Mengangkat tema kepercayaan, godaan duniawi, dan kehancuran akibat syirik, Laknat (2025) bukan sekadar sebuah filem seram, tetapi ianya sebuah naskhah kontemporari yang menjadikan sinema sebagai ruang kontemplasi spiritual.
Diarahkan oleh pengarah tersohor Saw Teong Hin, dan diterbitkan oleh Real Films dengan kerjasama Tutan Entertainment serta diedarkan secara rasmi oleh D’Ayu Pictures, karya ini berdiri sebagai antara filem Melayu yang paling berani mencabar persepsi umum terhadap genre seram.
Filem Seram Sebagai Wacana Akidah
Diinspirasikan daripada pengalaman sebenar beberapa individu, Laknat membuka ruang kesedaran tentang bahaya mempercayai amalan khurafat dan menyekutukan Tuhan. Ia memaparkan bagaimana manusia apabila diuji dengan penderitaan dan kehilangan, ianya boleh tergelincir daripada landasan iman lalu membuka pintu kepada hasutan iblis yang menyamar sebagai pertolongan.
Watak Luth (lakonan Aeril Zafrel) menjadi cerminan kepada jiwa manusia moden yang rapuh. Setelah kehilangan adiknya, Laila (Puteri Balqis), Luth terjerumus ke dalam permainan halus iblis bernama Laqqus, yang menjanjikan ‘jawapan’ dan ‘pengembalian’, tetapi dengan syarat menggadai akidah. Perjanjian dengan syaitan bukan lagi metafora sastera, tetapi realiti rohaniah yang dijelmakan melalui sinematografi gelap dan suara batin yang menyesakkan.
Darkness Sebagai Ideologi Visual
Laknat tidak menggunakan kegelapan sebagai nadi bagi menggambarkan suasana, tetapi ianya mengadaptasikan bahasa visual yang membawa falsafah. Dalam tangan Saw Teong Hin, pencahayaan suram, ruang sempit, dan warna-warna dingin menjadi gambaran psikologi jiwa yang kehilangan petunjuk. Estetika “dark” yang digunakan bukanlah gaya untuk mencipta rasa takut semata-mata, tetapi lambang kepada kehidupan batin yang dihimpit oleh syirik dan keraguan.
Berbanding filem seram arus perdana yang bergantung kepada kejutan dan kesan khas, Laknat bergerak perlahan, tenang, dan menakutkan secara batiniah. Gema langkah, bisikan samar, dan sunyi yang mengancam mencipta atmosfera seram yang jauh lebih mendalam yakni bukan sebagai elemen yang menakutkan fizikal, tetapi menggugat spiritual emosi.
Laqqus: Apabila Iblis Menyamar Sebagai Harapan
Antagonis utama filem ini, Laqqus, bukan digambarkan sebagai makhluk hodoh atau menakutkan secara konvensional. Sebaliknya, dia menyamar sebagai suara penyelamat, bahkan hadir dalam wajah yang dipercayai. Ini menegaskan satu ideologi penting: iblis bukan semestinya datang dari luar, tetapi kadangkala muncul dari dalam; melalui suara hati yang lemah dan keinginan yang keterlaluan.
Simbolisme seperti cermin yang retak, lilin yang padam, dan pintu yang tidak pernah tertutup rapat memperkukuh tema bahawa sempadan antara dunia nyata dan ilusi boleh ditembusi apabila manusia mengabaikan pegangan spiritual. Dalam situasi Luth, penderitaan menjadi pintu masuk Laqqus kerana dalam kelemahan, iblis menyamar sebagai cahaya.
Naratif Sebagai Dakwah, Sinema Sebagai Cermin
Meskipun filem ini memuatkan dialog yang bersifat didaktik, pendekatan itu tidak terasa janggal kerana ia sejajar dengan misi naratif yang jelas untuk menjadi sebuah amaran visual tentang bahayanya terpesona dengan janji dunia. Laknat tidak menyuap jawapan mudah; bahkan di penghujung cerita, kita tidak tahu apakah Luth benar-benar terselamat. Ini memberi ruang kepada penonton untuk menilai diri sendiri apakah mereka juga, seperti Luth, pernah membuka ruang kepada Laqqus dalam hidup masing-masing?
Seram yang Menyuluh Jiwa
Dibintangi oleh Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Jalil Hamid, Norkhiriah, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Mila Mohsin dan Ismail Yaacob, Laknat muncul sebagai filem penting dalam landskap sinema Malaysia. Ia bukan kerana kehebatannya mencipta rasa takut, tetapi kerana keberaniannya mengangkat genre seram sebagai wacana akidah dan pengajaran spiritual.
Filem yang menolak eksploitasi mistik murahan dan menggantinya dengan simbolisme mendalam ini merupakan karya tulisan bersama Shariman Wahap. Menerusi filem ini, seram bukanlah perihal makhluk ghaib, tetapi tentang ianya berkaitan tentang kehilangan pegangan dan kebinasaan jiwa.
Saw Teong Hin yang terkenal dengan beberapa buah karya hebat seperti Puteri Gunung Ledang (2004), Apa Kata Hati? (2008), Hoore! Hoore! (2012), Jejak Warriors (2015), You Mean The World To Me (2017), dan Rise: Ini Kalilah (2018) ini kembali mewarnai sinema tempatan menerusi Laknat (2025) yang merupakan filem ketujuh arahan sutradara profilik tersebut.
Menggunakan sinema untuk bercerita kepada khalayak menerusi bahasa visual tentang keresahan sesuatu rasa yang halus namun menyentak, Saw Teong Hin muncul sebagai pengarah yang arif membaca ruang dan masa.
Dalam dunia yang semakin kabur garis antara kebenaran dan kepalsuan, Laknat berdiri sebagai cermin gelap yang memaksa penonton menatap wajah sendiri dalam bayang yang retak, lalu bertanya dalam sunyi dingin : "Sudahkah aku membuka pintu itu tanpa sedar?".
Laknat berdiri sebagai sebuah karya psikologi seram yang mengangkat tema perjuangan akidah dan kepercayaan kini ditayangkan di beberapa pawagam tempatan seluruh Malaysia bermula 5 Jun 2025.
Berdasarkan analisis naratif, gaya pengarahan, pendekatan estetik dan kedalaman tematik dalam Laknat (2025), filem ini boleh diberi penilaian: 4 daripada 5 bintang. Wajib Tonton di pawagam!.
0 Ulasan