Pelakon Fendy Bakry kini menjejak fasa baharu dalam kerjayanya apabila buat pertama kali tampil sebagai penerbit teater menerusi naskhah Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan (MSP). Selepas lebih sepuluh tahun aktif dalam industri seni, Fendy melihat projek ini sebagai platform untuk memartabatkan Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM) sambil memperkenalkan teater purbawara kepada penonton yang lebih luas.
Dalam perbualan bersama media, pelakon kelahiran Perlis ini menegaskan bahawa seni teater merupakan medium terbaik untuk menterjemahkan persembahan dalam konteks kemasyarakatan, sama ada melalui karya epik atau purbawara hasil nukilan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang.
“Teater memang menjadi minat saya sejak lama. Dari teater jugalah saya membina siapa saya hari ini. Cabarannya bukan kecil, terutama dari segi pengurusan dan persiapan teknikal. Penonton hanya melihat hasil di pentas, tetapi di belakang tabir, kerja yang dilakukan jauh lebih rumit dan mencabar,” ujar Fendy.
Projek sulung Fendy ini menuntut pengorbanan besar dari segi masa, tenaga, dan kewangan. Namun, dengan sokongan padu daripada keluarga serta niat yang tulus ikhlas, beliau yakin setiap usaha akan dipermudahkan. Fendy, yang juga terkenal dengan watak-watak lelaki romantis dalam drama dan filem, menekankan bahawa pementasan teater memerlukan tahap kesabaran tinggi, namun ramai yang tidak menyedari cabaran di belakang tabir, termasuk penyelarasan teknikal, persiapan produksi, pengurusan masa, dan mengekalkan kualiti pementasan.
Sebagai penerbit baharu, beliau mengakui terpaksa belajar dengan pantas, bertanya kepada ramai pihak, dan merujuk ratusan bahan bagi memastikan keseluruhan pementasan berjalan lancar.
“MSP mengingatkan saya tentang pengurusan masa dan pembentukan pasukan kerja yang mampu mencapai hasil terbaik. Menghasilkan persembahan sebegini memberi kepuasan tersendiri. Ia turut memaparkan kehilangan, kekuatan, dan perjalanan hidup yang penuh liku, membentuk saya bukan sahaja sebagai penerbit dan artis, tetapi juga sebagai insan,” tambahnya.
Pementasan ini dijayakan hasil kerjasama antara NADIM, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), dan Malaysia Tourism Centre (MaTiC), dengan sokongan rakan strategik termasuk UPSI, WARDAH, Dinda.look, Firz Hafiz, TEGAS Broadcast Multimedia, dan Kantin. Persembahan akan berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selama tiga hari, dari 12 hingga 14 Disember 2025, bermula jam 8.30 malam setiap hari, dengan satu sesi matinee pada jam 3 petang, 14 Disember. Dengan harga tiket RM25 sahaja, ia menawarkan peluang terbaik bagi penggemar teater dan pencinta warisan budaya untuk menyaksikan karya epik ini.
Naskhah klasik karya Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang, ini menyingkap kisah epik persahabatan Hang Tuah dan Hang Jebat yang retak akibat fitnah dan ketidakadilan. Konflik mencapai kemuncaknya apabila Hang Tuah, yang diselamatkan Bendahara, diarahkan kembali menghadap Sultan untuk menumpaskan sahabat karibnya sendiri. Pementasan ini bukan sekadar memaparkan pertarungan fizikal, tetapi sarat dengan simbolisme mengenai kesetiaan, persahabatan, dan perjuangan menuntut keadilan.
Fendy berharap pementasan ini bukan sahaja membuka mata penonton terhadap warisan budaya Melayu, tetapi juga memberi nafas baharu kepada industri teater Malaysia. Selain itu, beliau kini aktif dalam bidang latihan industri bagi usahawan mikro dan asnaf, memberi bimbingan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan sendiri, sambil menumpukan sepenuhnya perhatian kepada projek teater ini.
Dengan visi dan komitmen yang jelas, Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan menandakan permulaan baharu Fendy sebagai penerbit teater, sekaligus membuka ruang kepada lebih banyak karya yang bakal menyusul serta peluang kolaborasi kepada pihak berkepentingan.



.png)

0 Ulasan