasih terhadap bumi serta budaya kita,” ujar Stephanie penuh emosi dan kebanggaan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi, para pereka, model, penaja dan rakan media yang memainkan peranan besar menjadikan BFW lebih daripada sekadar pertunjukan. Ia merupakan platform budaya yang menggabungkan tradisi dan inovasi, membentuk satu naratif fesyen yang berjiwa dan bererti.

Tirai Ditutup, Harapan Dibuka

Apabila tirai Borneo Fashion Week (BFW) 2025 dilabuhkan, yang tertinggal bukan sekadar kilauan lampu dan gemerlapan fabrik, tetapi getar inspirasi yang menyalakan rasa bangga terhadap akar budaya sendiri. Acara ini menandakan lembaran baharu dalam sejarah fesyen Malaysia  bukan hanya tentang gaun dan cahaya, tetapi tentang kisah manusia di sebalik setiap helaian, tentang Borneo yang bangga menjadi dirinya sendiri.

Kehadiran penggiat industri antarabangsa, pereka serantau dan pempengaruh global membuktikan bahawa BFW kini berdiri megah di peta fesyen dunia, membawa bersama haruman hutan hujan tropika, keindahan anyaman tradisional, dan semangat komuniti yang tidak pernah luntur.

Dengan senyuman yang penuh makna, Stephanie menutup bicara, seolah-olah menitipkan harapan kepada generasi fesyen yang akan datang.

Borneo Fashion Week bukan sekadar sebuah acara. Ia adalah suara, jiwa dan identiti yang menjadi denyut semangat untuk terus hidup,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan