TIADA PENYINGKIRAN, ISKANDAR RAJA PENTAS GV12!

Konsert minggu kelima Gegar Vaganza 12 (GV12) yang berlangsung pada malam Ahad menyaksikan semua 11 peserta berjaya melangkah ke minggu keenam tanpa sebarang penyingkiran diumumkan. Membawakan tema RNR (Rare & Random), pentas GV12 terus meriah dengan persaingan sengit, terutama apabila Iskandar Ismail kembali mengungguli kedudukan teratas, menewaskan kumpulan Mendua dan Nubhan yang berkongsi markah sama.

Menerusi persembahan bertenaga lagu Kelentang-Kelentong, Iskandar sekali lagi membuktikan dominasinya apabila meraih 74.50 peratus, sekali gus muncul juara minggu kelima dan mempertahankan tempat pertama buat dua minggu berturut-turut. Persembahan itu turut menerima pujian juri tetap, Hetty Koes Endang, yang menilai kekuatan vokal dan interaksi pentas Iskandar sebagai “mengagumkan” serta meyakinkan untuk ke peringkat final.

Dalam pada itu, dua peserta yang memperoleh markah terendah minggu ini ialah Shae dengan 59.50 peratus, diikuti Rahmat Ekamatra yang mencatatkan 56.00 peratus. Bagaimanapun, Rahmat terselamat selepas pihak produksi mengumumkan tiada penyingkiran dilakukan untuk minggu ini.

Juri tetap, Dato' Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat, turut memberikan teguran konstruktif terhadap beberapa peserta. Mereka menyifatkan kumpulan Mendua mempunyai tenaga persembahan yang kuat, namun terdapat bahagian sumbang daripada Pungky yang menjejaskan mutu vokal kumpulan itu. Sementara itu, Nubhan diingatkan supaya lebih menitikberatkan aspek pitching walaupun berjaya menyampaikan emosi yang baik.

Shae dan Rahmat Ekamatra turut diberi peringatan agar meningkatkan kawalan vokal, intonasi serta pernafasan supaya tidak tewas dalam saingan minggu-minggu berikutnya.

Musim GV12 tahun ini menampilkan 13 peserta antaranya Nubhan, Mark Adam, Dato' Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura, Freshies (Ejie dan Shima), Shae, Ruri Repvblik, Mendua (Pungky, Sasha dan Diana), serta wakil Singapura, Iskandar Ismail. Turut mencuri perhatian ialah peserta wildcard, SHY8, yang dijangka membawa elemen kejutan dan kreativiti baharu pada musim ini. Namun, pada minggu keempat, Dato' Elaine Kang dan SHY8 terpaksa meninggalkan pentas GV selepas tersingkir daripada persaingan.

Pertandingan terus dikemudi oleh barisan juri berpengalaman terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Dato'  Ramli M.S, manakala gandingan hos popular Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad kekal memeriahkan pentas GV12 setiap minggu.

Gegar Vaganza 12 bersiaran langsung dari MBSA Shah Alam setiap Ahad pada jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria, selain boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.


Catat Ulasan

0 Ulasan