'ANTONIM NIGHT': MALAM PENUH MAGIS

Bukan sekadar persembahan biasa, penyanyi dan komposer berbakat besar, Hael Husaini telah mencipta magis tersendiri melalui Antonim Night  yang dipentaskan 31 Mei lalu.

Persembahan selama hampir dua jam itu memukau lebih kurang 400 penonton yang membanjiri Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), 1 Utama, Selangor. 

Antonim Night yang menampilkan Hael Husaini  menzahirkan penghargaan, cinta, serta naratif seni peribadi beliau buat para peminat setia. Perjalanan emosi kerjaya Hal Husaini Razmi, 37,  atau Hael Husaini diterjemahkan secara mendalam melalui susunan lagu yang disulami perbualan ringkas Hael buat penonton bagi menyuntik elemen dramatik sekali gus membuktikan beliau antara penyanyi dan komposer muda yang cukup berpengaruh.  

Daripada Bintang Realiti ke Komposer Penuh Pengaruh

Nama Hael Husaini mula meniti di bibir peminat sejak kemunculan awalnya dalam program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4), sebelum benar-benar mencuri tumpuan apabila menyertai duo Azhael dalam program Mentor. Namun, kelangsungan beliau dalam industri bukan bergantung pada populariti semata-mata, tetapi pada keupayaan luar biasa beliau dalam menghasilkan karya bermutu tinggi.

Kemenangan beliau di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) menerusi lagu hit 'Jampi' bukan sekadar menjadi titik lonjakan, tetapi lambang bahawa Hael bukan sekadar penyanyi semata-mata bahkan beliau adalah seorang pencipta seni yang bercerita melalui muzik.

Dalam tempoh kurang dari satu dekad, Hael telah membuktikan dirinya sebagai antara komposer paling dihormati generasi kini. Setiap karya yang dihasilkannya buat nama-nama besar seperti Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Nabila Razali berjaya membuktikan beliau antara anak muda yang mempunyai 'magis'nya yang luar biasa.

Namun, di sebalik pencapaian itu, beliau tetap mencari ruang untuk mengekspresi sisi peribadi dan artistiknya ; sesuatu yang tidak mudah dalam industri yang sering menuntut ‘kesempurnaan pasaran’.

Antonim: Simbolik Jiwa yang Bertentangan

Antonim Night bukan sekadar showcase malah lebih kepada persembahan berseni (art show) yang merangkumi muzik, visual, penceritaan dan hubungan emosional antara artis dan penonton.

Menurut Hael, pemilihan nama Antonim bukan satu kebetulan tetapi cerminan yang membuktikan seni dan lagu amat dekat dengan masyarakat. Melalui muzik, Hael bercerita kenapa beliau menyintai seni dan muzik, kerana melalui melodi yang dinyanyikan dengan lirik dihasilkan, menjadikan seni, muzik dan lagu adalah suatu yang berhubung kait antara satu sama lain.

"Saya sangat terkejut kerana malam ini penuh dengan penonton yang sudi mendengarkan lagu-lagu saya, Walaupun komuniti peminat saya tidak besar, tetapi saya gembira melihat anda (peminat) yang menyokong saya dari awal pembabitan saya sehinggalah ke hari ini. 

“Dalam kehidupan dan seni, kita selalu berdepan dengan pertentangan iaitu suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, cinta dan kehilangan. Persembahan ini merangkum semua itu, dalam cara paling jujur yang saya mampu sampaikan,” ujar beliau seusai persembahan dalam sidang media ringkas namun penuh makna.

Selama hampir satu jam setengah, penonton dibawa menghayati susunan lagu-lagu ikonik beliau di antaranya Hero, Hajat, Kejora, Sama Seperti Dulu, Jampi dan banyak lagi. Dengan susunan muzik yang lebih segar, Hael memukau seluruh dewan melalui suaranya yang lunak dibantu dengan susunan muzik dari Sze Wan menjadikan malam Antonim satu kenangan penuh makna

Lebih Daripada Konvensional: Gabungan Muzik, Naratif & Visual

Apa yang menjadikan “Antonim Night” begitu istimewa adalah pendekatan pementasannya yang tidak terikat dengan format konsert tipikal. Ia adalah satu momentum ringkas seolah-olah pertemuan acara 'malam santai' bersama penyanyi kesayangan. Elemen naratif yang disampaikan melalui monolog, paparan visual, serta susunan muzik yang eksperimental menjadikan persembahan ini lebih kepada instalasi seni pentas, berbanding persembahan pop arus perdana. 

Namun Hael perlu melontarkan jauh 'cermin mata' hitam yang dipakainya untuk konsert atau persembahan akan datang kerana ia adalah satu kesalahan serius dalam seni persembahan apabila seseorang artis itu menyanyi dengan memakai 'cermin mata hitam'. Namun dari segi persembahan, Hael membuktikan beliau antara penghibur yang tahu menggunakan ruang dalam sesebuah persembahan dan bijak berkomunikasi dengan penonton. Ini penting bagi seseorang penyanyi bagi mewujudkan perhubungan antara penyanyi dan peminat. 

Kehadiran rakan-rakan selebriti seperti Ernie Zakri, Nabila Razali, dan Andi Bernadee memperlihatkan sokongan kuat dalam kalangan penggiat seni terhadap perjalanan seni Hael yang berani dan jujur. Lebih daripada itu, ia juga menggambarkan bahawa industri hiburan kita semakin matang dalam menghargai karya bersifat eksperimental dan peribadi.

Peminat: Nadi dan Inspirasi Abadi

Bagi Hael, persembahan ini adalah dedikasi eksklusif buat peminat yang telah setia menyokong beliau bukan sahaja ketika berada di puncak, tetapi juga dalam perjalanan penuh liku. 

“Saya rasa tidak semua orang diberi peluang untuk berdiri di pentas dan didengar. Jadi bila saya diberi ruang, saya mahu gunakan ia sebaik mungkin. Terima kasih untuk semua," kata Hael dengan suara yang jelas bergetar emosi.

Menariknya , 'Antonim Night' malam tersebut juga menyaksikan Hael Husaini mempersembahkan petikan Antonim Part II yang sedikit berbeza dengan bahagian pertama. Penonton dibawa menyelami kasih sayang dan kebahagiaan yang dizahirkan berbanding Antonim Part I yang terlalu beremosi. 

Menurut Hael, Antonim Part II lebih spesifik di mana tentang cinta jarak jauh, hari perkahwinan dan kegembiraan keluarga melalui penghasilan lagu bertajuk Peluk dan Kahwin. Apakah Hael membilang waktu untuk merealisasikan impiannya?. 

Konsert Antonim Night dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team dengan sokongan rakan penaja seperti Virus Ungu, Rocketfuel, M World Hotel (Hotel Rasmi) dan Astro Gempak selaku media digital rasmi. Konsert ini bukan sahaja menjadi pentas ekspresi seni buat Hael, tetapi turut menjadi ruang peribadi untuk berkongsi cerita hidup yang terakam indah melalui muzik. 

Inilah cinta sejati seorang anak seni yang menyintai seni dan muzik ciptaannya. 

Catat Ulasan

0 Ulasan