ADA APA DENGAN MELLY...? MELLY KOTAKAN JANJI BAWA 'RANGGA' KE PENTAS AXIATA.

Kredit Foto : Bangsawan Pictures

 'ADA APA DENGAN MELLY...?' Sebuah konsert tahunan yang wajib ada dalam senarai konsert di Malaysia. Itu yang boleh kami katakan. Kerana ianya bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah satu nostalgia magis yang perlu kita lalui setiap tahun. Ini adalah siri konsert yang ketiga buat Melly Goeslaw selepas 'Back to school' pada tahun 2023 dan 'Graduasi' pada tahun lalu. Tahun ini Melly kembali dengan Ada apa dengan Melly bertemakan 'Prom Nite'. 

Seramai kira-kira 9000 peminat membanjiri stadium Axiata Bukit Jalil dan bersama-sama Melly terbuai dalam nostalgia lagu-lagu hit Melly. Masing-masing juga tidak ketinggalan mengenakan busana Prom Nite masing masing. Sewaktu peminat memasuki premis Axiata, peminat diberikan Lampu LED dan juga kacamata 3D untuk sama sama menikmati malam indah bersama penyanyi dan pencipta lagu popular Melly Goeslaw. Anto Hoed, suami kepada Melly turut bersama mengiringi Melly mengalunkan muzik yang indah dan mengamit kenangan malam itu. 

Kredit Foto : Bangsawan Pictures

Melly juga mengotakan janjinya untuk membawa seorang bintang muda dari Indonesia, Dinda Ghania. Bintang baru ini turut membawakan lagu Bunda dan Jangan Pernah Berubah. Selain Dinda Ghania, Melly turut menjemput Aina Abdul untuk turut sama beraksi di pentas Axiata. Aina menyanyikan lagu 'Cinta' secara solo yang mana lagu itu asalnya dinyanyikan oleh Melly dan juga Krisdayanti. Aina memukau penonton di Axiata dan rata-rata berpuas hati dengan persembahan beliau. Aina juga berkesempatan berduet bersama Melly menerusi lagu "Hey Ladies" nyanyian asal Rossa yang mana turut juga disaksikan oleh Dato' Sri Rossa yang turut hadir pada malam itu. 

Kredit Foto : Bangsawan Pictures

Pada malam yang penuh magis itu juga, Melly turut menyanyi tiga buah lagu medley yang malar segar dari Malayia. Tiga buah lagu hits dinyanyikan secara medley itu terdiri daripada lagu Datuk Aishah 'Janji Manismu', Aku Cinta Padamu' Dato' Seri Siti Nurhaliza dan juga 'Isabella' dari Datuk Amy Search. Momen lagenda ini turut membuatkan Penonton dan peminat bernyanyi bersama Dato' Seri Siti Nurhaliza dan juga Datuk Amy Search yang turut sama hadir memberi sokongan di malam konsert Ada apa dengan Melly. 

Kredit Foto : Bangsawan Pictures

Selain menghiburkan peminat dengan 26 lagu lagu hits, Melly dan Icon Entertainment sekali lagi mengotakan janji dengan membawakan sang Rangga ke atas pentas. Siapa lagi kalau bukan Nicholas Saputra. Apabila Nicholas Saputra atau lebih mesra digelar Nicsap oleh peminatnya muncul di atas pentas, semua peminat filem "Ada apa dengan cinta" menjerit kegembiraan. Sayang sekali Nicsap hanya muncul beberapa minit sahaja, namun itu sudah cukup mengubat rindu peminat. 

Kredit Foto : Bangsawan Pictures

Walaupun banyak spekualasi tentang vokal Melly pada malam itu, apa yang boleh disimpulkan, peminat tetap terhibur dan memberikan momen nostalgia yang tidak akan dilupakan. Mungkinkah ada Ada apa dengan Melly 4.0? kita nantikan penggumuman seterusnya. Janji ya!

Kredit Foto : Bangsawan Pictures



Catat Ulasan

0 Ulasan