ERIZA MENCIPTA TELAGA EMOSI MELALUI LAGU ‘DEMI KASIH’

Penyanyi muda berbakat, Eriza, 21 tahun, atau nama sebenarnya Ismar Eriza Allya mempertaruhkan bakat nyanyiannya dengan melancarkan lagu pertama beliau berjudul, ‘Demi Kasih’. Eriza yang membuat kemunculan sulungnya dengan single terbarunya, mendedahkan bahawa pemilihan lagu 'Demi Kasih' sebagai lagu debutnya adalah hasil daripada minat mendalamnya terhadap genre muzik balada.

“Saya memilih lagu ini sebagai debut pertama kerana saya sangat sukakan muzik balada dan mahu mencubanya. Lagu-lagu balada mempunyai daya ungkapan emosi mendalam yang membuatkan saya tertarik dengannya” kata Eriza.

Eriza turut menyatakan bahawa lagu ‘Demi Kasih’ hasil komposer dan penulis lirik, Dato Ayu Omel, ini mempunyai jiwa & emosi yang tersendiri apabila menyampaikan lagu ini.

“Ketika mendengar demo lagu tersebut, hati saya terus tertarik pada lirik dan melodinya. Saya suka bagaimana penulis lirik menggambarkan jiwa seorang wanita yang melalui detik sukar dalam hidupnya apabila terpaksa melepaskan seorang lelaki yang banyak berkorban untuknya.

“Lagu ini agak mencabar bagi saya pada permulaannya, tetapi hasil dari bimbingan semua pihak di label D’Ayu Music memberikan keyakinan bahawa lagu ini akan berjaya menawan hati pendengar terutama mereka yang mengalami situasi yang sama seperti mesej di dalam lagu ini.”

Dato Ayu Omel, sebagai komposer dan penulis lirik, telah mencipta sebuah karya yang sungguh menarik, dan melalui penyampaian penuh emosi Eriza, lagu 'Demi Kasih' dijangka akan menjadi pilihan hati ramai pendengar.

“Eriza kini berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan dalam dunia muzik, dan kita semua berharap untuk menyaksikan perjalanan kerjayanya yang semakin cemerlang.

“Demi Kasih' adalah lagu yang pasti akan membawa kita dalam pengembaraan melalui emosi yang sejati” kata Dato Ayu Omel.

Walaupun masih menuntut pelajaran di sebuah universiti tempatan, Eriza telah membuktikan bahawa beliau mampu menguruskan masanya dengan baik dan menganggap perjalanan ini sebagai liku-liku yang perlu dilaluinya dalam meniti kerjaya dalam industri muzik yang mencabar ini.



Catat Ulasan

0 Ulasan