FILEM USAHA SAMA KOREA MALAYSIA, THE LORD MUSANG KING BAKAL TAWAN SINEMA MALAYSIA?


Selepas menjalani 21 hari penggambaran filem yang mengangkat usaha sama antara industri perfileman tempatan bersama gergasi filem asia iaitu Korea Selatan, filem berjudul The Lord Musang King akhirnya bakal menemui penonton dan pencinta filem tempatan bermula 21 Disember hari ini.

Mengetengahkan cerita tentang pemerdagangan durian Musang King dalam eksport antarabangsa melalui watak Haikal, Samad dan Cheon Jin, The Lord Musang King juga merungkai beberapa kisah gelap dunia eksport dadah dalam perniagaan Musang King yang dipelopori Cheong Jin, seorang taikun dari Korea Selatan yang mengambil kesempatan di atas populariti durian Musang King milik Tuan Samad. Pelbagai kisah misteri terungkai apabila Tuan Samad dibunuh sehingga memaksa Haikal, yang terpenjara ; melarikan diri demi menuntut kebenaran siapa pembunuh sebenar bapanya.

Filem yang menggunakan tiga bahasa iaitu Malaysia, Korea dan Inggeris itu merupakan filem kolaborasi antara syarikat produksi Hundred Years Popcorn Productions dengan pengedar Metrowealth Productions (MiG) turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ketika berucap semasa majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media filem The Lord Musang King yang diadakan di GSC Lalaport, Bukit Bintang pada malam Selasa, Lee Moon Ho yang merupakan pengarah filem tersebut menyifatkan pemilihan buah durian sebagai simbol penceritaan adalah kerana nilai estetiknya terhadap kehidupan rakyat Malaysia seluruhnya.


"Saya suka cabaran. Melalui filem ini saya berpandangan bahawa saya perlu memastikan dua budaya selari dengan aspek penceritaan filem ini. Buah durian yang menjadi simbol cerita filem ini dipilih kerana nilai buah itu sendiri.

"Pertama kali saya merasai nikmat seulas buah durian ini ketika pertama kali di Busan, waktu itu saya dan penerbit filem ini, Ong Peng Chu sedang makan buah durian. Kami bercerita tentang keunikan masyarakat di Malaysia dengan budaya dan cara hidup di Korea. Apa salahnya untuk saya terlibat secara usaha sama dengan Malaysia bagi membikin naskhah ini atas nama Malaysia Korea. Boleh bukan?," katanya.

Lee Moon Ho yang sebelum ini pernah mengarahkan beberapa buah filem dari Korea berharap filem yang menampilkan gandingan mantap pelakon Malaysia dan Korea seperti Yusuf Bahrin, Fimie Don, Harissa Adlynn, Eddie Chow, Jay Iswazir, Azri Sabri, Kwak Donghyuk dan Kim Boyeon itu dapat diterima baik penonton di Malaysia juga di Korea.

Pelakon berbakat besar yang kualiti lakonannya diiktiraf, Fimie Don menganggap The Lord Musang King sebagai filem Malaysia Korea yang perlu ditonton penggemar filem tanah air dan penampilannya memegang sebahagian watak pembantu filem ini menjadikan ia sebuah naskhah yang cukup berharga di dalam industri hiburan dan perfileman tempatan.


"Bukan kali pertama saya beraksi dalam filem kerjasama seperti ini. Cuma bagi The Lord Musang King ia sebuah perjalanan yang meninggalkan kenangan yang tersendiri. Saya bekerja dengan pengarah yang hebat, cerita yang bagus, team yang baik dan sesungguhnya ia sebuah kisah yang wajib tonton dan sebagai pelakon ini mungkin pertaruhan saya untuk pergi lebih jauh," kata Fimie Don berharap peminat filem dapat meluangkan sedikit masa untuk menonton filem ini.

Manakala pelakon baharu Yusof Bahrin yang terkenal dengan beberapa buah drama di kaca televisyen tidak menafikan penampilannya yang tidak berbaju itu adalah tuntutan watak namun berharap ia tidak menjadi isu yang besar di dalam industri hiburan tempatan.

"Ada beberapa babak yang memerlukan saya mendedahkan sebahagian tubuh saya, namun ia dilakukan mengikut syarat dan peraturan sedia ada. Saya tidak akan berbogel demi watak dan lakonan saya sudahpun mendapat persetujuan isteri, penyanyi Zizi Kirana," katanya.

Dalam pada itu, Yusof teruja untuk menjayakan watak Haikal yang merupakan anak pekebun durian berjaya namun diperdaya dan dipenjarakan.


Berada di pawagam bermula hari ini, The Lord Musang King antara filem Malaysia Korea yang menelan belanja sekitar RM2.5 juta dan antara naskhah yang menggunakan imej janaan komputer (CGI) dalam beberapa babak penting.

Gambar: FINAS Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan