PELAKON VETERAN 'ADIK MANJA', DHARMA HARUN AL RASHID MENINGGAL DUNIA

Pelakon veteran yang terkenal menerusi filem Adik Manja, Dharma Harun Al Rashid, 69, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju, malam tadi. Berita sedih itu disahkan oleh anak Allahyarham, Muhammad Al Syafiq, 36.

Menurut Syafiq, sebaik tiba di rumah dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kira-kira jam 9.10 malam, beliau mendapati bapanya sudah tidak bernyawa.

“Saya baru balik kelas… Dia jatuh. Tubuh badannya sudah keras dan sejuk. Saya pusing ke mana pun tetap keras. Saya terus hubungi ambulans,” katanya dalam nada panik ketika dihubungi media.

Keadaan fizikal Allahyarham dilaporkan semakin merosot sejak Julai lalu, menurut beberapa laporan media. Perkembangan itu menarik perhatian ramai selepas Syafiq memuat naik foto bapanya menunaikan solat dalam keadaan duduk. Allahyarham, yang turut terkenal melalui beberapa buah  filem termasuk Sikit Punya Gila, sebelum ini mengakui berat badannya hanya sekitar 45 kilogram.

Allahyarham tinggal bersama dua anaknya, Muhammad Al Syafiq dan Siti Qurratu Aini, 37, yang juga masih mengikuti pengajian di ASWARA.

FINAS Sedia Bantu Anak-Anak Allahyarham

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyatakan kesediaan untuk membantu kedua-dua anak Allahyarham meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di ASWARA. Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, berkata pihaknya akan berbincang dengan ASWARA bagi menentukan bentuk bantuan yang sesuai, khususnya dari aspek pendidikan.

"Saya akan berhubung dengan ASWARA untuk mendapatkan kepastian kerana saya tahu kedua-dua anak arwah memang berhasrat melanjutkan pelajaran. Arwah sendiri mahu mereka memberi tumpuan kepada kejayaan akademik, itulah hasrat dan harapan beliau," kata Azmir ketika memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai.

Beliau menambah, FINAS bersedia mempertimbangkan bantuan sewajarnya memandangkan kedua-dua anak arwah mempunyai bakat dan pencapaian akademik cemerlang. 

“Mereka antara pelajar cemerlang di ASWARA, seperti yang pernah arwah ceritakan dengan penuh rasa bangga,” ujarnya.

Sumbangan Besar kepada Industri Perfileman

Mengulas mengenai sumbangan Allahyarham Dharma dalam industri kreatif, Azmir berkata bintang Adik Manja pada era 1980-an itu antara figura penting dalam perkembangan industri perfileman tempatan.

"Arwah memberi sumbangan besar kepada industri perfileman tanah air. Karya beliau, termasuk Adik Manja dan Adik Manja Returns (2012), bukan sahaja mengangkat nama arwah, malah memperkukuh industri filem negara. Selain filem, beliau juga terlibat dalam penerbitan beberapa program televisyen," katanya.

Allahyarham juga pernah menyuarakan rasa bangga terhadap anak-anaknya yang masing-masing menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengajian di ASWARA. Menurut Azmir, sejak kebelakangan ini Allahyarham menghadapi pelbagai komplikasi kesihatan.

Berita duka pemergian Allahyarham Dharma dikongsi oleh Syafiq melalui hantaran di Instagram Story, mendapat ucapan takziah daripada peminat dan rakan-rakan seindustri.

Selain berlakon, Allahyarham Dharma juga merupakan seorang penyanyi. Di antara lagu yang pernah dirakamkannya adalah Jika Kau Bermimpi Aku Di sisimu, Baru Kini Cinta Dipadu, Hanya Dikau dan banyak lagi. 

Al-Fatihah moga rohnya dicucuri rahmat

Catat Ulasan

0 Ulasan