Mengangkat kisah tragis seorang wanita yang menjadi mangsa jenayah seksual dalam keluarga, Bisikan Nafsu tampil sebagai sebuah naskhah yang bukan sahaja mahu menyentuh emosi penonton, malah membawa mesej mengenai trauma, kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan.
Filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United itu diinspirasikan daripada kisah benar dan mengangkat isu yang masih menjadi perhatian masyarakat.
Diarahkan Riza Baharudin, Bisikan Nafsu menampilkan Azeva sebagai Nadia, seorang wanita yang kehidupannya berubah selepas menjadi mangsa perbuatan keji bapa tirinya, UR atau Ustaz Romantik yang dilakonkan Zul Huzaimy.
Nadia bukan sahaja terpaksa berdepan trauma akibat kejadian tersebut, malah perubahan dirinya menyebabkan hubungan dengan tunangnya, Arisz lakonan Aniq Suhair, turut terjejas.
Nadia mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan dan beberapa kali cuba menamatkan riwayat hidup, namun Arisz enggan berputus asa.
Sebaliknya, dia terus berada di sisi Nadia, cuba memahami perubahan yang berlaku serta mencari kebenaran di sebalik penderitaan wanita yang dicintainya itu.
A. Aida mahu beri kesedaran
Penerbit, Dato’ A. Aida berkata, idea menghasilkan Bisikan Nafsu tercetus daripada keprihatinannya terhadap isu jenayah seksual membabitkan keluarga, khususnya kes bapa tiri yang melakukan perbuatan keji terhadap anak perempuan.
Menurutnya, kisah sebegitu perlu diketengahkan dalam bentuk karya kreatif supaya masyarakat lebih peka terhadap keselamatan anak-anak serta memahami kesan trauma yang ditanggung mangsa.
“Objektif utama filem ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan ibu yang berkahwin semula dengan lelaki lain supaya lebih peka terhadap keselamatan anak perempuan.
“Selain itu, saya turut ketengahkan mengenai kesetiaan. Biasanya apabila berlaku tragedi sebegini, ada lelaki yang memilih meninggalkan pasangan.
“Namun dalam filem ini, saya mahu tunjuk masih ada lelaki yang terus berada di sisi insan yang dicintainya walaupun diuji dengan perkara yang sangat berat,” katanya.
Dalam masa sama, A. Aida menjelaskan Bisikan Nafsu bukan semata-mata berkisar mengenai jenayah seksual, sebaliknya turut memperlihatkan bagaimana seseorang mangsa cuba meneruskan kehidupan selepas melalui pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam.
Elemen kesetiaan Arisz terhadap Nadia menjadi antara tunjang penting dalam penceritaan apabila dia memilih untuk tidak meninggalkan wanita itu ketika berada pada titik paling sukar dalam hidupnya.
A. Aida yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif dan penulis skrip berkata, filem berkenaan dihasilkan sebagai sebuah naskhah yang dekat dengan realiti kehidupan dan diharap dapat membuka ruang untuk penonton berbincang mengenai isu yang diketengahkan.
Beliau juga berharap penonton dapat menerima Bisikan Nafsu sebagai sebuah naskhah kecil yang membawa mesej tersendiri, selain terus memberikan sokongan kepada filem tempatan.
Riza cabar diri sebagai pengarah
Bagi Riza Baharudin, peluang mengarahkan Bisikan Nafsu menjadi satu pengalaman besar buat dirinya kerana ia merupakan filem sulung arahannya.
Mengakui berdepan perasaan gementar pada peringkat awal, Riza bagaimanapun cuba memberikan yang terbaik berdasarkan peruntukan dan kemampuan produksi.
Antara cabaran utama adalah menjayakan beberapa babak yang memerlukan komitmen fizikal tinggi daripada barisan pelakon.
“Kalau ditanya tentang cabaran pula, ia lebih kepada babak-babak yang perlu dihasilkan. Misalnya pelakon perlu terjun di tempat air terjun dengan ketinggian enam tingkat, perlu menyelam dalam air untuk tempoh yang lama serta beberapa babak lain yang cukup mencabar.
“Apapun saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan barisan pelakon juga telah memberikan sepenuh komitmen untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.
Hello Production tampil dengan naskhah sulung
Menariknya, Bisikan Nafsu turut menjadi produk sulung Hello Production Sdn. Bhd., syarikat produksi yang diasaskan Azeva.
A. Aida berkata, penubuhan syarikat tersebut merupakan hasrat Azeva sendiri yang mahu membina pengalaman dalam bidang penerbitan secara berperingkat.
“Azeva sendiri yang menyatakan hasrat untuk membuka syarikat produksi. Untuk itu, saya mahu dia belajar dari bawah dan memahami setiap aspek dan selok-belok penerbitan.
“Untuk menjadi seorang penerbit yang baik, seseorang itu perlu mengetahui keseluruhan proses produksi, daripada A hingga Z,” katanya.
Kerjasama antara A. Aida Production dan Mache Allstar United pula disifatkan pemiliknya, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman, sebagai satu projek penting dalam perjalanan kerjayanya dalam bidang penerbitan.
Menurutnya, A. Aida merupakan antara individu yang banyak membimbingnya ketika mula menceburi dunia penerbitan drama televisyen.
“Beliau adalah antara mentor saya dalam penerbitan drama televisyen dan banyak membantu saya pada peringkat awal penglibatan dalam industri kreatif.
“Jadi, filem Bisikan Nafsu merupakan projek perintis kerjasama kami dan insya-Allah akan ada lebih banyak lagi projek yang bakal diterbitkan bersama selepas ini,” katanya.
Dalam pembahagian tugas, A. Aida memberi tumpuan kepada aspek kreatif dan kandungan, manakala Datuk Arisz memberi fokus kepada pengurusan kewangan serta operasi produksi.
Azeva akui dan mohon maaf
Di sebalik kisah dan mesej yang cuba diketengahkan, Bisikan Nafsu turut mendapat perhatian menerusi beberapa babak yang dianggap agak berani.
Azeva secara terbuka mengakui penampilannya dalam filem berkenaan agak seksi dan memohon maaf kepada penonton atas babak yang mungkin menimbulkan rasa kurang selesa.
“Saya mengaku memang seksi dalam filem itu. Saya sudah banyak kali beritahu ketika sesi siaran langsung bahawa penggambaran dibuat sebaik saya pulang dari Australia.
“Jadi, saya masih terpengaruh dengan budaya di sana dan terus terang, saya minta maaf. Itu sahaja yang mampu saya lakukan.
“Saya sedar saya seksi dan banyak buat dosa. Saya juga sedar filem itu akan meninggalkan jejak digital sampai bila-bila. Sejak hari pertama penggambaran lagi saya sedar filem itu akan kekal sampai bila-bila. Bagaimanapun, saya sudah bertaubat.
“Walaupun belum menutup aurat dengan sempurna, saya tidak akan mengulanginya lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis malam gala Bisikan Nafsu.
Mengulas babak bersama Zul Huzaimy yang tular di media sosial, Azeva berkata dia memahami sensitiviti masyarakat Malaysia terhadap adegan sedemikian.
Bagaimanapun, katanya, kontroversi yang tercetus turut membuatkan orang ramai bercakap mengenai filem berkenaan.
“Saya faham, di Malaysia memang sensitif sangat dengan adegan sedemikian. Tapi seperti yang anda semua sudah tengok tadi, tidak ada apa-apa pun. Kita buat benda itu supaya orang bercakap. Inilah matlamat kami sebagai orang bisnes, kami mahu orang bercakap mengenai filem ini.
“Jadi, kalau nak tahu apa yang berlaku dan kenapa adegan itu dikaburkan di media sosial, kena datang tonton filem ini untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Aniq akui terlepas pandang babak dedah pusat
Sementara itu, Aniq Suhair turut memberi penjelasan berhubung satu babak yang memperlihatkan sebahagian tubuhnya.
Aniq mengakui dia terlepas pandang apabila bahagian pusatnya kelihatan ketika menjayakan babak tidak berbaju, susulan seluar yang dipakainya agak longgar.
Menurutnya, dia sememangnya cuba menjaga batasan aurat sepanjang penggambaran dan tidak berniat untuk mendedahkan tubuh secara berlebihan.
“Sebenarnya memang saya tengah menjaga perkara itu. Kalau boleh saya memang tidak mahu terlalu dedahkan tubuh badan saya.
“Tetapi dalam filem ini, ia cuma ternampak sedikit sahaja. Seluar itu sebenarnya saya sudah tarik melepasi paras pusat, tetapi disebabkan saiznya agak longgar, ia terjatuh ke bawah.
“Kawasan lutut dan bahagian lain memang tidak nampak, jadi saya akui memang saya terlepas pandang untuk babak tersebut,” katanya.
Menurut Aniq, babak berkenaan juga tidak terdapat dalam skrip asal ketika dia menerima tawaran membintangi filem tersebut, sebaliknya diminta pada saat akhir penggambaran.
“Masa awal-awal ditawarkan, saya tidak tahu pun ada babak kena buka baju. Perkara itu adalah atas permintaan orang-orang sekeliling termasuk pihak pengarah dan penerbit di saat-saat akhir penggambaran.
“Kalau untuk naskhah lain selepas ini, tiada masalah sekiranya diminta untuk buka baju sekali lagi. Cuma saya akan pastikan bahagian pusat ditutup dengan betul dan tidak akan biarkan pantang larang itu terlepas lagi,” katanya.
Aniq turut menyatakan kesediaannya menerima kritikan warganet terhadap penampilan fizikalnya dalam filem tersebut, termasuk bentuk badannya yang ketika itu masih dalam proses untuk dibentuk.
Selain Azeva, Aniq dan Zul Huzaimy, Bisikan Nafsu turut menampilkan Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro, selain penampilan istimewa Ameng Spring dan Siti Khadijah.
Filem Bisikan Nafsu akan menemui penonton di lebih 70 pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.
.png)

0 Ulasan