MALAM SIMFONI LUKA SELAMI EMOSI TIGA DUNIA MUZIK

Bersediakah anda menyusuri liku kenangan yang sarat emosi pada malam 24 Januari nanti? Malam Simfoni Luka bakal menghimpunkan tiga nama berpengaruh dalam industri muzik Nusantara iaitu For Revenge, Insomniacks dan Midnight Fusic di bawah satu pentas yang menjanjikan pengalaman sonik yang luar biasa.

Memilih Megastar Arena, Kuala Lumpur sebagai gelanggang utama, Malam Simfoni Luka hadir sebagai malam meraikan emosi dan perjalanan tiga dunia muzik yang berbeza. Penonton akan dibawa menelusuri memori dan perasaan melalui setiap genre yang dipersembahkan, diceritakan dengan gaya dan jiwa tersendiri.

Setiap kumpulan membawa warna unik yang membentuk mozek emosi konsert ini, namun kesemua mereka berkongsi satu benang merah iaitu kejujuran dalam menterjemah rasa.

For Revenge, kumpulan dari Indonesia yang terkenal dengan identiti post-hardcore, hadir dengan persembahan bertenaga, lirik yang jujur menikam rasa, serta intensiti yang menggugah jiwa. Namun bagi Insomniacks, trio jejaka tempatan yang mencetus fenomena pop moden Malaysia, terus menjadi suara generasi muda melalui melodi segar dan kisah cinta realistik yang dekat di hati peminat.


Manakala bagi Midnight Fusic pula melengkapkan palet emosi dengan nuansa dreamy dan alternatif melankolik, lembut, dan ibarat mimpi yang sukar dilepaskan.

Apabila ketiga-tiga mood ini digabungkan, lahirlah sebuah produksi lintas genre yang merentas keras dan lembut, luka dan penyembuhan, nostalgia dan harapan. Ia seperti mengusik luka lama hanya untuk menemukan kekuatan baharu di penghujungnya.

“KONSERT INI TENTANG LUKA, TENTANG BANGKIT.”

Menurut pihak penganjur, Malam Simfoni Luka dibangunkan dengan konsep yang sangat peribadi, iaitu satu bentuk pertemuan emosi antara artis dan peminat. Menerusinya, elemen cinta dalam kehidupan serta cara ia disalurkan melalui muzik diterjemahkan dalam sebuah persembahan yang dijangka mencuri perhatian umum menjelang 24 Januari nanti.

“Sebagai peminat muzik, mereka wajib hadir menonton konsert ini. Ia bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi tentang luka, semangat untuk bangkit, dan bagaimana muzik menjadi terapi dalam hidup. Penonton bakal dibawa menyelami dimensi lain, dan pasti pulang dengan memori indah yang tidak dijangka,” jelas wakil produksi dalam kenyataan media.

Setiap persembahan akan menampilkan aransemen baharu, termasuk susunan string, lapisan elektronik, serta interpretasi live yang memberi nafas segar kepada setiap lagu yang dipersembahkan.

PENGALAMAN SINEMATIK DI MEGASTAR ARENA

Bagi menghidupkan pengalaman muzik yang sarat emosi, pihak produksi menjanjikan persembahan luar biasa dengan rekaan produksi yang teliti dan penuh kreativiti.

Dengan pencahayaan dramatik, visual sinematik eksklusif, serta elemen artistik yang membawa penonton menyelami setiap naratif emosi dalam lagu, Malam Simfoni Luka boleh digambarkan sebagai malam terapi muzik. Ia menjadi ruang refleksi, pelepasan, dan penyembuhan jiwa, di mana melodi dan lirik bersatu membentuk pengalaman emosi yang mendalam bagi setiap penonton.

Tiket berharga serendah RM188  (Serana) hingga RM258 (Reminisensi) boleh dimiliki di laman ticket2u segera. 

Catat Ulasan

0 Ulasan