PAPA ZOLA: THE MOVIE KE PASARAN GLOBAL

Selepas mencipta fenomena menerusi karya-karya terdahulu seperti BoBoiBoy dan Mechamato, produksi animasi terkemuka negara, MONSTA Studios, kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Papa Zola: The Movie. Diterbitkan dengan kerjasama Astro Shaw, filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 11 Disember 2025, sebelum diperluaskan ke Singapura pada minggu yang sama. Seterusnya, Papa Zola: The Movie akan melangkah ke pasaran antarabangsa mulai Januari 2026, merangkumi Indonesia, Vietnam, serta beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki.

Papa Zola: The Movie menandakan kemunculan watak Papa Zola sebagai protagonis utama buat julung kalinya, membongkar kisah asal-usulnya yang sebelum ini tidak didedahkan. Dengan gabungan aksi mendebarkan, drama menyentuh emosi, dan humor ikonik yang menjadi tunjang filem ini, naskhah tersebut direka untuk dinikmati oleh semua peringkat umur tanpa memerlukan penonton mengikuti siri BoBoiBoy terdahulu.

Mengambil latar kisah sebuah keluarga sederhana, filem ini memaparkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras, yang kembali bersatu dengan rakan-rakan lama daripada organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency) apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Bersama Mama Zila, Papa Zola perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut. Filem ini turut menampilkan dua lagu tema, iaitu Demi Kebenaran nyanyian Insomniacks dan Kita Usahakan Lagi nyanyian Batas Senja.

Menurut Pengarah dan CEO MONSTA, Nizam Abd Razak, watak Papa Zola bersifat universal, membolehkan penonton antarabangsa memahami filem ini tanpa memerlukan latar siri terdahulu. Beliau juga menyifatkan sambutan menggalakan bukan sahaja dari Asia Tenggara, malah dari Timur Tengah, sekali gus membuka ruang besar untuk Papa Zola dinikmati oleh penonton global.

Dari segi teknikal, MONSTA memperkenalkan pelbagai teknik animasi termaju termasuk simulasi rambut, letupan, air, serta animasi orang ramai (crowd), yang menambahkan lagi dimensi realisme dan visual epik yang memukau. Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menekankan bahawa filem ini bukan sekadar untuk segmen tertentu, tetapi direka untuk menarik penonton dari pelbagai peringkat umur, sekaligus memperkukuh kedudukan animasi tempatan di persada antarabangsa.

Papa Zola: The Movie merupakan antara naskhah menarik yang sesuai ditonton seisi keluarga, dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 11 Disember 2025.

Catat Ulasan

0 Ulasan