KRU CIPTA NOSTALGIA DI MALAM GENKRU THE FINALE

Jika ada satu kumpulan yang mampu membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan tetapi kuasa budaya yang membentuk industri, KRU berdiri sebagai figura paling kukuh dalam sejarah muzik Malaysia. Selepas empat malam berturut-turut mencipta fenomena melalui Konsert GenKRU di Axiata Arena pada Mei lalu, trio adik-beradik Dato' Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry kembali menghangatkan pentas melalui penganjuran genKRU The Finale: One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November. Kehadiran mereka sekali lagi membuktikan bahawa permintaan peminat terhadap kumpulan berpengaruh ini tidak pernah pudar.

Lebih 12,000 peminat membanjiri stadium dengan tema pakaian 90-an sehingga mencipta suasana seperti pesta nostalgia yang menyatukan generasi lama dan baharu. Sejak pintu dibuka, keterujaan penonton sudah terasa dan ramai hadir dengan harapan tinggi untuk menyaksikan sebuah persembahan yang sarat memori serta momen yang hanya KRU mampu tawarkan.

Tepat jam 8.45 malam, sorakan gegap gempita menyambut kemunculan tiga beradik ini di pentas ketika mereka membuka persembahan dengan Mengerti sebelum mengalir ke medley Fobia dan Salah Siapa. Energi mereka seakan memindahkan penonton kembali ke era kegemilangan KRU, membuktikan bahawa kekuatan vokal, stamina dan persembahan bertenaga mereka masih tidak pernah luntur. Deretan lagu seperti Awas, Mengerti, Kena Marah Pun Tak Kisah, Voodoo, Sampai dan Intifada terus memeriahkan suasana, sementara ribuan peminat menyanyi bersama bagaikan menyambut kepulangan muzik yang telah mewarnai perjalanan hidup mereka selama lebih tiga dekad.

Nostalgia awal 2000-an semakin terasa saat One More Time dan medley Di Dalam Dilema, Sayang serta Gerenti Beres mendominasi pentas. Suasana sempat bertukar sentimental ketika Janji Tinggal Janji dan Sehidup Semati dipersembahkan, namun hanya seketika sebelum rangkaian lagu rancak seperti Freaky G, Dari Metropolitan, Go KRU, Suara Setan dan Remaja Selamanya menghidupkan semula seluruh stadium yang bergema dengan sorakan serentak.

Kemunculan artis undangan seperti Juliana Banos, Elite, Adam AF, Leona dan Dato' Vida pula menjadi antara detik yang mencuri tumpuan, menambah warna dan menyuntik elemen kejutan. Sekaligus, kehadiran mereka mengembalikan aura keemasan muzik pop Malaysia yang pernah menguasai carta dua hingga tiga dekad lalu.

Antara momen paling menyentuh hati ialah ketika Yusry kelihatan sebak melihat ribuan peminat memenuhi ruang stadium, seakan memberi peringatan bahawa perjalanan seni KRU masih terlalu dekat di hati masyarakat. Edry turut berkongsi rasa hiba apabila memaklumkan bahawa bapa mereka, Abdul Halim Kamal, tidak dapat hadir kerana kurang sihat, menjadikan malam itu lebih bermakna dan sarat emosi.

Konsert mencapai kemuncak apabila KRU menutup persembahan dengan The Way We Jam, Dekat Padamu, Fanatik dan Terhangat Di Pasaran. Stadium berdiri serentak, bergema dengan suara peminat yang seolah-olah enggan membiarkan malam tersebut berakhir. Walaupun persembahan berlangsung hampir tiga jam, tenaga KRU tidak pernah surut, malah semakin memuncak dengan setiap sorakan yang dibalas peminat yang menghargai dedikasi mereka.

Namun apa yang benar-benar mengangkat konsert ini melebihi sebuah persembahan biasa ialah peringatan bahawa KRU bukan sekadar kumpulan muzik. Mereka adalah arkitek kepada landskap muzik Malaysia yang memperkenalkan genre baharu, mengubah arus, mencipta trend serta membangunkan kerjaya ramai artis lain seperti Feminin, Anita Sarawak dan Rabbani. Sumbangan mereka sebagai penerbit, komposer dan pengarah muzik membentuk identiti muzik tempatan dalam skala yang jarang dicapai oleh mana-mana kumpulan.

Setelah lebih 33 tahun bergelar penghibur, KRU kekal relevan, masih berbisa dan terus membuktikan bahawa mereka mampu menguasai pentas berskala besar dengan produksi bertaraf antarabangsa. genKRU The Finale: One More Time bukan sekadar penutup kepada siri konsert mereka, tetapi pengesahan bahawa legasi KRU akan terus hidup dalam sejarah muzik Malaysia untuk generasi yang akan datang. 

Namun persoalan yang kini bermain di fikiran peminat ialah satu. Apakah ini benar-benar konsert terakhir KRU, atau mungkinkah ada lagi kejutan yang menanti selepas showcase pelayaran di tengah lautan bersama KRU pada 26 Januari depan? Tepuk dada tanya selera. 

Catat Ulasan

0 Ulasan