KONSERT EXISTS DITUNDA? INI PENJELASAN JIOBUDDY!

Konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober ditunda ke tarikh baharu, 20 Disember 2025, selepas mendapat persetujuan bersama antara kumpulan Exists dan penganjur, JioBuddy.

Bagaimanapun, konsert itu akan tetap berlangsung di lokasi dan waktu yang sama, sekali gus menjadikannya acara penutup kalender 2025 buat Exists yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad.

Pengarah JioBuddy, Sean Ng, berkata penundaan itu dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor bagi memastikan penganjuran benar-benar menepati konsep premium dan eksklusif seperti yang dijanjikan.

“Dengan rendah hati kami memaklumkan bahawa EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ ditunda ke tarikh baharu, 20 Disember 2025. Keputusan ini dicapai hasil kesepakatan bersama Exists supaya konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menawarkan nilai premium dan eksklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut JioBuddy, penundaan berkenaan bukanlah satu pembatalan, sebaliknya dilakukan bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada penonton.

Vokalis Exists, Ezad, berkata penundaan itu turut memberi ruang tambahan untuk kumpulan berkenaan melakukan persiapan teknikal secara lebih terperinci demi memastikan mutu persembahan berada pada tahap terbaik.

“Kami mahu pesona mewah yang disampaikan menjadi momen yang tidak dilupakan peminat. Konsert kali ini juga akan tampil dengan pendekatan lebih intim dan lebih dekat dengan penonton,” katanya.

Sementara itu, Ajai menjelaskan bahawa terdapat elemen sentimental yang belum pernah dipersembahkan Exists sebelum ini.

“Kami mahu peminat merasai makna premium melalui rasa, penceritaan dan nilai sentimental yang dibawa Exists pada malam berkenaan,” katanya.

Dua hadiah utama buat peminat bertuah

Lebih menarik, Exists turut menyediakan dua hadiah utama khusus buat peminat yang membeli tiket konsert tersebut.

Menurut Ujang, hadiah utama pertama ialah gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along, yang pernah digunakan untuk rakaman beberapa lagu popular seperti Setanggi Syurga (Inteam) dan Salam Rindu (Fathi Naim).

Selain itu, dengan kerjasama JS Music, sebuah set dram PDP CenterStage 5-Pc Drum Kit lengkap dengan Evans Drumheads dan Promark Sticks juga bakal diberikan kepada seorang lagi peminat bertuah.

“Untuk menjadi pemenang, anda perlu terus mengikuti perkembangan sehingga ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti,” katanya.

Peluang cabutan bertuah ditawarkan mengikut kategori tiket, iaitu tiga peluang bagi pemilik tiket Premium, dua peluang untuk kategori VIP dan satu peluang untuk pembeli tiket Diamond.

Selain itu, seramai 100 peminat bertuah turut berpeluang bergambar secara peribadi bersama anggota Exists pada hari konsert.

Tiket berharga antara RM368 bagi kategori Diamond hingga RM588 untuk kategori Premium boleh dibeli segera melalui laman sesawang www.jiotix.asia.

Catat Ulasan

0 Ulasan