ERNIE ZAKRI RAIH DUA ANUGERAH UTAMA ABPBH37

Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) melakar detik bersejarah buat Ernie Zakri apabila penyanyi berusia 33 tahun itu bukan sahaja dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular, malah turut merangkul anugerah paling berprestij, Bintang Paling Popular, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam landskap muzik tanah air.

Kemenangan berganda itu nyata mengejutkan Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, yang mengakui langsung tidak meletakkan sebarang jangkaan pada malam kemuncak berkenaan. Suasana di Dewan Hotel Premiera bertukar penuh emosi apabila Ernie yang sudah menukar persalinan batik terpaksa bergegas kembali ke pentas, menahan sebak dan air mata sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang utama ABPBH 37.

“Ya Allah, saya benar-benar tidak menjangka langsung. Terima kasih kepada semua yang mengundi. Jauh di sudut fikiran saya untuk menerima anugerah ini. Saya amat menghargai setiap sokongan dan mendoakan agar dapat terus melakukan yang terbaik selepas ini,” luahnya dalam nada sebak.

Dengan jumlah undian luar biasa melebihi 124 juta, Ernie membawa pulang trofi, jambangan bunga serta wang tunai bernilai RM30,000 sebagai pemenang keseluruhan ABPBH 37, sekali gus menerima pengiktirafan tertinggi yang dianugerahkan kepada artis dengan gabungan markah juri profesional dan undian peminat paling tinggi.

Mengulas kejayaan tersebut, Ernie menzahirkan rasa syukur yang mendalam sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah istimewa buat peminat setianya, bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke Indonesia.

“Anugerah ini memang milik peminat. Saya tidak akan berada di tahap ini tanpa sokongan mereka. Ucapan terima kasih istimewa buat Ernienators yang tidak pernah berhenti menyokong dan begitu bersungguh-sungguh memastikan saya merasai detik ini. Alhamdulillah, ini antara pencapaian yang akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.

Tahun 2025 sememangnya menjadi fasa paling gemilang dalam perjalanan seni Ernie Zakri. Selain momentum kukuh menerusi lagu Perjalanan, single hit Masing Masing mencipta kejayaan luar biasa apabila menerima pengiktirafan 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara vokalis wanita utama Nusantara dengan pengaruh yang merentas sempadan.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut menyifatkan kemenangan Ernie Zakri sebagai satu pengiktirafan yang amat wajar, mengambil kira dedikasi berterusan, keupayaan vokal luar biasa serta hubungan erat yang dibina bersama peminat sepanjang perjalanan seninya.

“Kami amat berbangga dengan kejayaan Ernie Zakri. Kemenangan ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada beliau, malah turut menjadi pemangkin kepada keseluruhan industri muzik tempatan. Universal Music Malaysia kekal komited untuk terus membawa karya Ernie ke peringkat serantau, khususnya di Asia Tenggara. Kami yakin bakat beliau memiliki potensi global yang besar,” katanya.

ABPBH 37 turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Dato' David Arumugam, sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan besar beliau dalam pembangunan industri seni tanah air. Malam berprestij itu dihoskan oleh Raja Azura dan Shiha Zikir, serta dimeriahkan dengan persembahan memukau daripada barisan artis popular termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Akim Ahmad, Amira Othman dan ramai lagi.

Menutup tirai tahun yang penuh bermakna, Ernie Zakri kini bersiap sedia menghiburkan peminat menerusi Nostalgia NYE Concert yang bakal berlangsung di Le Meridien Petaling Jaya pada 31 Disember ini. Penyanyi Ku Bersuara itu turut mencetuskan keterujaan apabila memberi bayangan bakal tampil dengan sebuah single Hari Raya baharu pada tahun hadapan, sekali gus menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan seni beliau yang semakin gemilang.

KEPUTUSAN PENUH ABPBH37

ARTIS KOLABORASI/DUO/BERKUMPULAN POPULAR
KRU

PENYAMPAI RADIO POPULAR 
 Haiza

ARTIS BAHARU LELAKI POPULAR 
Jazmy Juma

ARTIS BAHARU WANITA POPULAR 
Umairah

PENYANYI LELAKI POPULAR 
Hael Husaini

PENYANYI WANITA POPULAR 
Ernie Zakri

AKTOR PEMBANTU FILEM POPULAR 
Adam Lee

AKTRES PEMBANTU FILEM POPULAR 
Heliza Helmi

AKTOR FILEM POPULAR 
Fattah Amin

AKTRES FILEM POPULAR 
Sweet Qismina

KATEGORI SAMPINGAN EKSTRA

  • Gandingan Serasi Drama Popular Shukri Yahaya & Anna Jobling
  • Gandingan Serasi Filem PopularIedil Dzuhrie Alaudin & Emma Maembong
  • Seller Terpaling PopularDato' Sri Aliff Shukri & Ammar Ahyan
  • Lagu Paling Boom PopularAmir Masdi (single Nurcinta)
  • Artis Kontroversi PopularFattah Amin

AKTOR PEMBANTU TV POPULAR 
 Nazim Othman

AKTRES PEMBANTU TV POPULAR 
Raja Azura

AKTOR TV POPULAR 
Zahiril Adzim

AKTRES TV POPULAR 
Emma Maembong

ANUGERAH PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT 
Kumpulan Alleycats

ARTIS KOMEDI POPULAR 
Joey Daud

PENGACARA TV POPULAR 
Fiza Sabjahan

ANUGERAH BINTANG PALING POPULAR 
Ernie Zakri

Catat Ulasan

0 Ulasan