PERJALANAN TERAKHIR 5 DEKAD JAMAL ABDILLAH 26 NOVEMBER INI?

Konsert Jamal Abdillah yang dijadualkan berlangsung 9 September lalu kini akan  dipentaskan pada 26 November ini. Bakal menampilkan gandingan mantap Yamani Abdillah, Zaki Yamani dan Wany Hasrita, konsert yang dianjurkan Shiraz Projects ini memilih Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi penganjuran. 

Dalam satu kenyataan, penganjur konsert berkenaan memaklumkan penukaran tarikh tersebut bukannya kerana jualan tiket tidak laku, tetapi ia ditunda kerana masalah teknikal. 

Jamal Abdillah Live In Concert yang bakal berlangsung Ahad depan ini khabarnya akan menampilkan seorang pengarah muzik terkenal yang banyak terlibat di dalam beberapa konsert besar dan merupakan seorang individu yang mempunyai profile yang hebat di dalam industri muzik tanah air. 

Ahmad Muriz Che Rose yang merupakan konduktor hebat dan Pengarah Muzik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) antara nama yang dikatakan bakal mengemudi konsert tersebut, namun atas faktor yang tidak mengizinkan, beliau ditukarkan kepada individu lain. 

Datuk Hashim Said atau S.Atan merupakan komposer legenda terkenal yang dicadangkan Dato' Jamal Abdillah untuk menggantikan tempat Muriz. Namun apakah ia menjadi realiti?. Menurut rekod, S.Atan antara penggubah muzik, pencipta lagu dan komposer ternama yang banyak menghasilkan rantaian lagu-lagu hebat untuk beberapa nama besar seperti Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Dato' Jamal Abdillah, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Azlina Aziz, Carefree, Tan Sri SM Salim, Dato' DJ Dave dan ramai lagi. 

"Dia seorang pengarah muzik yang cukup hebat, terpulang kepada pihak penganjur sama ada untuk memilih S.Atan atau tidak, saya cuma menyanyi sahaja," kata Dato' Jamal Abdillah dalam satu kenyataan. 

Bintang filem Azura (1984) dan Kekasih Awal Dan Akhir (1993)  itu khabarnya akan mempersembahkan kira-kira 15 hingga 20 buah lagu popularnya. 

Apakah Konsert Jamal Abdillah yang bakal berlangsung 26 November ini mampu mencipta satu lagi sejarah di dalam industri hiburan dan muzik tempatan dan menjadi konsert terakhirnya setelah lima dekad?. Tepuk dada tanya selera.


Catat Ulasan

0 Ulasan