Siapa
menyangka dalam usia lebih dua dekad berada dalam industri muzik dan hiburan tanah air,
penyanyi Jaclyn Victor terus membuktikan dirinya sebagai antara penyanyi wanita
Malaysia yang memiliki kekuatan dan kelantangan vokal tersendiri.
Daripada menjuarai Malaysian Idol edisi
pertama pada 2004, menghasilkan deretan album serta lagu popular, hinggalah
mengembangkan bakat ke bidang lakonan, perjalanan seni Jaclyn cukup panjang
untuk membuktikan bahawa vokalnya terus menjadi antara kekuatan utama dalam
kerjaya seninya.
Kini, pengalaman lebih dua dekad itu bakal
dibawa ke satu lagi pentas berprestij apabila Jaclyn diberi peluang
berkolaborasi bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menerusi konsert
Gemilang Bersama MPO, yang akan berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, jam 8
malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur City Centre.
Bukan sekadar sebuah persembahan biasa,
peluang beraksi bersama MPO di pentas DFP pastinya menjadi antara detik penting
dalam perjalanan seni Jaclyn, apatah lagi konsert ini bakal menampilkan
keseluruhan persembahan dalam format orkestra.
Bagi Jaclyn, undangan
tersebut cukup istimewa dan disifatkan sebagai satu pengalaman yang sudah lama
dinantikan.
"Saya selalu guna perkataan ini, saya sangat teruja kerana itulah perasaan saya. Ini sesuatu yang sudah lama dinantikan. Saya tidak pernah terfikir akan mengadakan konsert bersama MPO. Ini sudah berada pada tahap yang berbeza.
"Mungkin inilah masanya untuk saya mengatakan kepada diri saya, Ya. boleh. Cuma sedikit berdebar menantikan malam yang bersejarah tersebut. Jika ditanya berapa lagu Jac akan bawakkan?. tentunya melebihi 20 buah lagu," katanya.
Lagu
popular diberi nafas baharu
Bertemakan Gemilang
Bersama MPO, konsert ini meraikan perjalanan muzik Jaclyn yang sudah menjangkau
lebih dua dekad, selain memberi peluang kepada peminat menghayati karya-karya
popularnya dalam susunan simfoni yang berbeza.
Antara lagu yang bakal
dipersembahkan termasuk Gemilang, Ikut Rentakku, Di Bawah Pohon Asmara,
Tiada Lagi Indah dan Beribu Sesalan.
Pentas itu turut
menampilkan interpretasi Jaclyn menerusi Tunggu Sekejap, When I Fall In
Love, Superwoman, Diamonds Are Forever, Chong Bai, O Mio Babbino Caro dan Defying
Gravity dalam bentuk orkestra dengan gaya vokalnya yang tersendiri.
Kesemua lagu disusun oleh
barisan pemuzik dan komposer berpengalaman termasuk Aubrey Suwito, Luqman Aziz,
Shahhakam Mokhtar, Teuku Umar Ilany, Leonard Yeap, Gerard Salonga dan Ahmad
Muriz Che Rose.
Menariknya, konsert ini
akan dipentaskan sepenuhnya dalam format orkestra, sekali gus memberikan
pengalaman imersif kepada penonton untuk menghayati lagu-lagu Jaclyn dalam
dimensi muzik yang berbeza.
Seramai 65 pemuzik
berpengalaman MPO bakal bergabung di atas pentas untuk mengiringi persembahan
Jaclyn, mewujudkan gabungan vokal dan bunyi orkestra yang lebih besar, dinamik
serta menyentuh emosi.
MPO juga memberi komitmen
untuk mengiringi keseluruhan persembahan Jaclyn dalam format orkestra,
menjadikan pengalaman kali ini berbeza daripada persembahan yang pernah
dibawakan penyanyi itu di pentas-pentas lain.
Menurut Ahmad Muriz Che Rose, peluang bekerjasama dengan Jaclyn menerusi konsert berkenaan tidak seharusnya dilepaskan, terutama apabila ia membuka ruang untuk peminat melihat sisi berbeza penyanyi berkenaan menerusi susunan orkestra penuh.
Cabar diri dengan lagu
klasik Itali
Selain lagu-lagu popular,
Jaclyn turut berdepan cabaran baharu apabila diminta menyampaikan sebuah karya
klasik dalam bahasa Itali.
Menurut Jaclyn, cabaran
tersebut diberikan Ahmad Muriz berdasarkan keupayaannya sebagai penyanyi, dan
beliau melihatnya sebagai peluang untuk mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan.
"Abang Muriz suka buat benda-benda macam ini. Dia akan cakap, sekejap, saya rasa awak patut buat ini. Tetapi, saya suka mencabar diri dan buat eksperimen. Mungkin saya tidak sempurna sebab saya bukan penyanyi klasik, tetapi saya suka mengambil peluang ini," katanya.
Justeru, persiapan untuk
konsert berkenaan turut menuntut Jaclyn memberikan perhatian lebih terhadap
aspek teknik pernafasan dan kawalan vokal.
Katanya, menyanyi bersama
orkestra mempunyai cabaran tersendiri kerana setiap kesilapan kecil terutama
berkaitan pernafasan dan kawalan suara boleh kedengaran dengan jelas.
"Menyanyi bersama
orkestra memang menakutkan. Bagi saya, tiada ruang untuk melakukan kesilapan.
Kalau salah bernafas pun boleh dengar.
"Jadi, saya perlu
lebih fokus dan berdisiplin dalam setiap aspek sebagai persiapan,"
katanya.
Dalam pada itu, keadaan cuaca tidak menentu termasuk jerebu ketika ini turut membuatkan Jaclyn lebih berhati-hati menjaga kesihatan menjelang persembahan, terutama bagi memastikan stamina dan keadaan vokalnya berada pada tahap terbaik.
Dua dekad mewarnai dunia
seni
Jaclyn mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan Malaysian Idol edisi pertama pada 2004. Album sulungnya, Gemilang, terjual lebih 20,000 unit di seluruh negara dan meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Album Pop Terbaik serta Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005.
Album Inilah Jac
yang dilancarkan pada 2006 pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara
penyanyi terkemuka negara apabila memenangi anugerah Persembahan Vokal Wanita
Terbaik pada AIM 2006.
Jaclyn turut dinobatkan
sebagai IKON Malaysia pada 2007, selain menghasilkan beberapa album lain
termasuk Jaclyn Victor III, Ikut Rentakku dan Unleashed.
Tidak hanya dikenali
menerusi bidang nyanyian, Jaclyn turut melebarkan sayap ke dunia lakonan
menerusi filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2009.
Menerusi filem berkenaan,
Jaclyn menerima anugerah Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia sebelum
meneruskan penglibatan dalam bidang lakonan menerusi Appalam pada 2010.
Penglibatan dalam muzik dan lakonan memperlihatkan sisi versatil Jaclyn sebagai seorang penghibur yang tidak hanya bergantung kepada kekuatan vokalnya, tetapi turut mampu meneroka cabang seni lain sepanjang perjalanan kerjayanya.
Bukan kali pertama
bersama MPO
Walaupun Gemilang Bersama
MPO bakal menjadi satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya, Jaclyn
sebenarnya bukan nama asing kepada MPO.
Beliau pernah tampil
sebagai penyanyi undangan menerusi konsert Aubrey Suwito & Friends pada
2017, Judika & The MPO pada 2019 serta The Magnificent Seven pada 2022.
Menerusi konsert kali
ini, Jaclyn sekali lagi menyertai barisan artis tempatan ternama yang pernah
berkolaborasi dengan MPO termasuk Tan Sri SM Salim, Dato' Sri Sheila Majid,
Dato' Sri Siti Nurhaliza, Dato' M Nasir, Dato' Jamal Abdillah, Dato' Zainal Abidin,
Dayang Nurfaizah, Ella dan Aina Abdul.
MPO yang akan dipimpin
Ahmad Muriz Che Rose sebagai konduktor terus memperlihatkan kepelbagaian serta
keupayaannya merentasi pelbagai genre muzik, daripada karya agung klasikal
kepada muzik filem, pop, jazz, tradisional dan kontemporari.
Dengan gabungan vokal
Jaclyn yang bertenaga bersama 65 pemuzik MPO, Gemilang Bersama MPO bakal
menawarkan pengalaman muzik yang berbeza, khususnya kepada peminat yang mahu
mendengar lagu-lagu popular penyanyi itu dalam susunan dan nuansa baharu.
.png)
Lebih daripada sekadar
mengulang semula lagu yang sudah dikenali, konsert ini memberi peluang kepada
penonton untuk menyelami karya Jaclyn melalui kekuatan bunyi orkestra, susunan
muzik yang lebih luas serta interpretasi vokal yang berbeza.
Bagi peminat muzik dan
khususnya pengikut perjalanan seni Jaclyn Victor, Gemilang Bersama MPO
menjanjikan sebuah persembahan yang menggabungkan kekuatan vokal, keindahan
orkestra dan pengalaman muzik secara langsung dalam satu pentas berprestij.
Gemilang Bersama MPO akan
berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, jam 8 malam di Dewan Filharmonik
PETRONAS, Menara Berkembar PETRONAS.
Harga tiket ditawarkan pada RM399 (Premium), RM349 (A Reserve), RM299 (B Reserve) dan RM249 (C Reserve), manakala tiket Suite pula berharga RM449/RM499 seorang.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan