ELLA SEDIA HADAPI KONTROVERSI

Walaupun dikatakan bakal mencetuskan polemik dan kontroversi apabila membuat keputusan untuk mementaskan konsert ini empat hari sebelum menjelang Ramadan, Ratu Rock Negara, Ella optimis mengatakan penganjuran Majlis Tertinggi Rockqueen menjelang 14 Februari tahun hadapan sebagai tarikh bermakna dalam dirinya.

Konsert solo berskala mega ini bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen. Dengan tema Peace, Love & Rindu, persembahan ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa mesej kemanusiaan yang mendalam. “Peace” melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, “Love” menyentuh isu buli dalam institusi pendidikan, manakala “Rindu” didedikasikan kepada insan seni tanah air yang terus berkarya demi industri.

Berbeza dengan konsert besar lain, Majlis Tertinggi Rockqueen menawarkan tiket mampu milik serendah RM39, dan setiap pembelian membolehkan penonton memilih tabung amal pilihan mereka: Peace, Love atau Rindu. Setiap undian akan menyumbang RM2 kepada organisasi berkaitan, menjadikan konsert ini bukan sahaja hiburan, tetapi juga peluang beramal.

Dalam sidang media baru-baru ini, Ella menegaskan bahawa cabaran pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil adalah peluang untuk mengekalkan semangat hampir 40 tahun berkarya. 

“Setiap acara pasti ada sisi positif. Bagi saya, semuanya bergantung pada niat. Kami mahu memberikan pengalaman terbaik kepada peminat sambil menyampaikan mesej yang bermakna. Jika penganjuran konsert ini mencetuskan kontroversi, saya menerimanya sebagai satu cabaran dalam merealisasikan konsert pada tahun 2026,” katanya.

Manakala Suaminya, Azhar Ghazali, menambah, mereka memilih untuk optimis selagi aktiviti ini tidak bertentangan dengan prinsip halal dan haram.

Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, menjelaskan bahawa tarikh 14 Februari dipilih berdasarkan kekosongan lokasi selepas suku pertama tahun depan ditempah sepenuhnya. Tarikh ini bukan sahaja hari cinta, tetapi juga detik bersejarah buat peminat dan legasi seni Ella.

Bagi Ella, cabaran untuk kembali berdiri di pentas berskala gergasi seperti Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sekadar tugasan seni, tetapi suntikan tenaga baharu yang kembali menghidupkan momentum hampir empat dekad penglibatannya dalam industri. Anak seni kelahiran Pulau Pinang itu melihat Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai sebuah pesta muzik yang berbeza daripada mana-mana persembahan yang pernah dibawanya. Ia bukan sahaja meraikan perjalanan seninya, tetapi turut menzahirkan semangat beramal dalam sebuah konsert mega yang dirangka penuh makna.

“Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk setiap persembahan, tetapi saya berharap peminat saya dan peminat muzik tanah air sudi meluangkan masa pada 14 Februari nanti. Menariknya, dalam kita berhibur, kita juga beramal. Harapan saya cuma agar konsert ini dapat memberi sumbangan terbaik kepada pertubuhan amal yang terlibat, sambil generasi muda terus cemerlang dan para seniman kekal berkarya,” katanya penuh rendah hati.


Konsert ini turut mendapat sokongan Perbadanan Stadium Malaysia sebagai lokasi rasmi, radio rasmi Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM, serta media rasmi Astro Gempak, Meletop dan Hlive!. Dengan konsep hibur sambil beramal yang dipacu nilai Peace, Love & Rindu, Majlis Tertinggi Rockqueen dijangka menjadi malam ikonik yang bukan sahaja menawarkan pengalaman luar biasa kepada semua yang hadir, tetapi juga meninggalkan impak kemanusiaan yang bermakna.

Tiket berharga serendah RM39 sehingga RM499 boleh dimiliki di laman hitmanlive bermula pada 8 Disember ini. 

Catat Ulasan

0 Ulasan