P.RAMLEE: SUARA ABADI MENYATUKAN JIWA

 

Di celah rimba sejarah seni tanah air, nama Tan Sri P. Ramlee mekar seperti bunga yang tidak gugur musim. Setiap karya yang ditinggalkan, baik dalam bentuk filem mahupun lagu adalah helaian puisi sosial yang mengalun dalam jiwa kolektif masyarakat. Beliau bukan sekadar seniman, tetapi jiwa besar yang membina jambatan antara manusia, menyulam kasih dan kefahaman dalam bingkai seni yang abadi.

Seni Sebagai Jambatan Kemanusiaan

Dalam setiap naskhah yang diarah dan dibintangi, P. Ramlee mempersembahkan kisah yang tidak pernah asing. Cerita tentang cinta yang tersepit, keluarga yang retak, manusia yang terjatuh dan bangkit semula, semuanya hadir dengan bahasa yang bersahaja namun sarat makna. Filem seperti Ibu Mertuaku, Madu Tiga, atau Tiga Abdul bukan hanya karya sinema, tetapi cerminan jiwa bangsa.

Lebih dari itu, beliau mempertemukan dua insan bukan hanya watak lelaki dan wanita dalam sebuah percintaan sinematik, tetapi dua sisi kemanusiaan ; yakni antara kasih dan ego serta antara harapan dan kenyataan. Dalam naratifnya, cinta bukan sekadar romansa; ia adalah landasan untuk memahami diri, keluarga, dan masyarakat.

Bahasa Filem yang Menyatukan Dunia Melayu

P. Ramlee memahami satu perkara penting iaitu seni perlu berbicara dengan hati. Justeru itu, karya-karyanya tidak pernah dibatasi oleh sempadan geografi. Sama ada di Kuala Lumpur, Singapura, Medan atau Brunei, filem serta lagu beliau tetap ditonton dan dinyanyikan. Malah penghayatan dalam dialognya tetap menyebut,"Kalau ikutkan hati, mati. Kalau ikutkan rasa, binasa. Kalau ikutkan seni, kita akan bersatu." 

Di pentas budaya Nusantara, nama P. Ramlee terpahat bukan sekadar sebagai seniman, tetapi sebagai lambang penyatuan jiwa-jiwa yang berbeza latar, melalui sentuhan karya yang melangkaui batas bahasa, bangsa dan sempadan negara. Dalam denyut nadi filem-filemnya, tersemai nilai kemanusiaan sejagat iaitu cinta, pengorbanan, kebenaran dan pengharapan sekali gus menjadikannya figura agung dalam sejarah seni dan budaya Melayu.

Dari segi naratif dan elemen kebudayaan serta bahasa menerusi naskhah sentuhan seniman tersohor ini, penggunaan bahasa Melayu bukan sekadar menjadi alat perpaduan, tetapi lebih dari itu. Ia membawa naratif yang  merentas batas budaya. Watak-watak ciptaannya tidak pernah elit atau eksklusif di mana mereka adalah rakyat biasa yang mudah dicintai, difahami dan dirasai.

Dalam Seniman Bujang Lapok umpamanya, beliau menyindir sistem sosial dengan ketawa. Manakala dalam Hang Tuah pula, beliau merenung makna setia dan pengorbanan. Akan tetapi menerusi Nasib Si Labu Labi, beliau mengajak kita ketawa sambil diam berfikir. 

Dua Insan, Satu Jiwa: Simbolik Penyatuan

Tema penyatuan dua insan, sama ada pasangan kekasih, bapa dan anak, sahabat sehidup semati, menjadi benang halus yang menjahit hampir setiap karyanya. Namun, penyatuan itu bukan hanya simbol dalam cerita, tetapi metafora yang lebih besar iaitu menyatukan dua dunia, dua budaya, bahkan dua zaman.

P. Ramlee menyatukan tradisi dan moden, Timur dan Barat, kelucuan dan kesedihan dalam satu ruang yang harmoni. Dunia sinemanya adalah ruang tengah, tempat semua boleh duduk berbicara, ketawa dan menangis bersama.

Warisan Yang Tidak Pernah Tua

Apakah sebuah karya seni akan kekal? Pada P. Ramlee, jawapannya telah diberi tanpa perlu dijawab. Lebih lima dekad selepas pemergiannya, karyanya masih diputarkan. Lagu-lagunya masih dinyanyikan di pesta keluarga dan dewan bangsawan. Malahan menjadi lagu pilihan popular setiap generasi yang kini boleh diakses menerusi pelbagai platform atas talian.  Dialognya pula masih menjadi bahan jenaka dan teguran sosial yang kekal relevan.

Warisan beliau bukan sekadar disimpan dalam arkib atau muzium sahaja, malahan ianya hidup dalam segenap hati rakyat. Ia menjadi asas pembentukan jati diri budaya Malaysia dan rantau Melayu. Ianya juga menjadi cermin di mana kita masih boleh melihat wajah sendiri, walau zaman sudah berubah.

Legenda dalam Denyut Budaya

P. Ramlee adalah suara abadi. Suara yang menyapa kita dengan jenaka, memeluk kita dengan duka, dan memimpin kita dengan nilai. Beliau bukan hanya ikon seni, tetapi tokoh budaya serantau yang menyatukan insan bukan dengan kekuasaan, tetapi dengan keindahan.

Dan selagi seni punya nyawa, nadi serta rasa, nama P. Ramlee akan terus berdiri di persada sejarah, bukan sebagai kenangan, tetapi sebagai ilham yang hidup dalam setiap roh dan jasad yang berakar dalam pembangunan diri, sinema dan masyarakat. 

29 Mei 1973 | P.Ramlee Dalam Kenangan | Al Fatihah

Catat Ulasan

0 Ulasan