SENTUHAN WIRA HIDUPKAN SEMULA KISAH KEJAYAAN PIALA THOMAS 1992

Masihkah anda mengingati detik gemilang Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992? Momen manakah yang paling melekat di ingatan anda, dan adakah anda ingin melihat semula peristiwa bersejarah itu dihidupkan kembali? Victory Pictures menjawab persoalan ini melalui filem paling dinanti tahun ini, Sentuhan Wira, yang membawa penonton menyusuri kembali detik epik kemenangan skuad badminton negara. Filem ini turut memperkenalkan wajah-wajah baharu yang akan menghidupkan watak-watak legenda badminton Malaysia di layar perak, sambil menyalakan semangat juang dan menekankan nilai perpaduan antara generasi muda.

Pengarah Lenny Ooi menegaskan bahawa pemilihan pelakon bukan sekadar bergantung pada bakat lakonan semata-mata, sebaliknya kemahiran bermain badminton yang tepat turut menjadi kriteria utama. Proses uji bakat pada Oktober lalu melibatkan lebih 300 calon, yang dinilai bersama legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit, bagi memastikan para pelakon menguasai pergerakan badan dan gaya permainan sebenar di gelanggang.

“Jika kemahiran tidak mencapai standard, walaupun lakonannya hebat, kami tetap tidak memilih. Pergerakan badan mesti jelas dan mereka perlu benar-benar mahir bermain,” jelas Lenny Ooi kepada media.

Barisan pelakon yang dipilih termasuk Kim Azzim sebagai Rashid Sidek, Sam Liew sebagai Cheah Soon Kit, Ahmad Syafiq sebagai Razif Sidek, Ahmad Syahir sebagai Jalani Sidek, Azim Yusof sebagai Rahman Sidek, Hon Kahoe sebagai Foo Kok Keong, Liang Chia sebagai Soo Beng Kiang, S Jay sebagai Kuan Yoke Ming, dan Henry Ong sebagai Wong Ewee Mun. Watak Soo Beng Kiang terbukti paling sukar dicari, namun akhirnya diisi oleh Liang Chia yang berjaya menampilkan persamaan fizikal dengan pemain sebenar serta menguasai aksi di gelanggang.

Semua pelakon menjalani latihan intensif selama kira-kira tiga minggu bersama Rashid dan Cheah bagi meniru gaya permainan sebenar. Selain itu, pihak produksi turut merujuk rakaman arkib daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk memastikan setiap aksi dan detik ikonik perlawanan dipersembahkan dengan tepat. Pelakon Ahmad Syafiq, yang membawa watak Razif Sidek, juga menggunakan siri animasi Anak-Anak Sidek sebagai panduan dalam memahami watak, selain meneliti bahan sejarah keluarga legenda itu.

Filem ini bukan sekadar menampilkan aksi sukan, malah menyampaikan mesej perpaduan antara kaum dan semangat juang yang menginspirasikan generasi baharu. Pada 1992, pemain Melayu, Cina, dan India beraksi dalam satu pasukan, dan pengarah Lenny Ooi mahu generasi muda melihat bagaimana sukan mampu menyatukan Malaysia.

Rashid Sidek pula menyifatkan Sentuhan Wira sebagai penghargaan besar terhadap pengorbanan para pemain yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Fasa pra-produksi kini hampir selesai, dengan penggambaran penuh dijangka bermula pada awal 2026 sebelum tayangan di pawagam seluruh negara. Dengan sokongan penaja seperti Mah Sing dan M Resort Hotel, Victory Pictures berhasrat membawa filem ini ke peringkat antarabangsa, menjadikannya tontonan wajib bagi peminat sukan dan pencinta filem tempatan.

Catat Ulasan

0 Ulasan