Penyanyi berbakat besar, Nadeera Zaini terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air apabila berjaya menganjurkan showcase sulung bertajuk An Evening With Nadeera yang berlangsung pada 30 Mei lalu di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama.
Lebih membanggakan acara tersebut mencatat sejarah peribadi buat Nadeera apabila tiket habis terjual hanya dalam masa tiga minit selepas dilancarkan secara dalam talian. Ia menjadi petanda jelas bahawa aura dan bakat luar biasa penyanyi ini semakin mendapat tempat dalam hati peminat.
Persembahan Bertenaga, Vokal Luar Biasa
Dengan iringan muzik oleh pengarah muzik berpengalaman, Sze Wan, Nadeera mempersembahkan sepuluh buah lagu sekali gus membuktikan keupayaan vokalnya yang mantap, penuh teknik dan penghayatan.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Emas, Tanpa Dendam Di Hati, Fatwa Pujangga, Illusion, Boneka Tanpa Hati, Try, Kau Dihatiku, dan lagu hit beliau Bukan Lagi Kita sebagai penutup malam.
Sorakan gemuruh bergema apabila Nadeera mempersembahkan lagu Jampi yang dipopularkan oleh Hael Husaini dinyanyikan secara solo dengan interpretasi tersendiri yang mengukuhkan lagi kredibilitinya sebagai penyanyi versatil.
Ikatan Seni dan Jiwa: Penghargaan Buat Mentor
Momen menyentuh hati hadir apabila Nadeera mempersembahkan lagu Kau Dihatiku, sebagai penghormatan kepada mentornya, Datuk Zainal Abidin.
Lagu tersebut tidak hanya membuktikan kekuatan vokalnya, malah menyerlahkan penghargaan tulusnya terhadap perjalanan awal seninya yang bermula melalui program Mentor Legend.
Duet Bersama Ikon – Dayang Nurfaizah
Sebagai kejutan istimewa, showcase ini turut menyaksikan duet Nadeera bersama penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah menerusi lagu Hakikat Cinta. Gabungan dua vokal hebat ini mencipta magis yang sukar dilupakan, sekaligus menjadi antara kemuncak persembahan malam itu.
Dedikasi, Ketekunan dan Keikhlasan
Ketika bercakap kepada media selepas persembahan, Nadeera menzahirkan rasa syukur atas kejayaan acara sulung itu.
"Saya bermula dari lounge hotel. Hari ini, berdiri atas pentas sendiri dengan 10 lagu yang mencabar. Ianya memberikan pengalaman luar biasa,” katanya.
Menurut Nadeera, persiapan hampir sebulan menjadi bukti dedikasi dan ketekunannya dalam memberikan yang terbaik kepada peminat. Beliau turut berterima kasih kepada pihak penganjur, keluarga serta peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh MASK Team dan Usanita. Tanpa mereka, ini mungkin hanya angan-angan,” ujar beliau penuh emosi.
Dari Bakat Realiti ke Bintang Penuh Kaliber
Nama Nadeera mula meniti di bibir peminat sejak menyertai program Vokal Bukan Sekadar Rupa (2012), Mentor Legend (2014), dan seterusnya menjuarai Lagu Cinta Kita musim kedua serta Big Stage musim kelima pada 2023. Lagu Bukan Lagi Kita turut melonjakkan reputasinya apabila meraih tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-39.
Showcase ini bukan sekadar satu acara hiburan, tetapi sebuah pernyataan bahawa Nadeera Zaini adalah permata seni sebenar yang mampu berdiri seiring dengan nama-nama besar di dalam industri muzik tanah air.
An Evening With Nadeera merakamkan kenangan dan memori tersendiri sekali gus meninggalkan magis yang sukar dicari ganti.
Kredit Gambar: Bangsawan Pictures
0 Ulasan