Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin, menerima Anugerah Khas Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025, di sini malam tadi.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan seiring dengan rangkaian pencapaian beliau yang bukan sahaja cemerlang dalam dunia seni dan keusahawanan, malah terus menjadi sumber inspirasi unggul kepada generasi masa hadapan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas anugerah ini… Saya berharap pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada para wanita di luar sana, kerana wanita hari ini bukan lagi hanya berada di dapur, tetapi turut sama berada di barisan hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards merupakan antara platform nasional paling berpengaruh dalam mengiktiraf wanita berprestasi tinggi yang menyumbang kepada kemajuan negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada global. Pada malam sama, beregu badminton wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah yang telah mengukir kejayaan di peringkat antarabangsa turut menerima Rising Star Award, kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini.
Anugerah tersebut meraikan kecemerlangan wanita dari pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam serta seni. Antara penerima lain ialah pemenang Oscar dan aktivis global, Tan Sri Michelle Yeoh; tokoh kemanusiaan dan akademia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood; serta Ketua Hakim Syarie wanita pertama negara, Nenney Shuhaidah Shamsuddin.
Proses penjurian dilaksanakan melalui tiga peringkat, bermula dengan pemilihan 300 calon dalam senarai pendek oleh panel audit sebelum memilih 50 penerima terbaik untuk diumumkan pada malam anugerah.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin, berkata anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, malah sebuah usaha untuk mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara.
“Anugerah ini selaras dengan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030, serta menyokong komitmen Malaysia ke arah pembinaan masyarakat yang lebih inklusif, berdaya saing dan progresif,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata penganjuran acara tersebut selari dengan komitmen bank terhadap Responsible Banking with Impact, berteraskan Pelan Strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
“Kami berbangga mengiktiraf 50 wanita luar biasa, hebat dan mengagumkan di mana setiap seorang merupakan simbol kekuatan, inspirasi dan kepimpinan.
“Sambutan ini juga berlangsung pada saat penting buat Malaysia, ketika kepimpinan wanita terus meningkat. Hari ini, wanita memegang 33.1 peratus kerusi lembaga pengarah dalam 100 syarikat tersenarai awam, dan 28 peratus dalam semua syarikat tersenarai sekali gus memperkukuh tadbir urus serta membentuk hala tuju korporat,” katanya.




0 Ulasan