KEMBALI SELEPAS 36 TAHUN, FILEM RAHSIA VERSI REBOOT BAKAL GEGARKAN SINEMA TEMPATAN


Bagi anda yang pernah menonton filem Rahsia pada tahun 1987, mungkin versi Rebootnya nanti bakal mencipta sekali lagi fenomena apabila ditayangkan kelak. Mengambil latar masa seakan-akan karya terdahulu, Rahsia kembali selepas 36 tahun kini diarahkan Shamyl Othman, merupakan anak kepada pengarah filem Rahsia 1987, Othman Hafsham. Pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 menerusi tahun 1987, Rahsia versi Reboot (2023) diterbitkan Astro Shaw bersama Five Star Trading bakal menjengah pawagam tempatan bermula 10 Ogos 2023. 

Seperti versi asal Rahsia yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular. Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda. Manakala, watak Hamdan oleh Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim. Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester

Penerbit Eksekutif Rahsia merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Selepas filem aksi Polis Evo 3, Astro Shaw bakal mempersembahkan sebuah lagi filem terbaru dengan genre seram iaitu Rahsia. Ini merupakan julung-julung kali filem seram tempatan dikembalikan semula dalam versi reboot. 


"Kami memilih Rahsia kerana filem ini adalah sebuah karya ‘cult classic’ yang mempunyai pengikutnya tersendiri. Kejayaannya dalam melakar fenomena pada tahun 1987 bukan sekadar memberi impak pada penonton, tetapi juga pada landskap industri perfileman negara apabila menjadi filem seram pertama yang diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia. Bahkan kami percaya jalan ceritanya masih relevan sehingga kini.”

“Mungkin generasi baru tidak begitu mengetahui tentang filem Rahsia 1987, jadi kami berharap kehadiran versi reboot ini dapat mencipta satu lagi sejarah baru. Apatah lagi filem tempatan jarang diangkat untuk dijadikan filem reboot berbanding filem-filem dari negara luar. Kami tidak berniat untuk menyaingi filem yang asal tetapi ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap karya-karya terbaik Malaysia dan kami berusaha untuk tidak mengecewakan penggemarnya.” 

Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful. Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai. Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik. Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan. Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.


Rahsia membawa tagline ‘Dia Takkan Pergi’. Manakala, lagu bertajuk ‘Alunan Lara’ adalah lagu tema rasmi Rahsia dan dinyanyikan oleh Njwa. Njwa juga merupakan komposer dan lirik untuk lagu edaran Rocketfuel Entertainment ini. 

Istimewa buat peminat dan penonton, boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ bermula 9 Ogos dengan tayangan pertama bermula 8.00 malam.

Sertai peraduan filem Rahsia di platform sosial media Astro Shaw dan Astro Gempak bermula 10 Ogos 2023 untuk menangi hadiah eksklusif. Ikuti Broadcast Channel Astro Shaw untuk dapatkan info dan kata petunjuk.  Nantikan filem Rahsia yang akan menemui penonton 10 Ogos 2023 di pawagam seluruh negara. Gunakan #Rahsia #Rahsia2023 untuk berkongsi video atau ciapan di media sosial. Ikuti info dan klip-klip menarik Rahsia di Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak. 

Amy Ikram by wajib tonton. 

Catat Ulasan

0 Ulasan