Filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf merupakan adaptasi sinematik pertama daripada siri animasi ikonik Malaysia yang popular pada era 1990-an. Menariknya, versi filem ini mengambil pendekatan berbeza dengan menetapkan latar waktu pada dekad 1980-an, iaitu satu keputusan artistik yang bukan sahaja mempengaruhi naratif tetapi turut menambah nilai kepada perwatakan dan simbolisme dalam penceritaan.
Artikel ini menghuraikan signifikansi filem Keluang Man dalam landskap sinema tempatan, dengan meneliti elemen sinematik, isu sosial yang diketengahkan, serta kepentingan latar masa yang dipilih. Ia turut menjustifikasi mengapa filem ini wajib ditonton oleh masyarakat Malaysia.
Filem Keluang Man (2025) mengangkat kembali watak adiwira tempatan yang mula dikenali dalam bentuk animasi dua dekad lalu. Penampilan semula Keluang Man dalam medium filem aksi nyata bukan sekadar nostalgia, tetapi juga usaha membina semula naratif adiwira Malaysia yang lebih bersifat introspektif, kritikal, dan dekat dengan realiti sosial.
Latar 1980-an: Simbolisme dan Kritikan Sosial
Pemilihan latar masa 1980-an merupakan satu pendekatan signifikan. Era ini dalam sejarah Malaysia menyaksikan peralihan besar dalam politik, ekonomi dan sosial. Dengan menetapkan cerita di zaman ini, pengarah memanfaatkan latar tersebut untuk menyentuh pelbagai isu.
Dengan mengambil isu kesihatan mental sebagai plot utama, Keluang Man meneroka watak Borhan, seorang pesakit mental di Hospital Bahagia. Dengan lakonan yang bersahaja tetapi ada sedikit klise, filem arahan Anwari Ashraf ini menjadi metafora bagi cara masyarakat melihat isu kesihatan mental. Latar 80-an memperkukuh lagi naratif ini, di mana kesedaran awam tentang kesihatan mental masih sangat rendah dan penuh stigma.
Melalui Sistem Sosial dan Institusi Awam, filem ini secara sinis mengkritik institusi yang gagal melindungi golongan terpinggir. Keluang Man muncul bukan hanya sebagai adiwira, tetapi simbol penentangan terhadap sistem yang korup dan lemah. Ia bukan sekadar propaganda tetapi pandangan skeptikal menerusi sistem pemerintahan di negara tercinta ini.
Unsur Sinematik dan Estetika Era
Filem ini menampilkan sinematografi yang menggambarkan nuansa 80-an dengan sangat berkesan melalui Penggunaan warna retro dan filter visual yang menyerlahkan suasana muram dan suram, sejajar dengan tema psikologi watak utama
Manakala bagi rekaan bentuk produksi pula, Keluang Man menyenaraikan kostum, kenderaan, dan latar bandar kecil di dalam naskhah ini sekali gus membangkitkan nostalgia di kalangan kita.
Dengan runut bunyi dan muzik latar yang turut disesuaikan dengan genre rock dan synth-pop yang sinonim dengan zaman tersebut, Keluang Man membawa kita menelusuri era 1970 hingga 1990-an melalui lagu-lagu latar seperti Dambaan Pilu, Terhangat Di Pasaran dan banyak lagi.
Kemunculan Krisya yang pernah menyanyikan lagu tema drama animasi ini pada tahun 1990an, kembali rancak mengamit nostalgia bersama Sekumpulan Orang Gila bagi lagu tema filem Keluang Man yang bakal menjengah pawagam tempatan bermula 29 Mei 2025.
Ketika ditanya mengenai Keluang Man sebagai filem wajib tonton, Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sebagai pelopor kepada pembikinan filem Keluang Man setelah bertungkus lumus untuk membawa adiwira popular ini ke layar pawagam, Astro Shaw komited dalam mempersembahkan karya yang berkualiti buat tontonan penggemar filem.
“Keluang Man adalah superhero original pertama Malaysia, dan kami sedar bahawa mengangkat semula IP ikonik ini ke layar perak hadir dengan tanggungjawab yang besar. Ini bukanlah sebuah ‘remake’, tetapi ianya mengangkat semula ikon kebanggaan negara dengan sentuhan baru oleh pengarah Anwari Ashraf.
"Filem ini hadir dengan cabarannya yang tersendiri. Dengan harapan tinggi daripada peminat, kami melaksanakannya dengan sepenuh komitmen dan penghormatan terhadap watak ikonik yang menjadi sebahagian budaya pop tempatan. Kami mahu memastikan Keluang Man bukan sahaja kekal relevan untuk peminat setianya tetapi turut memberi impak mendalam kepada generasi baharu.
"Ini merupakan filem ‘postmoden’ pertama Malaysia. Menerusi Keluang Man, kami mempersembahkan sebuah dunia sinematik yang segar, kombinasi fantasi dan realiti yang belum pernah kita semua lihat. Penghasilan filem Keluang Man dari pre sehingga post produksi adalah melibatkan 100% daripada tenaga kreatif dari Malaysia.
Lebih daripada 1,000 tenaga kreatif tempatan dari visual, audio, CGI, sehinggalah ke VFX, semuanya dibuat di tanah air kita sendiri. Kami yakin filem ini akan memberikan pengalaman hiburan dan keseronokan kepada penonton dan membangkitkan rasa bangga terhadap supehero tempatan. Oleh itu, kami mengajak semua untuk menonton Keluang Man di pawagam dan ‘kita enjoi!," katanya.
- Membina Identiti Adiwira Tempatan
Keluang Man membawa naratif yang unik berbanding filem adiwira Barat. Ia mengetengahkan isu identiti, maruah, dan perjuangan dalam konteks Malaysia. Ini penting dalam membina identiti sinema tempatan yang tidak terlalu bergantung kepada model Hollywood.
- Memecahkan Stigma Kesihatan Mental
Filem ini memperlihatkan bagaimana individu yang dianggap "gila" mampu menjadi penyelamat masyarakat. Ini satu naratif yang jarang diketengahkan dan secara tidak langsung mendidik penonton tentang pentingnya empati dan pemahaman terhadap kesihatan mental.
- Kritikan sosial yang halus tetapi menusuk
Melalui simbolisme dan perlambangan, filem ini menyentuh isu-isu korupsi, ketidakadilan, dan kebajikan sosial tanpa menjadi terlalu berat atau menggurui. Penonton dapat menikmati hiburan sambil dihidangkan dengan pemikiran kritis.
- Penceritaan Sinematik Berkualiti
Karya Anwari menampilkan gaya pengarahan yang matang, dengan naratif berlapis, perwatakan mendalam dan tempo dramatik yang terjaga. Ini menjadikan Keluang Man bukan sekadar filem aksi, tetapi karya dramatik yang mempunyai nilai artistik dan budaya tinggi.
Ketika ditemui media selepas tayangan Keluang Man, Anwari Ashraf Hashim, yang merupakan pengarah filem ini berkata, Keluang Man merupakan karya pertama arahanya yang sangat susah untuk dihasilkan. Pembikinannya mengambil masa terlalu lama bagi mencari dan menyesuaikan idea dengan konteks isu yang ditampilkan.
“Keluang Man adalah surat cinta kepada generasi yang membesar pada tahun 90an, satu generasi yang penuh semangat dan nilai yang masih relevan hingga ke hari ini. Saya yakin ramai yang menantikan untuk menyaksikan superhero original pertama Malaysia ini diangkat ke versi ‘live-action’.
"Saya dan seluruh pasukan produksi telah memberikan sepenuh komitmen dalam merealisasikan filem ini. Saya amat menghargai barisan kru, pelakon dan peminat karya ini yang mempercayai saya untuk mengemudi sepanjang proses filem ini. Filem ini bukan sekadar projek hiburan, tetapi merupakan usaha menghargai kepada warisan budaya pop Malaysia yang pernah mencorak zaman dan mencipta kenangan bersama.
"Saya mengharapkan penonton dapat menerima filem ini serta mampu menghidupkan semula semangat superhero Keluang Man seterusnya legasinya dapat diwariskan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya," katanya.
Keluang Man bukan hanya filem adiwira biasa. Ia adalah refleksi masyarakat, cerminan sistem, dan pemangkin perbincangan tentang identiti serta nilai-nilai kemanusiaan. Filem ini wajib ditonton bukan sahaja oleh pencinta sinema, tetapi oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai satu bentuk penghargaan terhadap usaha memperkasa watak tempatan dalam medium seni yang selama ini didominasi oleh pengaruh luar.
Penonton juga boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘ sneak preview’ pada 28 Mei, iaitu satu hari awal sebelum tarikh tayangan rasmi filem. Keluang Man di pawagam bermula 29 Mei 2025 menampilkan pelakon hebat Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, dan Dennis Yin.
Lebih mengujakan filem ini turut membariskan deretan kemunculan istimewa oleh Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Fazzoq Muqris, Daniella Sya, Wahid Senario, Azlee Senario, Delimawati, A Galak, AG Hafiz, Razzuan Rosli, dan ramai lagi.
0 Ulasan