Selepas 12 tahun tidak menghasilkan sebarang album, penyanyi Shila Amzah kembali dengan buah tangan terbaharunya berjudul ‘SA25’.
Album ini memuatkan 15 lagu, termasuk 10 lagu baharu, 1 lagu ‘remake’, dan 4 bonus track, yang keseluruhannya memaparkan kisah perjalanan hidup Shila. Menurut penyanyi itu, tajuk ‘SA25’ dipilih kerana mempunyai makna peribadi yang mendalam, menzahirkan sentuhan jiwa dan pengalaman hidupnya sepanjang 25 tahun bergelar anak seni.
Pembikinan album ini menjadi simbol 25 tahun perjalanan seni Shila Amzah, menyajikan naratif muzik penuh emosi yang membawa pendengar menyusuri pelbagai fasa hidup dan kerjaya beliau dari kegembiraan dan cabaran hinggalah ke pengalaman peribadi yang paling mendalam.
Ketika ditemui media semasa sesi pra-dengar dan pelancaran album ini, Shila Amzah, 35, anak kepada penyanyi legenda Dato' ND Lala, menyifatkan ‘SA25’ sebagai karya muzik yang begitu dekat dengan jiwanya. Menurut Shila, kelahiran album ini membuka fasa baharu baginya untuk berkongsi kejayaan melalui muzik bersama peminat di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
"Muzik adalah sebati dengan diri saya. SA25 adalah lambang jiwa saya yang diterjemahkan melalui melodi dan lirik. SA mewakili nama saya, Shila Amzah, manakala 25 merujuk kepada ulang tahun saya bergelar anak seni. Ini adalah fasa terbaik dalam hidup dan kerjaya saya," katanya.
Menerusi album ini, Shila tampil dengan sisi lebih matang sebagai penyanyi, komposer, dan penulis lirik. Antara lagu yang mencuri perhatian adalah “Sirna Hati”, karya yang mencabar kerana mengangkat kisah penderaan emosi dan fizikal yang pernah dialami Shila. Manakala lagu paling dekat di hatinya termasuk “Kamu”, “Untukmu” (dedikasi buat suami), dan “Pernah Punya Aku”, single pertama album yang telah menjuarai carta Muzik Muzik 40 selama tiga minggu berturut-turut.
Empat bonus track pula membawa nilai sentimental tinggi, termasuk lagu untuk anaknya berjudul “Penyejuk Hati”, lagu penting dalam hidupnya “Jauh Hati”, rakaman ketika hamil “Tiada Dirimu”, dan karya sahabat baiknya “Khilaf Asmara”. Shila juga merakam semula lagu popular “Memori Tercipta” untuk meraikan perjalanan seni yang telah dilalui.
Menurut Shila, jika album ini diringkaskan dalam satu kata, ia adalah “kekuatan”. Setiap lagu membawa mesej tentang bangkit daripada trauma, kesedihan, kehilangan, dan kecurangan, menjadikan ‘SA25’ sebuah pengalaman muzik penuh emosi yang seakan-akan menaiki roller coaster.
Menurut Shila lagi, beliau turut merancang jelajah SA25, dengan konsert pertama dijadualkan pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Konsert ini bakal menjadi tanda aras perjalanan dua dekad pembabitannya dalam dunia seni tanah air, menampilkan pelbagai genre muzik merangkumi lagu-lagu Melayu, Mandarin dan Inggeris, sekali gus mengukuhkan profil Shila sebagai bintang seni suara yang mempunyai vokal luar biasa.
Bercakap mengenai album SA25, karya ini diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment (syarikat rakaman milik Shila), dan sudah pun tersedia di platform digital mulai 25 November 2025, manakala versi fizikal boleh didapati di platform e-dagang terpilih. Menariknya, siaran perdana muzik video rasmi “Tinggal Kenangan”, single kedua daripada album tersebut, turut berlangsung pada tarikh sama pada jam 8 malam di YouTube Nova Music Video.





0 Ulasan