TUN DR SITI HASMAH: LEGASI YANG AKAN TERUS DIINGATI

Malaysia hari ini kehilangan seorang tokoh wanita yang bukan sahaja mencipta sejarah dalam bidang perubatan, malah meninggalkan jejak besar dalam kesihatan awam, kebajikan, pembangunan wanita serta kehidupan masyarakat.

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini pada usia 100 tahun.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir. Allahyarham meninggalkan tujuh cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Tun Dr Mahathir.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal yang menempuh laluan perubatan pada ketika bidang tersebut masih didominasi lelaki.

Beliau melanjutkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura sebelum memperoleh ijazah MBBS daripada Universiti Malaya pada 1955. Dari situlah bermula sebuah perjalanan panjang yang akhirnya menyaksikan beliau menjadi antara tokoh penting dalam pembangunan kesihatan awam negara.

Antara pencapaian penting dalam kerjaya beliau ialah pelantikannya sebagai wanita pertama sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak pada 1965, sebelum mencipta sejarah sekali lagi pada 1974 apabila dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Negeri Kedah.

Bidang kesihatan ibu dan kanak-kanak menjadi antara fokus utama sepanjang perkhidmatannya. Beliau turut memberikan perhatian kepada program imunisasi, kesihatan wanita, kesihatan keluarga serta pembangunan kesihatan awam, khususnya di luar bandar.

Tun Dr Siti Hasmah kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang kesihatan awam di University of Michigan. Pengetahuan dan pengalamannya turut diterjemahkan menerusi penulisan berkaitan perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi yang mempengaruhi kehamilan dan kelahiran di Malaysia.

Namun, legasi beliau tidak terhenti di klinik dan institusi kesihatan.

Apabila Tun Dr Mahathir mula menerajui negara sebagai Perdana Menteri pada 1981, Tun Dr Siti Hasmah menggunakan kedudukannya untuk memperluaskan usaha dalam bidang kebajikan dan pembangunan masyarakat, khususnya berkaitan wanita, keluarga, pendidikan serta pencegahan penyalahgunaan dadah.

Sebagai Presiden Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), beliau aktif dalam kempen kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Usaha tersebut turut membawanya ke pentas antarabangsa apabila beliau dijemput menghadiri First Ladies' Conference on Drug Abuse di Washington pada 1985 atas undangan Nancy Reagan, ketika itu Wanita Pertama Amerika Syarikat.

Perjuangan Tun Dr Siti Hasmah turut merentasi isu wanita luar bandar.

Beliau membawa suara dan kepentingan wanita luar bandar ke peringkat antarabangsa, termasuk penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Wanita Pertama untuk Kemajuan Ekonomi Wanita Luar Bandar di Geneva pada 1992.

Di pentas itu, beliau terpilih sebagai antara Group Initiators dari rantau Asia Pasifik dan turut menandatangani Deklarasi Geneva yang menjadi antara asas kepada usaha memperkasakan wanita luar bandar.

Bagi Tun Dr Siti Hasmah, pendidikan dan latihan merupakan kunci untuk membolehkan wanita luar bandar membina kehidupan yang lebih baik, membesarkan anak-anak yang berilmu serta melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Perhatian beliau terhadap kesejahteraan masyarakat turut merangkumi bidang kesihatan mental. Beliau pernah dijemput menyertai Jawatankuasa Kebangsaan Persekutuan Dunia Kesihatan Mental yang dipengerusikan Rosalynn Carter, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat.

Dalam bidang pendidikan pula, Tun Dr Siti Hasmah pernah dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Multimedia (MMU), selain dikaitkan dengan idea penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Di luar bidang perubatan dan kebajikan, Allahyarham turut mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap sukan, khususnya badminton.

Beliau pernah bermain badminton secara kompetitif sehingga usia 75 tahun dan kemudiannya dikenali sebagai figura yang dekat dengan barisan pemain badminton negara. Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia.

Sosok Tun Dr Siti Hasmah juga tidak dapat dipisahkan daripada perjalanan hidup Tun Dr Mahathir yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut di Singapura. Mereka mendirikan rumah tangga pada 1956 dan membina kehidupan bersama yang berlangsung selama tujuh dekad.

Namun, di sebalik kedudukannya sebagai isteri seorang Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah membina identitinya sendiri sebagai seorang doktor, tokoh kesihatan awam dan pejuang kebajikan yang mempunyai sumbangan tersendiri kepada masyarakat.

Pengiktirafan terhadap jasa beliau hadir dalam pelbagai bentuk. Tun Dr Siti Hasmah merupakan isteri Perdana Menteri Malaysia pertama yang menerima Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Pada 2019, beliau turut menerima gelaran ‘Ibu Negara’ daripada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sempena Hari Wanita Kebangsaan.

Hari ini, penghormatan terakhir buat Allahyarham berlangsung dalam suasana penuh hiba.

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah dibawa dari kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, sebelum disolatkan selepas solat Asar.

Orang ramai, ahli keluarga, sahabat serta pemimpin negara hadir memberikan penghormatan terakhir. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir ke masjid berkenaan bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Tun Dr Mahathir turut hadir dan dilihat tiba lebih awal di masjid berkenaan.

Kerajaan turut memutuskan supaya Allahyarham diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan atas jasa dan sumbangannya kepada negara. Perdana Menteri mengarahkan Ketua Setiausaha Negara serta Panglima Angkatan Tentera membantu pengurusan dan pelaksanaan istiadat tersebut.

Allahyarham kemudiannya dijadualkan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, sebagai penghormatan terakhir negara kepada seorang tokoh yang sepanjang hayatnya mengabdikan diri kepada masyarakat.

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah bukan sekadar menutup lembaran kehidupan seorang wanita yang mencapai usia satu abad, tetapi turut mengakhiri sebuah perjalanan panjang yang sarat dengan khidmat, pengorbanan dan sumbangan kepada negara.

Daripada seorang doktor yang mencipta sejarah ketika ruang untuk wanita Melayu dalam bidang perubatan masih terbatas, beliau berkembang menjadi tokoh yang memperjuangkan kesihatan wanita dan keluarga, kebajikan masyarakat, pendidikan, pembangunan wanita luar bandar serta kesejahteraan rakyat di pentas nasional dan antarabangsa.

Lebih daripada sekadar bergelar isteri kepada seorang Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah membina legasinya sendiri sebagai seorang doktor, pendidik, pejuang kebajikan dan wanita perintis yang menumpahkan sebahagian besar hidupnya untuk masyarakat.

Hari ini, Malaysia kehilangan seorang tokoh yang bukan sahaja menyaksikan perjalanan panjang sejarah negara, malah turut menjadi sebahagian daripada sejarah itu sendiri.

Namanya mungkin telah sampai ke penghujung sebuah perjalanan, namun jasa dan legasi yang ditinggalkan akan terus hidup dalam ingatan rakyat serta tercatat dalam sejarah Malaysia.

Selamat jalan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Al-Fatihah.

Catat Ulasan

0 Ulasan