Konsert Lagenda Nada Murni yang sepatutnya berlangsung pada 7 Disember ini di Idea Live Arena, Damansara terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu berikutan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Dalam satu kenyataan rasmi, penganjur Karri Talk Production dan Westzone Entertainment memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas penilaian menyeluruh bersama pasukan produksi, para artis serta rakan kerjasama utama.
Menurut penganjur, beberapa komponen persediaan termasuk aspek promosi dan penyelarasan dalaman belum berada pada tahap optimum untuk memastikan penganjuran konsert dapat dijalankan dengan kualiti terbaik.
Penganjur menegaskan bahawa keputusan menangguhkan penganjuran konsert itu dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak, termasuk penonton, rakan strategik, penaja serta barisan artis yang terlibat.
“Kami kini sedang mendapatkan tarikh baharu yang sesuai dan akan memaklumkan jadual terkini sebaik memperoleh persetujuan semua artis utama, termasuk Ustazah Asma’ Harun serta kumpulan yang bakal membuat persembahan,” menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi Instagram rasmi konsert tersebut.
Bagi pemegang tiket yang ingin membuat tuntutan bayaran semula, mereka boleh menghubungi pihak penganjur atau terus berurusan melalui akaun rasmi @ilassotickets dan @fantopia_io bagi proses seterusnya.
Nada Murni Bakal Bersatu Semula Selepas 35 Tahun
Mengikut perancangan asal, konsert ini dijangka menjadi detik bersejarah apabila ahli-ahli asal Nada Murni yang kini bergerak di bawah kumpulan Hijjaz dan Rabbani dipertemukan kembali di pentas yang sama selepas lebih 35 tahun.
Persembahan istimewa itu turut dijangka membangkitkan nostalgia kegemilangan nasyid era 80-an menerusi rangkaian lagu malar segar seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul dan Tanpa Agama.
Selain itu, penonton juga bakal disajikan dengan persembahan eksklusif daripada barisan artis jemputan seperti Saujana, Akhil Hai dan Pak Dinie Juri yang tampil dalam segmen khas.




0 Ulasan