'CIK MEK MOLEK', TRIBUTE ALIFF AZIZ BUAT DATO' M.DAUD KILAU

Walaupun dilihat cuba membawa sisi berbeza dalam setiap persembahan, penampilan Aliff Aziz yang menyampaikan lagu Cik Mek Molek memukau khalayak penonton. Aura Aliff Aziz mengalunkan lagu bak gaya pesona seorang bintang legenda tersohor, Dato' M. Daud Kilau menerima tepukan gemuruh penonton. Gelekan Aliff nyata memberikan persepsi berbeza bahawa penyanyi pop sepertinya boleh membawa apa jua genre muzik sekalipun.

"Saya tertipu dengan dia. Pada mulanya saya risau tetapi bila menyaksikan Aliff membuat persembahan, saya jadi terkejut dan saya kata apakah ini genre muzik Aliff selepas ini?.

"Saya sengaja memberikan lagu ini pada Aliff, juga Hady. Saya percaya mereka berdua mampu membuat sesuatu di luar kotak. Tujuannya agar mereka memahami dan menghormati setiap karya muzik dari semua penyanyi. Menerusinya, saya cukup berpuas hati dengan Cik Mek Molek dari Aliff Aziz," kata Dato' Ramli MS atau Tok Ram.

Tok Ram yang ditemui media sejurus selepas konsert malam tadi menyifatkan Aliff Aziz sebagai penyanyi yang mempunyai kebolehan luar biasa. Setiap persembahan Aliff ada turun naik namun pada malam tadi, beliau melakukan di luar kebiasaan lagu-lagu yang pernah dibawanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahannya pada minggu kelapan All Stars Gegar Vaganza, Mohammad Aliff Aziz, 32, atau Aliff Aziz menyifatkan persembahannya malam tadi sebagai penghormatan tertinggi buat legenda muzik tersohor Dato' M.Daud Kilau.

"Nak kata teruja itu, memanglah. Aliff pertama kali bawa lagu ini. Pada mulanya, risaulah juga sebab Aliff takut kalau menghampakan semua orang. Tetapi Aliff bertekad untuk menyanyi sebaik mungkin.

"Buat Dato' M. Daud Kilau, Aliff doakan agar Dato' diberikan kesihatan semula. Aliff sangat meminati lagu ini dan persembahan Aliff malam tadi adalah tribute buat Dato' yang sangat Aliff kagumi," katanya.

Aliff yang tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai kata-kata kesat netizen terhadap persembahannya pada beberapa minggu lalu, namun beliau menganggap segala komen yang diterimanya sebagai nasihat untuk beliau melakukan yang lebih baik.

Selain Aliff, Hady Mirza juga antara bintang yang memberikan kelainan yang cukup hebat menerusi lagu Gila Judi nyanyian asal Dato' M. Daud Kilau. Persembahan Hady berjaya memperolehi markah 72.00 peratus  berbeza dengan Aliff Aziz yang menduduki carta pertama dengan markah 78.00 peratus menjadikan beliau antara bintang yang melonjak naik 18 peratus pada minggu kelapan.

Persembahan Aliff menerusi lagu Cik Mek Molek berjaya mengatasi persembahan Naqiu yang juga hebat dengan lagu Kuda Hitam, nyanyian asal Hetty Koes Endang.

All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung malam tadi di Auditorium MBSA Shah Alam itu dipancarkan secara langsung di Astro Ria 104 juga boleh ditonton di Astro Go. Bagi pelanggan Astro , mereka juga boleh menonton All Stars Gegar Vaganza menerusi pelan langganan mudah alih Sports & Entertainment serendah RM1.15 sehari tanpa kontrak. 

All Stars Gegar Vaganza minggu kelapan menyaksikan tiada penyingkiran dilakukan, di mana Dato' Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap. 

Catat Ulasan

0 Ulasan